Halaman

Sunday 21 February 2021

Kembalikanku ke Bumi Kaherah itu!



Setiap manusia pasti melalui fasa-fasa usia dan pertumbuhannya. Setiap fasa pertumbuhannya pula mempunyai madu kemanisan dan hempedu kepahitan pengalaman yang dicicipnya. Jika fasa kanak-kanak merupakan fasa pembelajaran tanpa henti daripada entiti persekitaran dan fasa bebas tanggungjawab yang perlu difikirkan, fasa mahasiswa merupakan fasa membina keranuman minda dan keupayaan menjana survivaliti kehidupan seseorang individu.

Aku tidak boleh melupakan saat-saat hujung minggu di kota Kaherah sebagai kota sejarah yang sarat dengan khazanah keilmuan dari tamadun Barat dan Timur. Saban hari di Kaherah, pasti aku sentiasa mencari buku-buku berkenaan sejarah Mesir baik buku panduan pelancong di Mesir, perbualan-perbualan dengan rakyat Mesir sehinggalah buku-buku ilmiah yang menggariskan sejarah panjang tamadun di sana seperti karangan Edward William Lane, Imam al-Suyuti dan memori Edward Said.

Waktu-waktu hujung minggu sebegini, jika tidak meneroka tempat-tempat bersejarah baharu, aku lazimnya akan meluangkan masa mencium aroma judul-judul buku baharu di Diwan Bookstore, Zamalek yang sangat kondusif dan sarat buku-buku terbaharu dari segenap genre baik yang berbahasa Arab mahupun bahasa Inggeris. Di samping lokasi kedai bukunya yang sangat strategik di tepi jalan utama jambatan Zamalek yang menghampar beberapa kilometer menuju ke Medan Tahrir, saiz kedai bukunya yang sederhana besar dan koleksi bukunya yang sentiasa dikemaskini setiap minggu, membuatkan tangkai hatiku terpaut utuh pada kedai buku tersebut. Di situlah, aku dapat membelek-belek idea kasar Edward Said, Foucault, Chomsky, Heidegger, Mortimer Adler, Sigmund Freud, Alaa al-Aswany, Murakami, Rumi, Muhammad al-Ghazali, Paulo Freire dan Tariq Ramadan.

Ini belum dikira dengan lokasi kedai buku itu yang di sekitarnya terdapat penjual buku terpakai di kaki lima. Aku pernah membeli buku Manufacturing Consent dan Understanding Power dengan harga LE 100 (RM 25) sahaja untuk kedua-dua naskhah original tersebut di kaki lima 400-500 meter dari kedai buku tersebut. Di sekeliling Zamalek itu juga, sekitar beberapa kilometer radius darinya, terdapat banyak insitut pendidikan dan kajian yang menarik. Aku sering menghadiri wacana Dr. Muhammad ‘Imarah dan Sh. Hassan al-Shafie di IIIT Zamalek, juga wacana mengenai Taha Hussein dan bahasa oleh Sh. Hassan Shafie di Majma‘ Lughah al-‘Arabiyyah. Perpustakaan awam di situ, Maktabah al-Qahirah al-Kubra agak uzur dan tidak diselenggara dengan baik. Mujur, aku menemui perpustakaan milik institusi Belanda, NVIC Library yang membuatkan aku melopong ternganga melihatkan koleksi langka bukunya yang sangat selektif kendatipun pustakanya bersaiz mini. Selain tempatnya yang kondusif, akses masuk yang percuma dan pustakawan yang mesra pengunjung, di situlah aku mengenal Marshall Hodgson, Dimitri Gutas, Jonathan Brown, al-Jahiz, Ibn Taimiyyah, William Hardy McNeill, Hamid Dabashi, Talal Asad, Bernard Lewis dan Naguib Mahfouz.


Benar kata-kata Edward Said dalam Out of Place, Zamalek merupakan manifestasi adunan dan tinggalan tamadun Eropah di Tanah Arab walaupun ia hanya dipisahkan dengan beberapa senggat sempadan sahaja daripada kota klasik Kaherah dan Medan Tahrir.

Jika aku dihimpit dengan kesibukan jadual kelas, projek mahupun imtihan di hospital pada hujung minggu, aku akan menggelintar di sekitar Medan Tahrir. Kedai buku AUC merupakan salah satu pengganti untuk aku mencuci mata dan merembaskan hormon-hormon stress yang ada. Koleksi buku di situ juga sangat menggiurkan kerana di situlah aku mengenali Seyyed Hossein Nasr, Karen Armstrong, Neil Postman, Benedict Anderson, Shahab Ahmed, Chomsky, Yuval Noah Harari dan Thomas Piketty.

Lazimnya, dua kedai buku itu menjadi tempat aku mencuci mata melihat judul-judul baharu selain kedai buku kecil di Maadi, The Bookspot. Usai membelek idea-idea penulis besar tersebut, rutinnya aku akan menggeledah secara lumat di kedai-kedai buku terpakai (azbakiah) sama ada di Mazen Bookstore di Thakanat al-Maadi, di atas stesen metro Attabah ataupun di deretean kedai buku di Sayeda Zainab.


Menjelajah ke ketiga-tiga kedai buku terpakai ini merupakan rutin mingguanku di Kaherah kerana koleksi buku-buku terpakai mereka tidak pernah susut. Semakin dihirup, semakin dahaga tekak minda dan sanubari dibuatnya. Di Thakanat al-Maadi, aku mula mengenali Neil Postman, Mortimer Alder, Chomsky, Edward Said, al-Jahiz, Muhammad al-Ghazali, Bernard Lewis, Soren Kierkegaard, Roy Porter, Taha Jabir al-‘Alwani, al-Suyuti dan Thomas Kuhn.

Di Attabah, aku mengenali kerenah-kerenah lebih 20 penjual buku terpakai dari yang ketagihan merokok sehinggalah kepada saudagar dan ilmuwan yang menjual buku-buku Arab yang mengetahui nilai tahqiq A hinggalah Z. Di sinilah aku mengenali Syeikh Abd al-Fattah Abu Ghuddah, Ibn Rusyd, Ibn Sina, Ibn Taimiyyah, Imam al-Ghazali, Martin Lings, Arnold Toynbee, Thucydides, Herodotus, Will Durant, Samuel Huntington, Neil Postman, Jacques Ellul, Soren Kierkegaard, Bernard Lewis dan Thomas Kuhn. Lokasi hamparan kedai buku di atas stesen metro ini sangatlah strategik kerana ia menjadi tumpuan dan titik temu masyarakat selain sedikit sebanyak membumikan budaya membaca sebagai salah satu budaya popular di sana kendatipun acap kali pengunjung dan pengulit buku terpaksa berhimpit-himpit dengan kesesakan arus jalan di antara maktabah tersebut.

Jika kesibukan menghenyak dahsyat batang tubuh dan ruang masaku, aku akan melangkahkan kaki beberapa minit sahaja ke satu deretan panjang kedai buku terpakai di sebelah metro Sayeda Zainab. Di sini, aku mengenali Imam al-Suyuti, Syeikh Ahmad Syakir, Ibn Qayyim, Rumi, al-Attar, Mortimer Adler, Toshihiko Izutsu dan Yuval Noah Harari.


Kebiasaannya juga, aku akan cuba mengikuti secara rapat 2-3 kelas pengajian turath di Masjid al-Azhar dan madrasah sekitarnya. Ilmu yang dicurahkan oleh ilmuwan di sana sangatlah rasikh (mendalam) sehingga membuatkan seseorang individu berada dalam kerugian yang tidak bertepi jika tertinggal hatta satu kuliah dan syarahan daripada kitab turath yang dikupasnya. Usai pengajian baik di Masjid al-Azhar, Universiti al-Azhar, Masjid Hussein, Madhyafah Sheikh Ismail al-Adawi, Madhyafah Syeikh Ali Jum‘ah, Raudhah al-Habib mahupun Masjid Dardir, lazimnya, puluhan maktabah bahu-membahu di belakang Masjid al-Azhar itu menjadi tempat persinggahan. Jika ingin melihat judul terbaharu dan kitab terbaharu, Maktabah Dar al-Salam yang terletak setentang dengannya akan menjadi tempat persinggahan para penagih ilmu di sini.

Acap kali juga, seseorang individu itu akan terserempak dengan para masyaikh dan tenaga pengajar di salah sebuah maktabah di sini - masing-masing ralit meneroka ilmu di sebalik pena ilmuwan terdahulu.

Tuhan, kembalikanku ke bumi sarat ilmu itu!


1 comment:

  1. Sangat menarik tulisan ini. Tulislah lagi, ya.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...