Milan-Brussels-Amsterdam-Manchester-London-Paris
2 Okt, Rabu
Perjalanan awal kami diuji apabila bas Super Jet ke Sharm al-Syeikh yang sepatutnya tiba pada 7.00 malam tiba pada 8.30 malam.
Masuk sahaja dalam bas, semua terus tidur kepenatan kerana perjalanan dari Mauqaf al-Mazah ke Sharm al-Syeikh memakan masa selama tujuh jam.
Lenaan kami dibangkitkan semula pada jam 9.30 malam dan 12.30 pagi oleh askar dan junta kerana ingin melakukan pemeriksaan barang dan pasport.
3 Okt, Khamis
Pagi kami diteruskan dengan menikmati pemandangan pantai di Shark Bay, 10 minit daripada lapangan terbang Sharm al-Syeikh.
Tidak banyak maklumat yang boleh diperolehi di kawasan pelancongan ini melainkan sedikit faktor geografinya yang berdekatan dengan Bukit Tur dan St.Catherine.
Kejernihan air laut di sini sama seperti perairan di Hurgada menjadi tarikan pelancong luar walaupun pada musim biasa (low season).
Petang kami dihabiskan di lapangan terbang Sharm al-Syeikh yang agak cantik. Ketiadaan buku membuatkan masa kami disia-siakan begitu sahaja.
Perjalanan Easyjet yang murah (tidak disediakan makanan) diteruskan pada jam 5.45 petang dan kami tiba di Milan pada jam 10.00 malam. Terkejut melihat gelagat rakyat Itali yang agak kurang sopan dan kecoh kerana kami sangka, masyarakat Arab Mesir itu sudah cukup dahsyat budayanya (sesetengah daripada mereka).
Kami bermalam di atas jaring kerusi lapangan terbang Milan. Kedinginan bayu di luar airport mengalahkan kesejukan pendingin hawa dalam airport.
4 Okt, Jumaat (Milan)
Hari yang menarik walaupun kami buat 'kerja gila' bermula awal pagi dengan berjalan kaki dari airport ke bandar berdekatan Milan dengan masing-masing menggalas beg 10 kg.
Berjumpa dengan komuniti muslim yang ramai merupakan satu perkara yang tidak kami sangka-sangka. Penuh satu dewan dengan muslim manakala khutbahnya pula disampaikan oleh khatib dalam bahasa Arab yang sama semangatnya seperti khatib-khatib di Mesir.
Komuniti muslim di Itali diuji dengan ujian yang kuat daripada serangan budaya masyarakat majoriti Itali. Sempat saya berbual dengan seorang warga Mesir, Muhammad Abu Faisal yang sudah 13 tahun bekerja sebagai pembina bangunan di situ dan beliau sendiri mengatakan biah di Itali langsung tidak boleh membentuk akhlak anak-anaknya. Oleh sebab itu, beliau meninggalkan anak-anaknya di Kaherah.
Tiada apa yang istimewa pada hari ini. Buat kali pertamanya kami di bumi orang tanpa bantuan, kesesatan dan terpaksa berjalan jauh walaupun kami mempunyai tiket yang membolehkan kami menaiki kenderaan awam ke mana-mana tempat di Milan. Kami hanya sempat melawat muzium dan bergambar di luar Stadium San Siro sahaja.
5 Okt, Sabtu
Banyak tempat yang kami lawati hari ini. Istilah-istilah Itali mula familiar pada lisan kami. Budaya masyarakat Itali agak dahsyat bagi masyarakat Muslim. Dengan iklan poster yang langsung tidak menutup aurat serta masyarakatnya yang gemar bercium di khalayak ramai cukup mencabar komuniti muslim di sini.
Secara kasar, tiga kelainan yang kami perasan di negara ini berbanding tanah air. Pertama dari segi kenderaan mereka. Mereka banyak menggunakan basikal dan jika dilihat basikal mereka sejenis dan akan ada tempat letak basikal khas. Menariknya lagi, kenderaan mereka akan berhenti di mana-mana tempat jika ada manusia ingin lalu.
Selain itu, mereka juga mempunyai farmasi 24 jam. Mereka meletakkan ubat-ubat asas di sebuah peti yang membolehkan sesiapa sahaja untuk membelinya. Terakhir, kereta api dua tingkat mereka yang saya kira sudah ada di beberapa negara lain.
6 Okt, Ahad (Brussels)
Tiba di Brussels selepas mengambil flight dari Milan selama satu jam setengah. Ibu negara Belgium ini tampak lebih moden daripada bandar Milan. Kami melawat dua tempat di sini iaitu Atomium yang terdapat maklumat berkenaan inovasi seperti Skype dan Ikea yang diasaskan oleh innovater dari Sweden serta Mini Europe yang mungkin menjadi kegemaran bagi kanak-kanak kerana terdapat banyak replika-replika di seluruh negara yang menyertai Europe Union.
Pertemuan tidak sengaja dengan sekumpulan doktor yang berkonferens di sekitar Eropah menjadi satu kepuasan bagi saya, berbanding bergambar bersama-sama monumen dan bangunan di sini.
Pertemuan tidak sengaja dengan sekumpulan doktor yang berkonferens di sekitar Eropah menjadi satu kepuasan bagi saya, berbanding bergambar bersama-sama monumen dan bangunan di sini.
Saya bertanya serba sedikit mengenai isu perubatan di Malaysia dan krisis di Mesir. Beliau mengatakan,
"Medic is still good to learn."
apabila saya menyatakan pendapat untuk menukar kos ke bidang lain dalam keadaan oversupply HO dan kekurangan tempat untuk MO di Malaysia. The best solution yang dicadangkan oleh ahli oftamologi yang berkhidmat di UIA itu, Prof Khairidzan ialah we must do the best and this is the competition.
Malam itu di hotel Ibis badget, kami dilayan dengan begitu baik oleh pegawai hotel dari Palestin. Kami tidak dikenakan cas tambahan untuk makanan sarapan dan minuman. Cukup dengan 20€ seorang. Wifi percuma juga merupakan satu nikmat di Eropah kerana kebanyakan tempat mengenakan cas kepada pengguna.
7 Okt, Isnin (Amsterdam)
Kulit muka dan tapak tangan disentuh lembut oleh angin sejuk yang menyelinap masuk ke tingkap hotel pada pagi ini. Layanan Akh Yasser yang berhasrat ingin menyambung PhDnya dalam bidang sejarah di Malaysia sangat menyentuh hati kami yang terkapai-kapai dalam survival kembara.
Jadual kami pada hari ini agak santai kerana kami akan meneruskan perjalanan ke negara kincir angin. Bas Euroline dari kota Brussels mengambil masa lima jam setengah untuk tiba di Amsterdam.
Setibanya di hotel, kami agak terkejut dengan orang yang melepak di tangga hotel. Menghisap rokok. Meneguk arak. Itu kontra hotel yang terletak di tengah jantung kota.
Usai meletak barang dan berehat seketika, kami menikmati juadah dari Turki. Garlic yang dicampur dengan mayonis sangat lazat dimakan dengan roti Belanda. Meram Restaurant ini antara restoran sederhana yang bagus untuk pengembara seperti kami.
8 Okt, Selasa
8 Okt, Selasa
Berjalan tanpa memikul beg berat di bahu menjadi satu kepuasan dalam melancong. Setakat ini, Amsterdam Museum berjaya mencetuskan rasa ingin menambahkan kajian dan pembacaan terhadap sejarah mengenai Revolusi Perindustrian, penjajahan Belanda dan Perang Dunia. Audio dan video pendek yang menarik dan mudah bahasanya meninggalkan sesuatu yang bermakna pada kami. Jewish Museum tidak mencapai tahap ini kerana penerangannya hanya pada audio.
Petang kami diisi dengan melihat haiwan-haiwan di zoo. Saya tidak tahu bagaimana saya boleh tertarik dengan keistimewaan yang ada pada setiap haiwan tidak seperti melawat zoo yang lain ketika di Malaysia. Jika sebelum ini, rancangan televisyen Untamed dan National Geographic mampu menarik minat saya pada benda sebegini, hari ini beberapa fakta baru yang ada pada haiwan di sini meneguhkan lagi kebesaran dan kekuasaan Allah dalam penciptaanNya.
Pada malam hari, kami dinasihati oleh nazir masjid Al-Fath, Akh Nasir. Masjid ini sudah beroperasi di Amsterdam lebih 30 tahun. Beliau mengingatkan kami supaya menjaga pandangan (غض البصر) ketika berada dalam budaya di sini. Syaitan boleh meniupkan nafsu syahwat dan menundukkan hati orang-orang beriman bila-bila masa sahaja.
9 Okt, Rabu (Manchester)
9 Okt, Rabu (Manchester)
Hari pertama kami di Manchester disambut dan dilayan baik oleh abang-abang dan sahabat di sini. Kami bermalam dalam kesejukan rumah pelajar Manchester yang terletak kurang lima minit jalan kaki ke universiti. Suhu pagi yang mencecah 3°C menunjukkan tanda-tanda awal masuk musim sejuk.
Bangkit sahaja daripada tidur, kami mengambil angin di Stadium Manchester United. Petangnya, kami sempat membeli-belah di pasaraya Primarks yang terkenal dengan kemurahan harganya di United Kingdom. Kami agak terkejut apabila dibawa ke kedai runcit yang menjual semua barang dengan harga 1 £!
Kehidupan pelajar Manchester agak murah berbanding pelajar di London. Dengan kos sara hidup sekitar 250-350 £ dan barangan keperluan seperti kicap, roti, susu dan lain-lain yang mudah diperolehi dengan harga yang murah, sudah cukup bagi mereka menjalani kehidupan dengan baki wang saku bernilai 600 £ (bagi tajaan Petronas).
10 Okt, Khamis
Hari ini mungkin hari ujian bagiku. Pengalaman pahit yang tidak mungkin aku lupakan ialah ketika dalam perjalanan ke Alton Tower. Ketika berada di dalam bas, aku terbersin ke arah seorang wanita di sebelah aku. Lantas, wanita itu marah dan memaki hamun kepadaku,
"You are very nasty man. Very disgusting. How come you sneeze to me?"
Dia memarahiku sambil memukul-mukul ke arah badan dan kepalaku dengan majalahnya. Lama juga aku terpaksa bertahan dengan sebelah tanganku setelah meminta maaf daripadanya.
Setelah sejam perjalanan, wanita itu berdiri sambil mengunyah-ngunyah gula-gula getah. Tanpa disangka-sangka, wanita itu meludah ke mukaku sambil mencaci-caci diriku. Saat itu aku terfikir bahawa betapa hinanya diri ini. Mungkin ini baru sahaja sekelumit ujian yang ditimpakan Allah ke atasku jika nak dibandingkan dengan ujian Nabi dan para sahabat yang dilayan dengan lebih teruk lagi.
Artikel 'Aku seorang Abdullah' tulisan Ustaz Hasrizal mula menerawang ke kolam fikiranku.
11 Okt, Jumaat (London)
Udara dingin mencengkam tubuh dan menyerap hingga ke tulang sum-sum ketika perjalanan kami ke sebuah surau di sini.
Pagi hari ini, aku berasa agak teruja melihat mujahadah pelajar-pelajar di sini untuk ke masjid yang terletak begitu jauh dengan tempat mereka dengan cuaca yang sejuk. Berjalan kaki akan mengambil masa sekitar 15 ke 20 minit. Halaqah Al-Mathurat dan sedikit petikan daripada Riyadhus Solihin menjadi rutin harian mereka.
Cuaca yang tidak begitu baik pada hari ini kerana hujan mengehadkan sedikit perjalanan kami. Kami sempat merakam saat kapal besar lalu di bawah Tower Bridge dan melihat kesergaman jam empat sisi terbesar di dunia, Big Ben.
12 Okt, Sabtu
Entah mengapa, hari ini baru timbul kesedaran dalam hatiku untuk membeli cenderamata buat keluargaku. Niat asalku untuk memborong buku-buku 'orang putih' yang murah terkubur dalam kesempitan masa berada di sini. Dua hari tidak cukup untuk menjelajah sesuatu tempat di sesebuah bandar.
13 Okt, Ahad (Paris)
Kereta api meluncur masuk ke terowong bawah tanah itu. Kaki kami melangkah masuk dalam kesibukan orang awam di stesen Trocaddero yang terletak Eiffle Tower di situ. Aku dihimpit dari belakang dengan memikul beg besar 10 kg itu.
Dengan tidak semena-mena, tiba-tiba poket seluarku bagaikan disentuh seseorang.
Aku menyentakkan badanku ke belakang dan melihat seorang perempuan kurus berkulit putih dengan muka bersahaja.
"I'm sorry."
Kedengaran laungan kata-kata itu.
Sampai sahaja pada stesen seterusnya, kami berempat bertanyakan sesama sendiri dan mendapati masing-masing nyaris-nyaris diseluk dompet oleh 'pickpockets' di sini. Betullah kata kebanyakan orang bahawa bandar tumpuan di Paris memang tidak lekang dengan 'pickpockets'.
Malam itu, dalam perjalanan kami ke Eiffle Tower semula untuk menikmati panorama pada waktu malam, kami terserempak dengan beberapa orang warga berkulit hitam yang sedang berlari ke arah bertentangan kami.
Salah seorang daripada mereka mencampakkan beg hitam mereka di depan mata saya ke arah pagar. Tidak berapa lama kemudian, kelihatan empat orang polis sedang mengejar penjual keychain dan souveneir itu. Kami meneruskan derapan langkah dengan kesimpulan masing-masing, menduga jualan itu jualan yang menyalahi undang-undang.
14 Okt, Isnin
Takbir raya versi Mesir bergema di AMF, sebuah institusi islam berbentuk masjid. Mereka hanya bertakbir sekali sahaja selepas solat maghrib dan bertebaran di atas muka bumi selepas itu.
Hari ini kami banyak mengambil masa di hotel. Berehat setelah hampir dua minggu berjalan tanpa henti setiap hari. Persekitaran kawasan di Porte de Montreuil itu mengingatkan kami akan kaki lima di Mesir yang lagi penuh dengan sampah sarap. Kebersihan Paris agak berbeza dengan kebersihan di empat negara awal yang kami jejaki.
15 Okt, Selasa
Kerinduan yang menebal pada suasana Aidiladha dan keluarga di Malaysia terubat selepas berjumpa ramai warga Malaysia di Kedutaan Malaysia di Paris. Semangat muda kami kembali berkobar-kobar apabila mendapat nasihat daripada pak cik berbangsa cina ketika berbual-bual dengan mereka.
Katanya,
"You all are the peer of state. Saya nak tengok lima puluh tahun akan datang, kamu semua akan jadi something."
Kata-kata ini sudah terlalu klise untuk diungkapkan tetapi ia akan menjadi sesuatu yang menusuk jiwa apabila kena pada tempat, masa dan keadaannya. Itulah hikmah. Sama juga seperti apabila mendengar khutbah berbahasa Melayu di luar negara. Ia akan lebih mengesan ke dalam jiwa.
16 Okt, Rabu
Hari terakhir di Eropah mungkin boleh menjadi hari yang suka, duka, kelam kabut ataupun hari yang biasa-biasa kerana perasaan penat bercampur baur dengan pengalaman yang dihadapi memberikan kesan serba sedikit.
Backpackers mengajar untuk menjadi rencam dalam berfikir lebih-lebih lagi apabila flight kami terpaksa ditunda pada pagi ini dan dalam masa yang sama kami perlu mengejar flight seterusnya yang akan depart lebih kurang setengah jam sehingga sejam selepas waktu tiba di airport seterusnya. Berlari sehingga berpeluh-peluh, berhadapan dengan kastam yang strict dan macam-macam lagi pengalaman yang menguji ketahanan seseorang.
Tips & pengajaran penting untuk backpackers:
1. Tukar duit siap-siap di Malaysia atau ejen yang tidak mengenakan cas ke dalam pound (untuk UK) dan euro (untuk negara Eropah lain) secukupnya kerana ejen tukar mata wang di sana akan mengenakan cas yang tinggi. Saya sendiri sudah rugi 40 € apabila buat tukaran 500 $ di sana dan 10 £ apabila membuat tukaran 300 $. Jumlah wang yang saya belanjakan menjadi 1100 $ yang sepatutnya 1000 $ sahaja.
2. Cari tourist guide. Saya lebih prefer pelancongan yang mempunyai tourist guide ataupun orang yang pernah pergi ke tempat tersebut dan tahu sejarahnya. Lawatan kosong sangat membosankan dan merugikan masa. Jika ada sahabat di sana, minta pada mereka untuk carikan senior-senior yang tahu sejarah tempat tersebut. Itu lebih baik sebab banyak benda boleh belajar.
3. Pastikan anda betul-betul minat dan berkeinginan untuk melakukan aktiviti ini supaya tidak berlaku penyesalan dan kerugian. Buat kajian mengenai tempat yang bakal ditujui dan minta tips daripada mereka yang berpengalaman dalam aktiviti ini.
4. Buat perancangan dan persediaan dengan teliti. Jika menaiki easyjet seperti kami, pastikan jika sudah ditetapkan untuk membawa satu beg sahaja, perlu bijak untuk mengehadkan pembelian cenderamata kerana ada daripada kami yang didenda sehingga 40 € kerana beg terlebih saiz. Sesetengah kastam di negara seperti Itali dan Netherlands agak tegas dalam isu ini. Tak pun, tempah siap-siap satu beg kargo untuk barangan tambahan. Mungkin harga cas dapat dikurangkan.
*Ini adalah coretan peribadi. Sebarang penambahan, kritikan dan komentar sangat dialu-alukan.