Halaman

Saturday 21 February 2015

Dars Bersama Syeikh Yusri

Bayu pada tengah hari itu bertiup dingin. Suhu yang jarang-jarang berada pada 8°C benar-benar menguji iman sama ada hendak turun solat berjemaah atau tidak mahupun menguatkan diri ke kelas pengajian.

Sesampainya ke dalam Masjid al-Asyraf yang terletak di Muqattam, suasana mula bertukar.

Tenang.

Ruang masjid yang agak tertutup di bawah tanah benar-benar memerangkap haba dan menjadikan khutbah Jumaat dan pengajian selepas itu begitu selesa.

Hari ini hari istimewa.

Syeikh Yusri membuka kitab baru tambahan daripada kitab yang masih dalam pembacaan iaitu al-Muwatta', al-Khasais al-Kubra dan al-Azkar. Kitab al-Azkar ini setahu aku ia baru sahaja dibuka menggantikan kitab yang sebelumnya.

Kitab baru yang dibuka ialah kitab karangan Dr. Usamah al-Azhari iaitu al-Haqq al-Mubin. Dr. Usamah merupakan menantu kepada Syeikh Yusri dan kitab ini baru sahaja berada di pasaran. Ia merupakan kritikan ilmiah beliau terhadap pemikiran Syed Qutb dan juga ISIS.

Jarang sekali pengajian dan majlis umum seperti ini diadakan di Mesir bagi menjawab isu semasa umat Islam.

Hatiku berbunga-bunga ceria. Terubat kerugian kerana tidak dapat menghadiri majlis bersama Syeikh Ali Jum'ah yang juga menjawab persoalan-persoalan semasa daripada mahasiswa Malaysia di Mesir.

Benarlah pembimbing itu penting. Syeikh Yusri mengetuk pintu hatiku lagi pada kali ini dengan pelbagai penjelasan dan persoalan. Kefasihan beliau dalam membaca kitab-kitab turath benar-benar mengujakan aku.

Memang berbeza jika buku dibaca sendiri berbanding dibaca bersama-sama guru. Banyak ta'liqat (input-input tambahan) yang mampu diperoleh daripadanya kerana orang yang 'alim sudahpun mengkhatamkan ratusan malahan ribuan buku berbanding kita yang masih terkial-kial membaca dan mahu berlagak jaguh setelah membaca beberapa buku (semoga Allah melindungi kita daripada penyakit ini).

"Kita perlu menjadikan nabi sebagai insan yang paling kita cintai..." kata Syeikh Yusri.

"...kerana apabila kita mencintai baginda, kita akan turut sama mencintai masyarakat di sekeliling kita."

Syeikh Yusri benar-benar menghayati dan memahami agama ini. Pengajian beliau yang istiqamah sehingga ke hari ini membuktikannya. Berada di bidang perubatan tidak membuatkannya berasa ingin berlepas daripada memahami agama. Pangkat sarjana dalam bidang syariah al-Azhar merupakan manifestasinya.

"Tidak kiralah kamu dalam bidang perubatan ke, kejuruteraaan ke mahupun pertanian, ini agama kamu. Kamu perlu memahaminya."

Aku teringat tulisan Prof Wan Mohd Nor dalam autobiografi beliau, Rihlah Ilmiah yang menceritakan jerih payah beliau dalam mempelajari Islam di Amerika Syarikat. Kata beliau, masyarakat umum yang tidak berada di jurusan syariah dan yang berkaitan dengannya (usuluddin, lughah, ulum Islamiyyah dll.), paling tidak, perlu memahami asas-asas yang digariskan oleh Islam.

Dalam mensyarahkan kitab al-Muwatta', Syeikh Yusri mencadangkan beberapa kitab wajib bagi ilmu tasawuf yang mana kesemua kitab-kitab yang dikarang selepas itu, pasti akan berlegar-legar dalam lima kitab ini iaitu al-Risalah al-Qusyairiah, Manazil al-Sa'irin, Hikam Ibn 'Athaillah, Ihya' 'Ulum al-Din dan Qut al-Qulub.

Beliau juga menyebut bagaimana pemikiran usul fiqh Imam Syafi'i yang menjadi rujukan kebanyakan ulama' sehingga ke hari ini iaitu lima qawa'id fiqhiyyah; al-umur bimaqasidiha, al-dharar yuzal, al-yaqin la yazul bi al-syakk, al-masyaqqah tajlib al-taysir dan al-'adah muhakkamah.

Kelima-lima kaedah ini telahpun dipelajari secara kasar bagi sesiapa yang mengambil subjek syariah Islamiah di sekolah menengah dahulu dan permasalah fiqh hakikatnya begitu banyak dan memerlukan aqal yang benar-benar cerdas bagi memahami dan menyelesaikan masalah mengikut teks dan konteks.

Pengajian pada hari itu benar-benar menarik dan tergetus di jantung hatiku betapa beruntungnya mahasiswa jurusan pengajian Islam yang dapat berdamping rapat dengan para masyaikh dan memperoleh banyak titipan-titipan nasihat dalam beragama dan mengamalkannya berbanding jurusan sains yang condong kepada pembentukan pemikiran saintifik.


Comments
0 Comments

0 kritikan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...