Halaman

Wednesday 3 August 2022

Aku dan Badminton

“Badminton sudah jadi satu sukan elit” kata pak cik Omar ketika kami sedang bersiap-siap untuk menyapu sekali lalu lantai dewan badminton di Taman Melati pada malam tersebut menggunakan jaring badminton.

Belajar “punch clear” dan “rally” di Teman Melati

Sejak zaman persekolahan lagi, dengan harga raket dan bulu tangkis yang mahal, aku hanya mampu melihat sahaja dari jauh rakan-rakan yang kerap bermain badminton dan menyertai perlawanan badminton di dewan sekolah dan kolej.


Bermain badminton pada waktu itu ibarat aktiviti riadah seperti aku bermain bola tampar, bola keranjang, ping pong, baling selipar dan bola beracun. Tidak seperti catur, di sebalik tumpuan penuhku dalam dunia akademik, aku ambil serius dalam permainan catur walaupun pencapaian tertinggi yang pernah aku capai, hanyalah pada kedudukan nombor tujuh di peringkat Negeri Sembilan.


Usai larian Merdeka di Abbasiah, Kaherah


Setelah menginjak usia suku abad, minatku beralih kepada sukan badminton. Jika dahulu, aku hanya bermain badminton bersama-sama keluargaku di halaman kampung, bersama-sama taulan pada hujung minggu di dewan SBPIJ atau pada setiap bulan di Hayy ‘Asyir, Kaherah, setelah masuk ke alam kerja, sukan badminton menawarkan satu kepuasan fizikal, mental, sosial, intelektual dan emosional yang lebih lumayan berbanding permainan catur.


Pada hujung latihan “housemanship”-ku di Jabatan Kecemasan dan Trauma, aku mula menyertai satu demi satu kelompok badminton. Permainan yang asalnya seminggu sekali, berubah menjadi seminggu dua kali dan akhirnya menjadi permainan harian baik pagi, petang mahupun malam.


Bersama-sama rakan sekerja di Sg Chua

Setelah bermain secara kerap selama hampir satu tahun, aku dapati, penguasaan asas badminton itu sangat signifikan. Setelah menguasai asas-asas badminton seperti teknik “grip”, teknik servis, teknik “backhand”, teknik “punch clear”, “footwork”, “smash” dan “defense”, barulah seseorang pemain itu boleh mengembangkan sayap kemahiran permainannya yang lain.


Teknik asas ini lebih mudah dan cepat untuk dikuasai apabila dibimbing oleh jurulatih atau pemain yang lebih berpengalaman dan sudah tentunya melalui latihan yang kerap. Apabila teknik asas ini sudah kukuh, seseorang pemain boleh berpindah kepada teknik-teknik yang lebih mencabar seperti permainan “rally”, “drop shop”, “lobbed shot”, “disguised drop shot”, “backhand clear”, “backhand drop shot”, “cross-court net shot”, “deception”, “dive”, “stick shot”, “half-court smash”, “hold and flick”, “reverse slice drop shot”, “backhand smash”, “net kill”, “behind the back” dan “between the legs”.


Tips mujarab yang telah aku praktis ialah dengan menguasai satu-satu teknik dalam 5-6 permainan, sebelum berpindah kepada teknik yang seterusnya di samping mengekalkan penguasaan teknik yang sedia ada. 


Selain bermain dengan kelompok yang sama di Sg Chua, Nilai dan Enstek, aku mencabar diriku untuk bermain dengan kelompok lain di Dengkil, Bangi, Serdang, Putrajaya, Sri Petaling dan Kuala Lumpur untuk menyerap teknik-teknik dan gaya permainan daripada pemain tahap “intermediate” dan “advanced”.


Bersama-sama rakan sekuliah di Ultimate



Pengasahan stamina yang kuat juga begitu penting dalam sukan ini. Lazimnya, sebelum aku bermain badminton beregu, aku akan mencari seorang pemain dan bermain perseorangan dengannya untuk membentuk stamina. Bagiku, bermain dua set perseorangan dengan pemain “intermediate” atau “advanced” adalah lebih memuaskan bermain bermain beregu dengan pemain “beginner”.



Era langit terbuka pada hari ini juga membolehkan seseorang melihat, mempelajari dan menganalisis corak permainan pemain badminton dunia seperti Tai Tzu Ying yang mempunyai teknik badminton yang sangat berwarna-warni, Lee Zi Jia dengan “trademark backhand smash”, Yuta Watanabe sebagai “master of dropshot”, Lin Dan, Lee Chong Wei dan Victor Axelsen sebagai “master of badminton” yang bermain dengan hampir sempurna.


Sukan badminton akan kekal mengakar dalam kalangan rakyat kerana ia merupakan satu seni halus yang hanya dapat dinikmati manis sakarnya apabila seseorang individu itu menguasainya.













Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...