Halaman

Sunday, 9 June 2019

Memandu di US vs Malaysia

Sewaktu memandu selama 3-4 jam tanpa henti di Amerika Syarikat (US) bulan lepas (kemudian bertukar-tukar dengan adik untuk 3-4 jam seterusnya), barulah terasa betapa berbezanya memandu di sana berbanding memandu di Malaysia.
Manakan tidak, perjalanan dari Rembau ke Kuala Pilah pada Hari Raya kedua hari itu  sahaja sudah menelan masa selama 3 jam (Ya, masih dalam negeri yang sama!). Terbaca pula rakan dari Kelantan yang pulang ke KL dengan mengambil masa 20 jam! 20 jam ini jika di US, sudah empat negeri atau bandar jauh-jauh beratus-ratus kilometer di sana habis dijelajah (Michigan State-Niagara Falls-Boston-New York sebagai contoh). Perlu diingat, keluasan satu negeri di sana sahaja sudah hampir menyamai keluasan Semenanjung Malaysia!
Apakah keistimewaan reka bentuk dan perancangan pembinaan jalan raya mereka di sana? Antaranya,
1. Pembinaan jalan dirancang dengan baik.
Jalan kebanyakannya diratakan dan terbentang luas. Jadi, perjalanan antara negeri yang beratus-ratus kilometer itu menjadi singkat dan dapat dijimatkan kerana jalan lurus sahaja dan rata.
Perumahan-perumahan kecil pula tidak bersambung terus dengan jalan besar atau jalan sederhana besar bagi mengelakkan kesesakan pada jalan besar tersebut. Sebagai contoh, walaupun masjid besar kelihatan terletak bersebelahan highway, tetapi anda perlu pusing keluar sedikit sekitar 2-5 km untuk sampai ke sana kerana penyusunan tempat tersebut dibuat bagi mengelakkan kesesakan trafik keluar tol dan jalan-jalan besar.
Usah cakaplah tentang "bucu-bucu dan simpang kecil" yang melata di kawasan kampung di Malaysia ini! Hatta terdapat "lampu isyarat khusus" untuk sebuah rumah di tepi jalan besar sehingga kita perlu berhenti berkali-kali pada setiap trafik yang dekat-dekat sahaja jaraknya.
2. Saiz jalan agak luas walaupun di kawasan perkampungan. 
Sukar sekali untuk menjumpai jalan kecil di US sana. Jalan semuanya luas dan ini memberikan ruang kepada motosikal, kerta, van dan lori untuk bergerak lancar di jalan raya.
Uniknya lagi, highway mereka dilengkapi dengan jalur-jalur gerigi yang terdapat di sepanjang tepi jalan bagi "mengejutkan" pemandu yang tertidur ketika memandu. Jika pemandu terlanggar jalur gerigi tersebut, bunyi yang kuat pada tayar akan membuatkan pemandu terjaga. Kedua-dua ini secara tidak langsung mengurangkan kadar kemalangan yang berlaku di sana.
3. Polis yang aktif berfungsi. 
Had laju memandu di highway sana adalah sekitar 65-75 miles. Jika anda memandu terlebih 5-10 miles, anda masih selamat. Kereta polis yang menunggu di antara persimpangan highway itu hanya akan mengejar kereta anda jika anda memandu laju yang berlebih-lebihan seperti terlebih 15 miles atau 20 miles daripada had laju yang dibenarkan.
4. Undang-undang yang benar-benar dikuatkuasakan.  
Jika anda memandu di sana, anda akan perasan hampir semua rumah mereka – daripada golongan elit sehinggalah golongan marhaen – tidak mempunyai pagar (sehingga habis tersingkap dapur-dapur dan ruang tamu mereka pada waktu malam!). Tetapi, pada setiap dinding rumah atau garaj mereka dilengkapi censor dan CCTV sekiranya terdapat kereta asing atau penceroboh yang ingin masuk.
Papan tanda sangat banyak dan bersifat deskriptif. Setiap lorong yang hanya untuk belok ke kanan contohnya, akan ditulis "only right". Jadi, pemandu tidaklah tiba-tiba terkial-kial keluar lorong tersebut lalu melintas dan melangkau 2-3 lane lain sehingga menyesakkan lagi trafik yang sudah sedia kritikal.
***
Berbalik semula di Malaysia, jika dilumati semula, jalan raya dari zaman saya sekolah menengah 9-14 tahun dahulu di Kuala Pilah & Batu Kikir, masih tidak berubah dan berada di takuk yang lama sehingga sekarang. Jalan masih sempit walaupun penduduk semakin ramai dan kereta semakin besar. Penunggang motor tiada ruang di jalan raya sehingga melambatkan lagi perjalanan kereta yang terpaksa mengekori motor yang perlahan.
Ini dirumitkan lagi dengan sikap pemandu yang masih mementingkan diri sendiri, tidak memikirkan pemandu lain (seperti masih memandu perlahan walaupun jalan kosong di hadapan) dan tidak mahir ketika memandu.
Ya, jalan masih sempit, lane masih tidak cukup dan laluan alternatif di "kawasan-kawasan panas" masih kurang walaupun pilihan raya diadakan berkali-kali dan masyarakat berlumba-lumba dan berkelahi ingin memegang jawatan itu dan ini tetapi denyut nadi dan derita rakyat masih tidak mampu diselami dengan solusi dan tindakan yang konstruktif lagi jauh ke hadapan sehingga sekarang.
Jika tindakan serius tidak diambil, usahlah kita hairan dan sambung merungut jika 10 tahun akan datang, perkara sama akan berulang malah lebih parah berbanding kondisi pada hari ini.


Comments
0 Comments

0 kritikan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...