Halaman

Wednesday, 10 July 2024

Ulasan Buku: A Second Look in the Rearview Mirror, Mortimer Adler

Bilakah kali terakhir aku meneguk ranuman pena panjang berkisarkan autobiografi oleh seseorang tokoh? Mungkin sewaktu mengunyah karya A Doctor in the House oleh Tun Mahathir, The Autobiography of Malcolm X, Voyage through Time oleh Ahmed Zuweil, Rihlah Ilmiah oleh Prof. Wan Mohd Nor dan Weltanschauung oleh Shahnon Ahmad beberapa tahun dahulu. 


Beberapa karya biografi sederhana ringkas yang lain seperti Hikayat Salim Adil oleh Mohd Affandi Hassan, al-Munqiz min al-Dhalāl oleh al-Ghazali, Mencari Jalan Pulang oleh Kassim Ahmad, Becoming Muslim oleh Syeikh Nuh Keller, Out of Place oleh Edward Said, Qissah Dirāsatī al-Qur‘āniyyah oleh al-Nadwi, Dare to be a Champion oleh Dato’ Lee Chong Wei, My Brief History oleh Stephen Hawking dan Detik-detik Diri di Daerah Naif oleh Shahnon Ahmad walaupun penting dan mengasyikkan, namun, karya autobiografi yang tebal tetap mempunyai tempat unik yang tersendiri khususnya dari sudut perincian kisah di sebalik tabir kehidupan seseorang penulis.


Buku A Second Look in the Rearview Mirror (1992) ini merupakan buku ke-12 tulisan Mortimer Adler yang sempat kutekuni dan ternyata, autobiografi ini menjanjikan pengalaman pembacaan yang cukup mengenyangkan. Buku ini merupakan sambungan kepada autobiografi beliau yang pertama dalam Philosopher at Large dan buku ini merupakan antara buku terakhir yang dikarang oleh Adler iaitu sewaktu usia beliau menginjak 90 tahun. 


Penulisan beberapa siri autobiografi ini pada hakikatnya, merupakan sesuatu yang tidak asing dalam ranah penulisan kerana seseorang individu itu pasti melalui proses pembelajaran-penemuan-pengalaman yang baharu seiring dengan pertambahan usia dan kematangan pemikiran mereka. Oleh sebab itulah terdapat beberapa penulis tersohor lain yang turut menulis beberapa siri biografi semisal Karen Armstrong yang menulis Through the Narrow Gate, Beginning the World dan The Spiral Staircase, Shahnon Ahmad dengan Detik-detik Diri di Daerah Naif, Perjalananku Sejauh Ini dan Weltanschauung manakala Dr. Mahmood Zuhdi dengan Budak Surau, Budak Nilam Puri, Bertandang ke Bumi Firaun dan Perjuangan Tanpa Noktah.


Berbalik kepada karya Adler ini, naskhah ini secara kasarnya mengisahkan rihlah akademik dan keilmuan beliau khususnya projek akademia di Aspen Institute, perihal Paideia Project (Adler telah mengarang beberapa buku menarik mengenai projek ini), tips-tips penting sebagai seorang penyunting dan penulis buku khususnya sewaktu menukang 54 jilid Great Books of the Western World (GBWW) dan menyunting Encyclopaedia Britannica (EB), guru-guru, buku-buku dan rakan-rakan yang mempengaruhi denai keilmuan beliau selain menyemarakkan wacana intelektual di Amerika Syarikat serta persoalan-persoalan falsafah, pendidikan, agama dan sains yang mewarnai korpus pemikiran dan kanvas kehidupan beliau.


Menurut Adler, GBWW dan EB bersifat saling melengkapi kerana EB membantu dari sudut pemerolehan dan penyusunan maklumat (mikro dan makro) manakala GBWW membantu dari sudut pemahaman terhadap gagasan-gagasan agung serta ketinggian hikmah (wisdom) baik secara teori mahupun amali.


Antara buku terawal yang mengubah cara fikir dan kehidupan Adler ialah buku Autobiograhy karangan John Stuart Mill yang merupakan bahan bacaan yang perlu dibaca oleh beliau sewaktu mengikuti kursus Victorian Literature. Adler mendapati bahawa Mill boleh membaca Greek seawal usia 3 tahun dan membaca dialog Plato seawal usia 5 tahun. Seawal usia 11 tahun pula, Mill telah membaca hampir kesemua karya yang kemudiaannya Adler dapati merupakan Karya Agung (Great Books) dan Mill telah menyunting karangan ayahandanya, The History of British India pada usia 11 tahun selain menyunting Rationale of Judicial Proof oleh Bentham pada usia 12 tahun (pada saat tersebut, Adler sudah berusia 15 tahun tetapi tidak pernah membaca kesemua karya tersebut!). 


Bermula daripada itu, Adler menelaah Mill dan kebanyakan karya-karya agung yang lain. Antara tokoh lain yang kemudiannya memberikan pengaruh yang besar kepada beliau adalah Aristotle, Aquinas, Maimonides dan Dewey. Adler juga begitu akrab dengan Robert Hutchins dan Jacques Barzun selain turut menyunting EB bersama-sama dengan William H. McNeill dan John Lyons.


Menurut Adler, ilmu falsafah lebih agung daripada ilmu sains dari sudut teori dan praktis kerana falsafah adalah ilmu untuk mengetahui sesebuah ontologi (knowledge of being) manakala sains adalah ilmu untuk mengkaji pembuktian-pembuktian. Secara amali, falsafah mampu mencapai konklusi moral manakala ilmu sains hanya mencetuskan aplikasi-aplikasi teknologi. Ini bererti, sains hanya mampu mengawal sesebuah medium (yang mampu dikawal) tetapi tidak mampu menilai baik-buruk serta hak-batil dari sudut pengakhiran kehidupan seseorang insan. 


Adler percaya, tidak wujud konflik antara kebenaran sains dan kebenaran falsafah. Walaupun seseorang failasuf boleh memperbetulkan kesalahan saintis yang cuba menjawab persoalan yang melebihi kompetensi profesionalnya, begitu juga saintis, boleh memperbetulkan kesalahan failasuf yang turut melakukan kesalahan yang sama.


Pada hakikatnya, kemelut utama yang melanda pada zaman moden adalah lebih rumit ketimbang kemelut yang melanda pada zaman pertengahan kerana marcapada, sains telah menjadi entiti yang signifikan baik teori mahupun amali. Tidak ramai saintis yang memahami hakikat falsafah dan agama. Tidak ramai juga failasuf dan agamawan yang sedikit sebanyak berlatarbelakangkan sains atau benar-benar menekuni sains. Banyak lagi usaha yang perlu dilunaskan bagi mengharmonikan ketiga-tiga aspek ini bagi mencari pengganti kepada tokoh-tokoh semisal Maimonides dan Aquinas (dalam ranah keilmuan Islam, seperti al-Ghazali, Ibn Sina, al-Razi dan al-Biruni).


Kata Adler, seseorang failasuf yang percaya bahawa semua persoalan signifikan manusia hanya mampu dijawab melalui akal, adalah seorang “naturalist” sama seperti seseorang saintis “positivist” yang percaya bahawa hanya sains sahaja ilmu yang sah dan memadai untuk meneruskan kehidupan. Jika seseorang profesor itu “positivist”, sudah tentu dia juga “naturalist”. Kredibiliti mereka terlucut apabila mereka mempercayai bahawa agama itu bersifat tahyul, sama seperti apabila mereka mempercayai bahawa falsafah itu merupakan suatu andaian/pandangan. Unsur-unsur positivisme dan naturalisme yang terserlah dalam karya-karya dan ajaran mereka inilah merupakan “akar” kepada budaya moden yang tersekular (modern secularised culture).


Berbalik kepada perihal penyuntingan dan proses penulisan, Adler percaya bahawa proses berfikir (logik) itu perlu diasingkan daripada proses menulis (tatabahasa dan retorik). Berdasarkan pengalaman penulisan beliau yang panjang (Adler telah menulis lebih 50 buah buku dan menyunting beberapa ensiklopedia gergasi), apabila beliau menggabungkan proses berfikir dan proses menulis secara serentak, kedua-duanya tidak membuahkan hasil yang cemerlang. Sebaliknya, apabila proses berfikir itu diselesaikan secukupnya sebelum proses menulis yang sebenar, lebih banyak tumpuan mampu ditumpahkan kepada tatabahasa dan retorik sewaktu proses mengarang.


Akhir sekali, Adler kembali menitipkan pesan bahawa untuk memperoleh pemahaman yang kaya-mendalam terhadap pembelajaran/pembacaan (khususnya kepada “autodidact”),  selain mengajar dan mengembara, seseorang individu itu perlu “membaca dan berdiskusi” (read and discuss). Berdiskusi tanpa merujuk karya agung akan menatijahkan perbincangan yang bersifat dangkal-luaran, manakala membaca karya agung tanpa berdiskusi (dengan orang yang pernah membacanya) tidak akan memperkaya-dalamkan pemahaman seseorang terhadap pembacaan dan rihlah keilmuannya.

Comments
0 Comments

0 kritikan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...