Halaman

Friday 3 June 2011

Minat al-Quran


"Din, aku baca tajwid salah. Boleh ke?" kata Abdullah dalam keadaan risau.

Pelajar MRSM Tun Ghafar Baba itu baru sahaja kutolak untuk menjadi imam. Dia bukan tak boleh baca ayat al-Quran. Bacaannya baik. Tambahan lagi, minatnya tinggi dalam mempelajari kitab Allah itu.

Dia baru sahaja kukenal beberapa hari yang lalu. Peramah orangnya. Suka belajar. Dia sudah lama menetap di kawasan berdekatan rumahku. Ingatanku masih segar lagi tika saat pertama perkenalanku dengannya.

"Abang, boleh ajar saya al-Quran?"

Itulah lafaz pertama yang meniti di bibirnya selepas kami bertemu di luar surau. Waktu itu, aku baru sahaja selesai mengimamkan solat fardu Isya’ di surau itu.

Usai solat Isya’, seperti biasa, al-Quran kami capai dari rak dan dia memulakan bacaan. Abang Fadhli – jiranku yang lebih awal kukenal – turut serta.

Abang Fadhli bersemangat agama orangnya. Dia berada di short sem dalam kursus al-Quran dan Sunnah di USIM. Keluarganya semua di Sabah kecuali dia dan adiknya yang kini pelajar diploma Darul Quran. Di surau itulah kami bertemu dan mula mencetus bibit perkenalan.

Memang benar.Masjid atau surau merupakan pusat sosial dan pertemuan masyarakat.

Di masjidlah, perkongsian ilmu agama khususnya dapat dilaksanakan.

Yang paling penting, misi murni dakwah dapat diaplikasikan.

Hari ini, sudah masuk hari ketiga kami bersama-sama dalam halaqah al-Quran. Minat yang sebati dalam diri Abdullah mendorong jiwaku untuk terus menyahut seruan Nabi. Ingatanku masih segar lagi mengenai hadis,

"Sebaik-baik kamu adalah yang belajar al-Quran dan mengajarkannya."

Teringat juga aku mengenai pesan Nabi,

"Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat."

Abdullah pun memulakan bacaan dengan Umm al-Furqan. Bacaannya baik. Lafaz makhraj setiap huruf agak sempurna. Cuma mungkin kurang latihan dan kurang ilmu tajwid menyebabkan dia kekadang tertinggal menyempurnakan hukum tajwid seperti dengung.

"Saya baca Quran, tapi saya rasa macam ada salah."

Itulah kata-katanya pada waktu kami mula berkenalan.

Halaqah kami bertiga pada hari ini singkat sahaja. Selalunya, banyak tempat dapat ditegur dan diperbaiki. Contohnya huruf-huruf isti‘la, tafkhim dan tarqiq, dengung dan waqaf. Semua itu kutuntut daripada Ustaz Muhammad Mukhlis bin Sabri, ustaz tasmikku di Darul Quran.

Sempat aku kongsikan bersama-sama mereka apa yang kupelajari. Puas hatiku setelah dapat berkongsi ilmu al-Quran. Banyak pepatah Arab yang mengatakan betapa ruginya insan yang tidak tahu mengaplikasikan ilmu itu.



"Ilmu tanpa amal ibarat pohon tak berbuah"

"Ilmu tanpa amal ibarat awan tanpa hujan"

Halaqah kami pada keheningan malam itu diakhiri dengan deringan telefon bimbit Abdullah.Keluarganya ingin keluar pada malam ini.Sempat dua helai daripada Surah Al-Kahfi dibaca.

"Thank you for everything"kata Abdullah kepada kami berdua.
Comments
0 Comments

0 kritikan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...