Halaman

Wednesday, 3 December 2025

Rihlah di Taiwan


Taiwan yang aku kenali adalah melalui nama-nama pemain badminton tersohor seperti Tai Tzu Ying (berasa dari Kaohsiung), Chou Tien Chen dan Wang Chi Lin selain pengeluar bahan semikonduktor seperti mikrocip terbaik di dunia selain Korea dan Malaysia. Negara Taiwan mempunyai kepadatan penduduk lebih daripada 28 juta dan pada asalnya berada dalam kawasan negara Tanah Besar Cina sebelum berpisah selepas berperang dengan pihak komunis.


Rihlah ke Taiwan selama lima hari ini bermula dan berakhir di ibu negaranya iaitu Taipei. 


28/11/25, Jumaat (Taipei)


Tempah grab ke KLIA. Sementara beratur menunggu untuk masuk ke dalam pesawat, beli e-sim di Shopee (pakej untuk lima hari, RM 10, 10GB, aktifkan e-sim) dan isi botol air untuk diminum di atas pesawat. Perjalanan di atas udara mengambil masa sekitar lima jam.


Setibanya di sana, kami disambut baik oleh orang Taiwan di Lapangan Terbang Taoyuan. Terdapat water cooler, tandas yang luas dan bersih serta tempat caj telefon bimbit yang disediakan kunci pada setiap locker. Tandas di sini kering (sama seperti di kebanyakan negara Barat) kerana mereka menggunakan tisu. Makanan daging/ayam, buah-buahan dan sayur-sayuran tidak dibenarkan masuk.


Kami menaiki train dari Lapangan Terbang Taoyuan ke Songshan (45 minit) dan menetap di Hotel Lee-Chan yang terletak di tepi jalan utama. Plug di sini bermata leper (dua mata). 







29/11/25, Sabtu (Yehliu-Jiufen)


Jarum jam di Taiwan mirip jam di Malaysia. Cuma waktu di Taiwan lebih awal. Subuhnya sekitar 5 am, Syuruk 6.20 am, Zuhur 11.40 am, Asar 2.45 pm, Maghrib 5 pm dan Isya’ 6.20 pm. Pagi di sini agak lengang. Kebanyakan mereka akan keluar bekerja pada 9 am dan pulang kerja sekitar 4 pm - 6 pm.


Pada hari kedua, kami ke salah sebuah tempat pelancongan di pesisiran pantai bernama Yehliu setelah mengambil kereta sewa (kereta MG) di CarPlus. Kereta sewa di sini dibayar melalui kad kredit, perlu mempunyai lesen antarabangsa, pasport dan mereka mengecaj mengikut kereta. Kereta MG yang hibrid dicaj melalui mileage (3.4 TWD/km). Minyak percuma di stesen tertentu iaitu CPC dan FORMOSA. Kami memandu sekitar 500 km (3.4 TWD x 500 km = 1700 TWD atau RM 212). Full tank ialah sekitar lebih 500 km (RM 170) dan kami menggunakan genap-genap full tank dan jika ditukar dan dibandingkan, kami rugi sedikit sekitar RM 50. Harga sewa kereta pula sekitar RM 400 ++.


Panorama indah di Yehliu ini berbentuk batu dan tanah. Ia terhasil akibat hakisan dan pukulan ombak lalu membetuk ukiran seperti Queen’s Head dll. Terdapat kedai cenderahati dan raincoat cantik dengan harga RM 10 (80 TWD) yang turut dijual di pesisiran pantai ini.


Pada malamnya, kami bergerak ke kawasan pelancongan yang sesak sedikit dan terletak di kawasan pergunungan bernama Jiufen. Terdapat air terjun, kubu dan pasar malam di kawasan ini. Panorama matahari terbenam di kawasan ini juga sangat indah. 


Disebabkan kawasan ini merupakan kawasan tumpuan – lebih-lebih lagi pada hujung minggu – , caj homestay dan parking di sini agak mencekik darah walaupun kemudahannya tidak menepati tahap keselesaan yang sepatutnya.









30/11/25,  Ahad (Tkijig-Taroko National Park)


Awal pagi itu, kami sudah bergerak ke Tkijig kerana perjalanan dari Jiufen ke sana menelan masa sekitar tiga jam. Kami melalui lebih 15 terowong sederhana panjang (tiga daripada panjang mengambil masa sekitar 15-20 minit untuk satu terowong). Terowong ini dibina betul-betul di perbatasan pergunungan dan banjaran. Setiap kali menghampiri penghujung banjaran, kami dihidangkan dengan sungai jernih dan lautan biru yang begitu indah, sejuk dan saujana mata memandang.


Dari utara Taiwan (Taipei), kami memandu ke Selatan dan merentas tiga negeri iaitu Yilan dan Hualien. Awal Hualien adalah Tkijig dan di pertengahan Hualien terletaknya Taroko National Park yang baru sahaja dilanda gempa bumi pada tahun lepas lantas sungai yang pada asalnya berwarna biru jernih bertukar menjadi kelabu dek kerana runtuhan batu-batu dari pergunungan.


Untuk masuk ke pangkal Taroko, terdapat jadual masuk dan keluar kerana mereka masih dalam proses membaik pulih. Perjalanan secara kasarnya memakan masa setengah jam. Di pangkal itu, terdapat tokong, hotel dll.


Pada petang itu, kami check in ke Fairy Tale Motel yang sangat indah. Motel itu bertaraf lima bintang sahaja tetapi selesa, dimuatkan dengan Yakuzi dan harga berpadanan dengan servis. Mungkin dek kerana terletak di kawasan yang jauh dari pusat bandar. Pada senjanya, kami berjalan-jalan di pantai Qixingtin sambil menyusun pebbles dan melihat matahari terbenam.


Pada belah malamnya, kami makan chicken curry, chicken briyani, beef curry, chiken tika masala, chicken butter dan roti nan di India and Pakistan Muslim Restaurant. Harga di sini agak mencekik darah (jumlah RM 200) kerana setiap individu perlu membeli satu set makanan berat. Tips yang kami gunakan, disebabkan kami baru sahaja makan di restoran Indonesia pada petangnya, kami makan dua set sahaja dan kami bungkus tiga set berbaki untuk dimakan pada sarapan esoknya. Ternyata, portion makanan yang dibungkus lebih banyak dan berbaloi ketimbang portion makanan yang dimakan di restoran.









1/12/25, Isnin (Beitou)


Keesokan harinya, kami kembali semula ke Taipei yang memakan masa tiga jam. Kami bergerak seawal 7 pagi kerana ingin memulangkan kereta (kereta disewa untuk 48 jam) ke CarPlus semula. 


Setelah itu, kami menaiki MRT ke Beitou Park sambil menghirup udara di sana lalu melawat sejenak Taipei Public Library (Beitou branch) yang terletak di dalam taman tersebut. Librari itu sederhana besar kerana ia adalah cawangan namun reka bentuknya unik berasaskan kayu. Ia mempunyai tiga tingkat - tingkat bawah untuk kanak-kanak, tingkat dua untuk koleksi bahasa Mandarin dan tingkat tiga untuk koleksi bahasa asing. Terdapat tiga barisan (enam rak panjang) untuk koleksi buku berbahasa Inggeris dari genre umum, falsafah, sains sosial, ekonomi, matematik sehinggalah seni dan fotografi. Sepintas lalu, terdapat buku tulisan Jordan Peterson, Thomas Piketty dan Noah Fieldman di atas susunan rak.


Koleksinya tidak banyak tetapi memadai untuk sebuah cawangan librari di dalam taman yang sekelilingnya berdekatan dengan muzium, MRT, Thermal Valley, hotel dll.


Pada malamya, kami makan di beef noodle, pancake, potstick, dimplings dan beef roll di restoran Chan (halal) di bawah hotel Relite. Servis di sini sangat hebat. Sebaik sahaja makan ditempah melalui QR, makanan terus sampai dalam masa satu saat. Pekerja dan tukang masak memasak dengan sangat pantas dan efisien. Susu soya yang termasuk dalam salah satu pakej pembelian kami juga sangat lazat.

















2/12/25, Selasa (Taipei 101-Maokong Gondola)


Hari terakhir kami di Taiwan, kami menghirup udara pagi pada jam 7 pagi sebelum membuat perancangan ad hock untuk ke Chiang Kai-shek Memorial Hall yang terletak sekitar 2 km sahaja daripada hotel Relite. Chiang Kai-shek merupakan Presiden negara China terawal sebelum tewas di tangan komunis pada suatu masa dahulu sebelum beliau berundur ke Taiwan.


Pada tengah harinya, setelah check out, kami meninggalkan bagasi dan beg di hotel untuk sementara waktu. Kami singgah ke Fried Chicken Master sebelum ke menara ke-11 tertinggi di dunia iaitu Taipei 101. Menara ini pernah menjadi menara tertinggi di dunia pada 2004-2009 sebelum diambil alih oleh Burj Dubai. Menara ini memuatkan pusat membeli-belah selain terdapat dumping ball seberat 660 tan di tingkat 88-92 yang berfungsi sebagai pengesan dan penstabil struktur bangunan. Dumper itu menyumbang kepada 40% kestabilan bangunan tersebut. Lif untuk naik ke tingkat 89 tersebut bergerak laju dan hanya memakan masa sekitar 45 saat! Gegendang telinga akan terasa bingit disebabkan perubahan altitude yang mendadak. Tiket masuk yang dikenakan adalah RM 75 (600 TWD). Dari atas bangunan ini, pemandangan luas Taipei dapat dilihat seperti sungai yang memisahkan antara Old Taipei dan New Taipei City selain Beitou.


Pada sorenya, kami ke Maokong Gondola menaiki bas. Maokong Gondola buka seawal 9 am dan tutup selewat 10 pm. Perjalanan ke stesen Maokong sejauh di atas pergunungan itu memakan masa sekitar 30 minit. Jarak 4 km menaiki gondola itu merupakan jarak yang memuaskan dan sedikit lama tetapi berbaloi untuk harga tiket sehari (pergi-balik) sekitar RM 40. Gondola itu akan berhenti di tiga stesen - Zoo South Station, Zhinan dan Maokong. 


Pada malamnya, kami bergerak ke Ximending street untuk mencari sedikit ole-ole sebelum ke Taoyuan Airport Terminal 1 untuk pulang semula ke tanah air.




















Kekuatan Taiwan


  1. Perancangan bandar yang sistematik. i) Sepanjang lima hari di sana, hampir tiada kesesakan lalu lintas melainkan di satu tempat pelancongan iaitu di pergunungan Jiufen. Waktu puncak di sini sekitar 9 am - 10 am dan 4 pm - 7 pm tetapi trafik masih bergerak walaupun kereta banyak. ii) Taiwan memanfaatkan semua laluan yang ada baik udara, darat mahupun bawah tanah. Kesesakan trafik tidak berlaku di atas jalan raya kerana terdapat 3-5 lagi lapisan yang berfungsi baik di bawah tanah (MRT, KTM, LRT), tahap akses yang cemerlang, keseimbangan kepada semua kaedah perjalanan serta tambang pengangkutan yang mesra rakyat (RM 2.50 bas, RM 3 MRT untuk satu trip ke mana-mana stesen di bandar). Hatta, gondola di tempat pelancongan di Maokong sepanjang 4 km (25 minit pergi) juga berfungsi sebagai pengangkutan awam kerana terdapat empat stesen.
  2. Kemudahan awam yang mesra pejalan kaki, penunggang basikal dan skuter. i) KPI jalan raya di Taiwan selaras baik di pusat bandar mahupun di kawasan pedalaman. Tiada longkang terbuka. Semua longkang ditutup rapat dan hanya meninggal ruang lubang yang kecil. Longkang ini juga berfungsi sebagai jalan untuk pejalan kaki, penunggang basikal dan skuter selain kereta dan bas. ii) Di Taiwan, bandar direka dengan mengutamakan pejalan kaki terlebih dahulu, diikuti penunggang basikal, kemudian skuter, kemudian kereta dan akhir sekali bas. Namun, terdapat laluan bas di tengah-tengah jalan besar untuk kelancaran trafik.
  3. Makanan dan gaya hidup yang sihat. Makanan halal di sini lazimnya ialah FamilyMart (sweet potato, yam, jagung), Fried Chicken Master, Mochi, India and Pakistan Restauran dan restoran Indonesia. Hampir tiada restoran halal yang buka awal pagi. Mereka juga kebanyakannya berjalan kaki, berbasikal hatta warga emas berusia 60 tahun ke atas.


Anggaran bajet (~ RM 2500/orang)


  1. Grab/Maxim ke KLIA: RM 45 x 2 (pergi/balik) = RM 90
  2. Hotel/Motel RM 300/malam (5 orang)  x 4 malam = RM 1200
  3. Tiket flight: RM 750
  4. Easycard (utk public transport): RM 100
  5. Sewa kereta + tol RM 22 + mileage RM 212 : RM 700
  6. Makan: RM 60/hari x 5 hari = RM 300
  7. Souvenir: RM 100
  8. Parking kereta: RM 300 (5 orang)
  9. Tiket Taipei 101: RM 700/orang
  10. Tiket Maokong Gondola: RM 40/orang
  11. E-sim: RM 20


Jumlah: ~ RM 2468


Tips


  1. Tukar duit RM ke TWD dua minggu sebelum untuk bandingkan rate yang baik. RM 1 = TWD 8
  2. Sediakan sekitar RM 1200 (10 000 TWD) duit cash untuk kegunaan membeli makanan, tiket dll. Ada tiket boleh dibayar melalui VISA, Mastercard seperti di Taipei 101 dll.
  3. Bawa sebotol air ke mana-mana untuk minum atau untuk kegunaan berhadas di tandas kerana tandas di Taiwan, kering. Tiada paip getah.
  4. Bawa adapter jika travel 1-2 orang. Bawa satu extension (optional) jika travel 4 orang ke atas. Plug di sini bermata leper.
  5. Makanan halal di Taiwan agak terhad. Apabila sudah jumpa makanan halal, murah dan lazat dimakan pada waktu tengah hari, beli terus untuk makan malam dan sarapan kerana kebanyakan restoran buka agak lambat sekitar 11 pagi.


Comments
0 Comments

0 kritikan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...