Halaman

Sunday 3 February 2013

Motivasi Ilmu

Saya memulakan coretan pada kali ini dengan memetik beberapa idea yang dicanangkan oleh seorang pemikir Barat lulusan Oxford dan Cambridge, Edward De Bono dalam karyanya How To Have A Beautiful Mind. Antara cara berfikir yang diperkenalkan oleh beliau dan digunakan oleh banyak syarikat-syarikat besar dalam mengendalikan mesyuarat pada hari ini ialah The Six Hats. Cara berfikir melalui enam topi ini merupakan kesinambungan daripada parallel thinking yang beliau gagaskan pada 1985. Apa yang istimewanya cara berfikir ini ialah banyak idea boleh dikumpulkan dalam sesebuah mesyuarat dan tidak berlaku prejudis dalam membuat sesuatu keputusan. Sudah tentu ini merupakan langkah alternatif selain cara berfikir melalui perdebatan yang diperkenalkan oleh Socrates, Plato dan Aristotle.

Saya tidak berhasrat untuk mengulas panjang mengenai teknik berfikir ini tetapi ingin berkongsi secara rawak tentang ilmu-ilmu baru yang baru saya belajar. Moga-moga ia mampu menjadi satu proses penting saya dalam menuju kematangan. Umur 20 tahun saya rasakan merupakan usia yang cukup matang bagi seseorang remaja untuk kritikal dan kritis dalam pemikirannya, teratur dan mantap gerak kerjanya dan rajin dan sentiasa bersemangat dalam pengkajiannya. Al-Qaradhawi mengumpamakan usia remaja seperti teriknya bahang cahaya matahari pada waktu tengah hari. Maka, malulah bagi remaja-remaja yang sudah mencecah usia 20 tahun dengan ulama' dan tokoh-tokoh Islam terdahulu seperti al-Fateh yang sudah mampu menakluk Konstantinopel pada usia tersebut, Imam al-Syafi‘i yang telah pun menghafal Quran dan kitab al-Muwatta’, Ibnu Sina yang telah pun mengarang al-Qanun fi al-Tibb dan ramai lagi sarjana-sarjana Islam yang lain.

Antara masalah yang dihadapi umat Islam sekarang ialah malas membaca. Al-Qaradhawi menyebut bahawa ini adalah ujian umat Islam pada masa kini. Hebatnya ulama' terdahulu dan kini kerana rajinnya mereka menelaah kitab tidak kira kitab-kitab turath mahupun kitab-kitab moden. Dr. Wahbah al-Zuhaili pernah suatu ketika solat fardhu dalam keadaan duduk dan apabila ditanya kepadanya, beliau mengatakan bahawa beliau sakit tulang belakang kerana sudah tidak berdiri selama 13 jam kerana duduk membaca kitab. Sifat sebegini perlu ada pada masyarakat kini. Kesibukan berakademik dan bekerja tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak sempat membaca. Saya cukup kagum dengan beberapa kenalan yang masih ada pada hari ini yang begitu cintakan ilmu dan sanggup memborong banyak kitab dan merantau jauh untuk mendengar kelas-kelas pengajian.

Dalam kerajinan membaca pula, teknik-tekniknya perlu ada. Jenis bahan bacaan cukup mempengaruhi minda seseorang. Manakan tidak, Syed Qutb dipenjarakan kerana penulisannya yang lantang. Bagi seorang remaja, buku-buku yang berkaitan pemikiran, motivasi dan idea merupakan sebahagian genre buku yang bagus dalam mengasah minda dan membina pemikiran. Bak kata Syeikh Muhammad Abduh, kita tidak mahukan muqallid yakni orang yang bertaklid, tetapi kita mahukan mujtahid yang mempunyai asas-asas pegangannya dalam beragama. Fethullah Gulen, seorang ilmuwan dan pemikir Turki yang kini mula meningkat naik namanya memandang  bait-bait al-Quran dengan kalam nafsi iaitu dengan maksud dalamannya. Beliau juga cukup teliti dalam mengambil ilmu-ilmu dan penemuan sains kerana khuatir ilmu al-Quran itu ditempel kepada ilmu sains sedangkan fakta dan ilmu yang terkandung di dalam al-Quran itu sendiri sudah pasti akan kesahihannya berbanding penemuan sains. Penemuan sains mungkin akan berlaku perubahan pada masa akan datang apabila teknologi semakin canggih.


Comments
0 Comments

0 kritikan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...