Halaman

Friday 17 June 2011

Utusan Malaysia vs Harakah


Sedih. Terkilan.

Berapa ramai remaja akhir zaman ini hanyut dan menyimpang daripada ajaran Islam.Ada yang sekadar mewarisi baka-baka Islam keluarga mereka. Yang paling jelas jahiliyyahnya adalah kebobrokan sosial itu sendiri.

Memang tampak jelas bahawa umat Islam kini pada hakikatnya tidak faham erti Islam itu sendiri.

Islam itu bercirikan Rabbaniah. Syumuliah. Inqilabiah. 'Alamiah. Waqi'iyah. Thabat wa murunah.[klik sini]

Realitinya kini, kita sendiri dapat melihat melalui kaca mata kita bahawa tak semua ciri Islam ini diaplikasikan oleh umat Islam itu sendiri.

Sayu sekali apabila saya melihat kitab rujukan harian masyarakat kini (bak kata Ustaz Hasrizal abdul Jamil), kitab Utusan Malaysia sering dan acap kali mempamerkan foto-foto wanita yang tidak menutup aurat.



Kenapa ia dilabel kitab rujukan harian?

Sudah pastinya jika kita berada di mana-mana pun kita pasti tidak mampu untuk mencari akhbar selain akhbar kerajaan itu termasuklah berita harian. Cakap sahajalah, asal institusi kerajaan sahaja mesti wajib ada akhbar Utusan. Sejak mula dari sekolah sampailah ke kampus.

Saya tidak ingin menyebelahi pada mana-mana pihak. Aku cuma cuba berdiri di atas pagar dan cuba menjenguk dan terus mengkaji pro dan kontranya antara dua pihak ini.

Setiap hari,ada sahaja gambar-gambar yang pasti dan telah pun berjaya merosakkan iman umat Islam yang membacanya. Mana taknya, foto-foto itu ditayangkan di dada akbar tanpa ada rasa segan silu. Soal maruah bukan lagi agenda utama. Maruah murahan itu seolah-oleh boleh digadaikan begitu sahaja.

Jadi di mana penghayatan dan pengaplikasian Islam itu sendiri?

Kata muslim. Anut Islam.Ada ke Islam bagi tayang-tayang aurat macam itu sahaja?

Tolonglah faham apa erti Islam. Islam guna al-Quran, hadis sebagai panduan hidup di dunia ini.

Islam itu syumul. Bukanlah Islam itu sekadar beribadah di masjid sahaja. Bila di masjid barulah kita nak menutup aurat. Baru nak pakai tudung. Baru nak pakai kopiah.

Sering terbetik dalam benak fikiranku, bagaimana dengan semudah itu sahaja pihak atasan kerajaan membenarkan aurat umat Islam didedahkan sewenang-wenangnya. Bahkan ia sudah pun menjadi budaya masyarakat Malaysia kini. Benda itu sudah mangli pun pada mata masyarakat. Masyarakat telah pun dibutakan daripada ajaran Islam sebenar.

Saya masih tak nampak dengan jelas lagi di mana aplikasi sebenar negara Islam yang dilaung-laungkan oleh pemimpin-pemimpin Malaysia. Saya masih kabur terhadap pihak pemerintah dengan 'ghayah' (matlamat utama) kita sebagai umat Islam iaitu Allah. Saya masih ragu-ragu dengan manifestasi amalan yang ditonjolkan pihak atasan terhadap kalimah agung. Syahadatain.




Bukankah Allah sudah  pun berperintah,



Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.(QS. 2:208)


Saya amat kecewa dengan situasi ini kerana ianya punca dan pencetus gejala sosial itu sendiri. Bertambah kedukaan saya apabila mendapati kerajaan bertungkus lumus untuk membasmi kepincangan sosial tetapi dalam masa yang sama menggalakkan lagi ia berlaku menerusi media massa. Soal rancangan di televisyen usah dicerita.

Memang benar kata ustazku dahulu, Ustaz Ahmad Junaidi, televisyen memang syaitan nombor wahid di rumah. Melalaikan. Merosakkan. Kaya dengan racun hedonisme. Gersang dengan wacana ilmiah yang membina modal insan mukmin.

Ironinya pula, apabila saya cuba melihat-lihat akhbar yang sangat asing bagi saya setelah 18 tahun saya berkelana di bumi fana Malaysia ini, iaitu akhbar Harakah sejuk mata dan hati saya membacanya. Mana tidaknya, tiada langsung gambar yang menyakitkan mata memandang dan melihatnya. Iman pun terjaga.

Sekali lagi saya menyatakan bahawa saya masih berdiri teguh di atas pagar. Jauh sekali untuk melaga-lagakan kedua-dua pihak. Ini cuma lontaran suara. Semua orang berhak untuk bersuara dan mencetus respons dalam negara demokrasi. Ini cuma pandangan dan kesedaran yang baru sahaja berputik di hati saya setelah sekian lama saya boleh dikatakan buta untuk membezakan yang mana mahmud dan yang mana mazmum.

PENGHIAS BICARA AKHIR

Akhir kalam,saya memohon maaf jika ada keterlanjuran kata. Saya masih remaja. Saya remaja Islam yang masih baru dan sedang berjinak-jinak dengan ilmu siasah daulah. Komentar dan teguran amatlah dialu-alukan untuk menfaat kita bersama.

Saya sedang mengkaji lagi kitab terbaik dan terlengkap yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. Besarlah hasrat saya untuk melihat empayar Islam terbina di dunia ini sebagaimana megahnya Islam pada zaman Rasulullah dahulu.

Suka untuk saya memetik kalam panglima hebat Islam, Saidina Umar Al-Khattab,

"Mulianya kita kerana Islam...maka sesiapa yg mencari kemuliaan selain dari Islam maka kehinaan Allah akan menimpanya"
Comments
0 Comments

0 kritikan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...