Suatu hari nanti pasti segenap masyarakat di seluruh dunia berduka cita atas kematian tokoh-tokoh hebat yang masih hidup pada hari ini.
Membaca kisah-kisah perjalanan keilmuan mereka cukup memberikan inspirasi untuk meneruskan kehidupan.
Jika diteliti umur mereka pada hari ini, sungguh tidak disangka-sangka ada yang masih muda tetapi mampu dan sudah pun banyak menyumbang kepada masyarakat sekelilingnya malahan telah menghasilkan berpuluh-puluh kitab untuk tatapan generasi yang akan datang.
Apa yang saya dapat berdasarkan 'random choice' tokoh-tokoh yang terlintas dalam 'frontal cerebrum' saya pada pagi ini ialah kebanyakan daripada mereka dibentuk berdasarkan zaman pengajiannya dan latar keluarga dan sejarah yang berlaku pada zaman tersebut.
Apabila mereka mengembara ke negara-negara luar, skop pemikiran mereka berubah dan bercambah menjadi lebih luas seperti yang dialami oleh Dr. Taha Jabir al-'Ulwani yang pernah mengkaji mengenai sejarah Yahudi dan perbandingan agama di negara asing itu sendiri iaitu Amerika Syarikat selama 23 tahun.
Hari ini, mereka masih bernafas dan amatlah rugi sekiranya kita gagal untuk mengorek dan mengumpul seberapa banyak faedah yang ada pada tokoh-tokoh ilmu ini. Baca, kaji dan soal jawab mengenai karya-karya, pemikiran dan cara hidup mereka merupakan salah satu langkah bagi menghargai jasa-jasa yang telah mereka taburkan supaya kita tidak menyesal dan menangisi apabila mereka tiada lagi bersama-sama kita suatu hari nanti.