Halaman

Tuesday, 17 September 2013

Amalan Nilai Murni Lambang Keperibadian Bangsa Malaysia



Masa demi masa berlalu. Masyarakat dunia beralih daripada sebuah tamadun ke tamadun yang lain. Sesebuah tamadun itu akan maju apabila tamadun itu berpegang kuat pada agama mereka di samping umatnya sentiasa berusaha untuk menggerakkan pemikiran dan intelektualiti mereka serta tidak leka dibuai arus kenikmatan. Lihat sahaja bagaimana tamadun Islam di Sepanyol yang mampu bertahan lebih daripada 700 ratus tahun dan bagaimana tamadun Turki Uthmaniyyah ditawan oleh jentera Hulagu Khan.

Akhlak dan nilai murni merupakan salah satu tonggak masyarakat bertamadun. Rasulullah sendiri diutuskan untuk menyempurnakan akhlak umat manusia sehinggakan akhlaknya diumpamakan seperti al-Quran. Masyarakat yang baik merupakan masyarakat yang hebat dari sudut budaya dan tingkah laku mereka. Jika kita lihat sendiri, bagaimana negara Jepun dilihat sebagai negara yang gah pada mata dunia. Tidak lain dan tidak bukan, kerana mereka mempamerkan dengan cemerlang nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka seharian. Cukup sahaja dengan kalam popular Syeikh Muhammad Abduh, apabila saya berkelana di Mesir saya lihat Muslim tanpa Islam dan apabila saya berkelana di Perancis saya lihat Islam tanpa Muslim.

Begitu juga dengan Malaysia. Sesetengah masyarakat di negara yang kurang maju memandang Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat. Pengalaman saya sendiri semasa belajar di Mesir membuktikan bahawa Malaysia tidaklah seteruk seperti yang disangka-sangka oleh sesetengah pihak. Masyarakat Mesir begitu kagum dengan nilai murni dan perangai pelajar-pelajar Malaysia di sana. Ada juga dalam kalangan mereka yang berpendidikan sedar akan kemajuan pembangunan di Malaysia sehinggakan begitu beriya-iya untuk melawat negara ini.

Pada hemat saya, pengamalan nilai murni ini begitu signifikan sekali terutamanya bagi penuntut-penuntut yang sedang menyambung pelajaran di luar negara. Hal ini kerana, mereka ibarat ‘role model’ ataupun duta Malaysia di negara orang. Masyarakat di negara orang akan sentiasa melihat dan menilai tingkah laku pelajar asing di negara mereka. Hasil daripada pengamalan nilai murni ketika berada di luar negara secara tidak langsung boleh meningkatkan ekonomi negara apabila sektor pelancongan mula mendapat tempat pada hati pelancong.

Jika diteliti semula, perkara ini juga mampu menggalakkan masyarakat luar negara untuk mengkaji dengan lebih mendalam mengenai peradaban dan sistem pendidikan yang digunakan oleh negara Malaysia. Mereka pasti akan tertanya-tanya bagaimana masyarakat negara tersebut mampu mempamerkan akhlak dan nilai murni yang hebat tidak seperti negara mereka. Justeru, kita dapat lihat saban hari semakin ramai pelancong asing datang untuk menuntut di universiti-universiti tempatan.

Saya bawakan dua contoh nilai murni yang saya kira berbeza antara dua negara Islam ini. Di Malaysia, masyarakatnya lebih sopan dan beradab dalam bersosial sesama masyarakat berbanding masyarakat Mesir. Masyarakat Mesir lebih mudah panas baran hatta dalam perkara-perkara yang kecil seperti kesesakan trafik di jalan raya. Antara perkara yang menggelikan hati saya ialah acap kali saya lihat, mereka sanggup keluar dari kenderaan mereka untuk bertengkar apabila kenderaan mereka bertembung pada lorong kecil jalan.

Selain itu, masyarakat Malaysia dilihat sebagai masyarakat yang tinggi nilai budi bahasa. Masyarakat Mesir sering kali memuji pelajar Malaysia di negara mereka dengan ucapan ‘ahsan nas’ kerana mereka melihat dari sudut budi bahasa pelajar-pelajar di sana. Ini sama sekali tidak boleh membuatkan kita berasa selesa dengan situasi sekarang kerana bukan semua masyarakat Malaysia yang tinggi budi bahasa mereka. Kita dapat lihat sendiri di laman sosial bagaimana masih banyak lagi masyarakat kita yang mengeluarkan kata-kata kesat ketika berkomunikasi.

Jika kita soroti sejarah  Kesultanan Melayu Melaka, kita dapat lihat bagaimana masyarakat Melayu pada zaman dahulu kala menggunakan pantun, syair dan sajak dalam menyampaikan mesej dan mendidik masyarakat. Apa yang paling saya kagumi adalah bagaimana masyarakat pada ketika itu menegur pemerintah menggunakan bahasa kiasan yang dilihat lembut dan mudah diterima oleh pemerintah. Lihat sahaja pada karya sasterawan negara kita Usman Awang yang begitu berani dan kritis menyampaikan idea dan nasihat beliau. Namun, nilai murni ini kian terhakis dek kerana ledakan teknologi dan kemajuan sehinggakan kebanyakan anggota masyarakat berlumba-lumba mengejar kemajuan teknologi sehingga mengabaikan pembangunan sahsiah dan rohani itu sendiri.

Dr. Siddiq Fadzil pernah menegur perkara ini dalam himpunan makalahnya yang berjudul Islam dan Melayu. Beliau juga menggagaskan supaya budaya ilmu yang sebenar dipupuk oleh masyarakat Melayu. Apa yang beliau maksudkan ialah budaya ilmu itu bukan pada terdirinya banyak universiti dan institusi pendidikan tetapi apabila masyarakat di sesuatu tempat itu minat untuk belajar, membaca, berwacana dan berfikir. Oleh itu, kita wajar memuji usaha Islamisasi ilmu oleh Prof. Naquib al-Attas dan Dr. Sidek Baba menyedari akan pentingnya pendidikan sebagai tunjang pembentukan moral bangsa Malaysia.

Seterusnya, kita beralih pula pada pandang sisi dari dalam negara sendiri. Antara keunikan negara Malaysia adalah masyarakatnya terdiri daripada berbilang-bilang kaum, agama dan bangsa. Pelancong asing yang datang melihat gelagat dan tingkah laku rakyat Malaysia sendiri boleh menilai bagaimana budaya masyarakat di sini. Perkara ini dilihat jelas sekali terutamanya pada sambutan hari-hari kebesaran di Malaysia seperti Hari Kemerdekaan, Maulid al-Rasul, Hari Raya Aidilfitri dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, beberapa nilai murni harus diteliti semula dari semua lapisan masyarakat. Hal ini kerana, nilai ini semakin hari semakin terhakis ditelan arus kemodenan. Sebagai contoh, amalan ziarah-menziarahi dan bertegur sapa dilihat semakin kurang dipraktikkan oleh kebanyakan masayrakat masa kini. Masyarakat hari ini lebih gemar untuk bersosial secara maya di skrin komputer dan telefon bimbit, menghabiskan banyak masa di depan kaca televisyen dan kurang keluar bersosial sesama masyarakat terutamanya pada musim perayaan. Rasulullah sendiri menekankan prinsip ziarah-menziarahi ini dalam mengeratkan silaturahim apabila baginda berpesan ‘ziarahlah, nescaya bertambah kasih sayang’.

Sebagai konklusi, kita semua perlu sedar akan signifikan nilai murni sebagai lambang keperibadian bangsa Malaysia. Apabila masyarakat dididik dan berjaya mengamalkan nilai murni ini, maka biah yang baik akan terbentuk. Biah solehah sangat penting sebagai satu wadah untuk mentarbiah masyarakat di samping sikap ahli masyarakat dan sistem pendidikan yang berkualiti. Peranan menyuburkan dan memelihara nilai murni dalam masyarakat ini perlu diambil oleh pemuda-pemuda pada masa kini. Pemuda hari ini perlu menggerakkan akal dan pemikiran mereka seiring dengan tindakan supaya Malaysia mampu melahirkan lebih ramai pemimpin yang berfikiran jauh, matang, terbuka dan kreatif pada masa hadapan.

Pelajarilah daripada peribadi mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang mampu menggabungkan kedua-dua unsur ini apabila beliau mampu berfikir secara global seperti Dasar Pandang Ke Timur beliau dan hasrat beliau yang begitu tinggi supaya masyarakat Malaysia keluar daripada zon selesa untuk bergerak lebih maju berbanding negara-negara terkemuka di dunia. Tidak salah untuk berjiwa besar, asalkan ia seiring dengan praktikaliti, berpandukan kepada paksi Ilahi dan akhirnya ia dikembalikan kepada semula kepada masyarakat untuk berbakti dan sebagai usaha memberi.

DRNAZ, Acacia Park,
11.10 AM, 040913.


Comments
0 Comments

0 kritikan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...