Halaman

Wednesday 13 August 2014

Hidup Tarim dengan Islam

Ramadan lalu, aku berkesempatan untuk menyertai daurah yang dianjurkan oleh sebuah institusi yang diasaskan oleh Habib Umar iaitu Dar al-Mustafa yang terletak di Tarim, Hadhramaut. Sebuah tempat unik dan mempunyai masyarakat yang lemah lembut serta baik budi bicaranya. Juga kaya dengan sejarah bermula daripada zaman Nabi Hud dan Soleh yang berdakwah kepada kaum mereka sehinggalah kisah-kisah ulama' yang mengembara jauh ke merata tempat termasuklah negara Yaman dalam menuntut ilmu.

Aku telah pun mencoretkan sebuah catatan mengenai perjalanan harian secara ringkas ketika berada di sana, namun disebabkan masalah teknikal dan barangkali juga niat yang tidak tulus dalam penulisan, Allah ingin menguji sejauh mana kesucian niatku dalam penulisan menyebabkan tulisan itu hilang begitu sahaja dan insya-Allah dalam ruangan ini, ada sedikit kesimpulan sepanjang pengembaraan sebulan di sana.

Aku dan empat sahabat fakulti Kasr al-Aini yang lain tiba agak lewat di sana lantaran kertas peperiksaan yang tamat pada minggu pertama Ramadhan. Walaupun kami tertinggal hampir setengah daripada pengajian di sana, namun ia bukanlah satu kerugian kerana di sana, budaya ilmunya cukup subur di samping biah masyarakat setempat yang majoritinya mengamalkan apa yang dipelajari.
Pengajian di sana bermula dengan kelas tafsir pada setiap pagi selepas solat fajar kemudian diikuti solat Dhuha dan berehat sehinggalah tengah hari. Selepas zuhur, lazimnya mufti Yaman iaitu Habib Ali Masyhur (merupakan abang kepada Habib Umar) akan mensyarahkan kitab Muqaddimah Hadhramiah. Kadangkala, halaqah hadis menggunakan kitab Qutuf Falihin (petikan hadis terpilih daripada Riyadh al-Salihin) akan diadakan. Selepas asar pula, akan dibacakan kitab Qut al-Qulub dan bait-bait syair (Rasyfat) dalam alunan qasidah.

Pengajian daurah hanya itu sahaja, tetapi apa yang menarik lagi, pelajar-pelajar Melayu di sini lazimnya akan meminta ustaz-ustaz Melayu dan Indonesia yang sudah lama mengaji di sini untuk mengajar kitab-kitab asas seperi kitab fiqh, nahu dan juga tasawuf. Dalam kelas ini, banyak soalan ditimbulkan dan boleh dikatakan kebanyakan soalan kontroversi berkenaan amalan-amalan di Yaman dijawab dalam kelas ini.

Pada paginya, zikir akan dibacakan di surau sehinggalah azan subuh berkumandang. Pada petang Jumaat pula akan diadakan ziarah ke perkuburan auliya' dan ulama' di sini iaitu di Zanbal. Masyarakat Arab di sini tidak lokek untuk menumpangkan kami ke maqam tersebut yang terletak dalam lima minit perjalanan dari Dar al-Mustafa. Budaya ziarah-menziarahi begitu hidup di sini lebih-lebih lagi pada hari raya Aidilfitri.

Dari sudut pemakaian dan budaya harian mereka, mereka yang pertama kali ke sini ataupun pertama kali mendengarnya pasti terkejut kerana masyarakat di sini hanya memakai kemeja, jubah ataupun baju melayu serta kain pelekat sahaja dalam seharian. Ketayap di kepala tidak lekang dan sesiapa yang memakai t-shirt dan tidak memakai kopiah merupakan satu keaiban bagi mereka di Tarim.
Perlu diingatkan Tarim, Hadhramaut yang terletak di Timur Yaman agak panas dan kering suhunya berbanding di San‘aa yang terletak di Barat Yaman. Penduduk di sini rata-ratanya berpegang kepada Ahli Sunnah wa al-Jamaah manakala di Sana'a pula kuat dengan pengaruh Syiah-Wahabi.
Beberapa keunikan penting yang jarang dilihat orang terhadap bumi Tarim ini ialah tarbiyyah yang hidup di sini sehingga melahirkan ramai ulama' yang 'alim dan banyak menghafal hadis. Kemudian, ia menjadi tempat penyucian hati yang sangat bagus kerana biahnya yang sangat menggalakkan pengamalan ilmu-ilmu tasawuf serta budaya menuntut ilmu yang tinggi di sini kerana kebanyakan mereka akan fokus dengan penghafalan matan-matan kitab asas serta jauh daripada kelalaian penggunaan internet.

Ramai penuntut daripada seluruh pelosok negara datang ke sini untuk mempelajari ilmu walaupun pada asalnya untuk tazkiyah al-nafs. Bagi yang tidak mempunyai bahasa Arab yang cukup kuat, terjemahan 'live' radio di sini disediakan dalam bahasa Indonesia dan juga Bahasa Inggeris.
Namun, persediaan dari sudut wang dan kebiasaan untuk mengadaptasi badan dengan cuaca amat penting di sini. Kos sara hidup (makanan, kitab-kitab serta minyak petrol dan diesel) yang tinggi memerlukan bajet yang baik serta suhu pada bulan Ramadan dan Syawal yang mencecah 40°C sangat menguji kesabaran bagi sesiapa yang mahu ke sini. Bacaan-bacaan tambahan dan persoalan kepada mereka yang pernah berkunjung ke sini juga penting sebagai persediaan sebelum mengembara ke sini.
Comments
0 Comments

0 kritikan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...