Halaman

Saturday 4 June 2011

Guru, Jasamu Sungguh Berharga!



Saya teringat hadis,


Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."


(Hadith Sahih - Riwayat Imam Ahmad)

Saya kira, masih belum terlambat untuk saya mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang telah banyak melimpahkan kepada saya segala ilmu.

Walaupun tanggal 16 Mei telah pun lebih setengah bulan berlalu, namun pada hakikatnya setiap hari merupakan hari guru. Guru bukan hanya perlu diingat dan dikenang pada satu hari sahaja.

Sebenarnya, saya sangat berhasrat untuk mengucapkannya pada tanggal 16 Mei tersebut. Namun, atas kesibukan program di pusat pengajian saya, Darul Quran dan juga atas kemudahan penggunaan internet yang terbatas, hasrat saya terpaksa ditangguhkan untuk seketika.

Walau apa jua masalah sekalipun, jasa-jasamu, yang telah banyak cikgu taburkan kepada saya akan sentiasa saya sematkan dalam kalbu.

Tugas seorang guru sememangnya tugas yang mulia. Mengajarkan ilmu kepada insan lain sangat besar manfaatnya.

Teringat lagi pesan Nabi yang sangat popular,

"Jadilah insan yang mengajar ilmu atau insan yang mempelajari ilmu atau orang yang mendengar ilmu atau orang yang suka akan ilmu dan janganlah jadi insan yang kelima. Maka, nescaya engkau akan binasa"

Pada peluang dan ruang yang Allah kurniakan kepada saya ini, saya memohon supaya cikgu berkati dan redhai segala ilmu yang telah cikgu ajarkan kepada saya. Saya amat berharap, cikgu mengirimkan doa kepada saya supaya saya dapat menempuh kehidupan dunia yang penuh mehnah dan tribulasi ini dengan selamat, yakni sentiasa berada di dalam landasan Islam demi menuju akhirat yang kekal abadi.

Proses menghafal kitabulLah di Darul Quran, Kuala Kubu Bharu merupakan langkah pertama saya keluar daripada jendela dunia. Pengalaman selama satu semester di bumi barakah itu juga cukup menguji ketabahan dan jati diri saya.

Saya akui, bukan mudah untuk menghafal Al-Quran.

Sekali lagi, saya pohon daripada cikgu-cikgu agar sentiasa mendoakan kejayaan saya dan supaya Allah memudahkan segala urusan saya di dunia dan akhirat.

Insya-Allah, saya akan cuba dan berusaha untuk mengaplikasikan segala ilmu yang telah cikgu kongsi dan ajarkan kepada saya.

Terima kasih cikgu. Pengorbananmu sungguh berharga.




Comments
0 Comments

0 kritikan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...