Halaman

Sunday 19 April 2020

Tips Kuasai Bahasa Arab (Untuk Pemula)


Bagaimana hendak menguasai bahasa Arab?

Masjid al-Azhar yang subur dengan tradisi menelaah kitab-kitab turath
Saya beberapa kali juga disinggahi dengan soalan sebegini. Ada yang inginkan cara mudah, ada yang bertanya secara umum, ada yang tanya bersahaja, ada juga yang benar-benar bertanya tulus dari lubuk hati yang dalam, ada yang ingin membaca buku-buku Arab dan seumpamanya.

Baiklah, saya akan cuba titipkan beberapa tips dalam keterbatasan ilmu yang saya ada di sini.

Bahasa Arab merupakan antara bahasa yang paling sukar di dunia seperti bahasa Mandarin dan bahasa Jerman. Kemudian, barulah diikuti dengan bahasa-bahasa lain seperti bahasa Perancis, bahasa Turki, bahasa Inggeris dan sebagainya kerana bahasa Arab mempunyai skop bahasa yang sangat luas, pecahan yang banyak dan perincian yang dalam. Tatabahasanya sahaja sudah luas, belum masuk ilmu sarf (morfologi), balaghah (perumpamaan), fiqh al-lughah dan lain-lain. Setiap cawangan ni ada pecahannya lagi.
Untuk menguasai bahasa Arab, tidak dapat tidak, seseorang itu perlu peruntukkan masa yang lama. Tetapi minat dan semangat inkuiri yang sudah ada itu boleh diibaratkan sebagai benih baik yang akan bertunas kerana ia dapat memandu perjalanan pembelajaran kita sedikit demi sedikit dalam rihlah indah yang cukup panjang ini.
Beberapa tips penting berdasarkan secubit pengalaman yang pernah saya tempuhi adalah seperti:
1. Cara paling mudah untuk kuasai sesuatu bahasa adalah seseorang itu perlu mencari guru. 
Asas bahasa Arab itu perlu ada. Jika di sekolah menengah dahulu seseorang itu pernah mengambil subjek bahasa Arab dari tingkatan satu sehingga tingkatan lima, sekiranya seseorang itu benar-benar fokus dan menguasainya pada waktu itu, denai yang harus dijelajahi akan menjadi mudah sedikit untuk menempuh dan mengembangkan penguasaan bahasa Arab itu sendiri selepas itu.
Jika langsung tidak pernah terdedah dengan kelas-kelas dan asas-asas bahasa Arab, saya sarankan untuk segera mencari ruang dan peluang untuk berguru. Sebaik-baiknya adalah guru yang pakar dan ahli dalam bidang tersebut, murid perlu melalui tempoh yang lama, perlu bersedia untuk belajar dan mempunyai bahan bacaan dan asas pembelajaran lain yang mencukupi.
Sehingga kini, walaupun saya sudah terdedah dan belajar bahasa Arab baik secara formal dan tidak formal selama lebih 20 tahun, saya masih menuntut dan belajar perkara-perkara baru dalam bahasa Arab. Sewaktu menuntut di Mesir beberapa tahun lepas, saya tetap mendaftar dan masuk ke kelas bahasa Arab di markas bahasa. Waktu cuti musim sejuk dan musim panas telah saya peruntukkan kelas selama berjam-jam secara terus setiap hari. Ditambah pula dengan kerja rumah yang bertimbun-timbun setiap kali kelas diadakan mengalahkan kerja rumah dan assignment yang begitu kontang dari kuliah perubatan di universiti.
Cari kelas bahasa Arab baik yang berbayar ataupun tidak sekiranya mampu. Khatamkan matan al-Ājurrūmiyyah untuk nahu (grammar) pun sudah baik bagi tahap asas. Sekurang-kurangnya sudah dapat "kunci" untuk membaca. Di Malaysia, jika diselongkar dengan baik, tidak sedikit asatizah yang mengajar subjek ini baik di pusat-pusat pendidikan, masjid-masjid ataupun anjuran mana-mana badan persatuan yang berteraskan keilmuan. Saya pernah menyertai daurah matan asas dalam sarf di USIM selepas bergraduasi dari Mesir semata-mata hendak mengasah semula pisau ilmu sarf Nahw al-Wādih yang mungkin sudah tumpul ditelan usia dan suasana.
Syeikh Hamza Yusuf dengan guru fiqh dan usul fiqhnya,
Syeikh Abdullah Ben Bayyah
2. Apabila sudah ada asas, baca bahan bacaan setiap hari! 
Rangkul segala jenis kosa kata baru sekurang-kurangnya 10 kosa kata setiap hari. Kemudian, catatkannya dalam satu buku nota kosa kata (boleh campur dengan bahasa lain juga). Peruntukkan sekurang-kurangnya sejam sehari untuk membaca kitab Arab. Ini yang saya buat sewaktu 2-3 tahun pertama di Mesir. Setelah mencapai satu tahap keluasan kosa kata (yang mungkin sekitar beberapa ribu kosa kata sama seperti anda mempelajari bahasa Melayu dan bahasa Inggeris), anda sudah boleh membaca kitab-kitab Arab yang asas. Mulakan dengan menelaah kitab-kitab nipis, mudah dan yang kita minat dahulu. Barulah berpindah ke kitab sederhana dan berat. Tetapi, tahap hendak memahami 100% intipati buku itu pun bergantung kepada kosa kata yang kita miliki untuk genre dan disiplin ilmu tertentu. 
Maktabah Dar al-Salam, Hussein yang lantainya ditinggikan sedikit
 sebagai menjaga adab terhadap kitab apabila rak sudah penuh
3. Jika di Malaysia, mungkin itu sahaja pilihan yang ada. Tidak banyak. Boleh mantapkan lagi tiga kemahiran yang lain selain membaca – kemahiran mendengar, bercakap, menulis. Keempat-empat ini merupakan kunci untuk menguasai apa-apa bahasa.
Bagi mengasah kemahiran mendengar, dengarlah sedikit lagu-lagu Arab, tontonlah video-video Arab, tonton juga filem-filem Arab dan baca juga syair-syair Arab kerana puncak tertinggi dan keasyikan bahasa itu sendiri terletak dalam khazanah kesusasteraan sesebuah tamadun tersebut. Untuk permulaan, cari bahan-bahan ini yang mempunyai terjemahan atau sari kata. Lagu Arab baku (fusha) banyak dari tanah Saudi seperti nasyid alunan Humood al-Khudeir itu. Boleh dengar juga lagu-lagu Hamza Namira, Mostafa Atef, Syeikh al-Imam (yang sarat dengan satira), Cairokee dan lain-lain untuk bahasa Arab kampung (‘ammiya Mesir). Saya jarang menonton filem-filem Arab tetapi ada beberapa filem yang menarik seperti ‘Asal Iswid (عسل اسود) untuk lahjah ‘ammiah Mesir yang sarat dengan lelucon dan pengenalan kepada kebudayaan Mesir serta birokrasinya. Baru-baru ini, saya menonton vlog Obayd Fox di Youtube yang mempunyai terjemahan bagi dua bahasa iaitu Inggeris dan Arab. Menariknya video ini dibuat oleh anak kelahiran Britain berusia sekitar 15 tahun yang menetap di Saudi tetapi fasih berbahasa Arab dan Inggeris.
Dengan bahasa mudah, kuncinya ialah praktis setiap hari keempat-empat kemahiran itu. Di Malaysia susah sedikit untuk praktis bertutur kerana jumlah orang Arab yang tidak ramai (tetapi kadangkala, boleh dijumpai seperti sekitar lebih 10 orang Arab yang pernah saya jumpa sepanjang bekerja di hospital selama empat bulan dan saya terpaksa serta memaksa diri saya untuk menjadi penterjemah secara tidak langsung). Untuk pemula, kegiatan mencatat kosa kata itu sudah memadai. Catat juga hikam (kata-kata hikmah), bait-bait menarik, peribahasa Arab dan seumpamanya. Kemudian, boleh mula menulis karangan asas satu perenggan berkisarkan apa-apa sahaja. Di sinilah tugas guru sangat berguna untuk menegur dan membaiki penulisan kita. Aktiviti menulis ini merupakan takah tertinggi jika hendak menguasai sesuatu bahasa tetapi ianya amat mengasyikkan. 
4. Pelajar sesuatu bahasa wajib mempunyai kamus. 
Saya guna aplikasi kamus al-Ma‘ani (المعاني) dan aplikasi kamus Hans Wehr (kamus yang didigitalkan). Sebaik-baiknya beli versi cetak. Aplikasi hanya digunakan pada waktu kecemasan. Untuk permulaan, boleh beli kamus versi cetak bersaiz poket sahaja. Kunyah kamus itu sehingga lumat, lunyai dan kepam. Kemudian, baru boleh cari kamus saiz sederhana seperti kamus Hans Wehr, al-Qāmūs al-Muhīt oleh Fairuzabadi, al-Mu‘jam al-Wasīt (keluaran Mesir dan mempunyai tiga jenis: kecil, sederhana dan tebal) dan akhirnya barulah Lisān al-‘Arab yang berjilid-jilid oleh Ibn Manzur.
***
Sewaktu di Mesir dahulu, saya amalkan hampir kesemua tips dalam artikel ini tetapi kebanyakannya tipsnya sesuai untuk yang berada di tanah Arab. Cuma ada beberapa tipsnya boleh diaplikasikan juga. (https://www.google.com.my/amp/s/nathan-field.com/2016/04/27/20-strategies-for-becoming-an-extremely-high-level-arabic-speaker/amp)
Tips ini ditulis secara ringkas dan disasarkan kepada orang awam dan pemula bagi dunia bahasa Arab yang cukup mengujakan ini. Dalam tempoh rihlah yang panjang ini, anda juga pasti akan menemukan tempoh plateau yang panjang lagi melelahkan yang mungkin membuatkan anda tersungkur lalu berputus asa untuk meneruskannya. Namun, kemanisan buah-buah ranum bahasa Arab itu hanya akan diteguk penuh nikmat selepas anda berjaya melepasi plateau yang melelahkan itu (sama juga dengan bahasa-bahasa lain). 

Setelah anda mampu menguasai bahasa syurga dan (antara) bahasa tertua di dunia ini, lautan khazanah keilmuan Islam mampu anda teroka sehingga ke bucu yang paling dalam. Semua cawangan ilmu-ilmu Islam baik dari akidah, ilmu kalam, falsafah, fiqh, usul fiqh, qawa‘id al-fiqhiyyah, tasawuf, sehinggalah ke tafsir, ‘ulum al-tafsir, hadith, ‘ulum al-hadith, tarikh dan adab mampu anda teroka beserta dahan-dahannya yang menujah ke pelbagai arah itu.

تفقهوا قبل أن تسودوا
Mengapa pula saya kuasai bahasa Arab? Apakah perbezaan dalam buku-buku Arab berbanding buku-buku Barat?

Pada pandangan kerdil saya, boleh sahaja rujuk karya-karya Barat dengan syarat mempunyai ilmu-ilmu asas agama dan ilmu-ilmu alat yang mencukupi. Memetik Hamka dalam 4 Bulan di Amerika, "Barat kaya dengan intelektualiti, Timur kaya dengan spiritualiti."
Banyak sebab juga saya menelaah kitab-kitab Arab. Antaranya:
1. Dapat membaca rujukan primer buku-buku yang cemerlang. Contohnya, al-Attas merujuk al-Ghazali, Ibn ‘Arabi, al-Amidi, Ibn Manzur dalam Islam and Secularism, Prof. Jonathan Brown merujuk al-Buthi, Syeikh Ali Jum‘ah & banyak lagi kitab-kitab menarik dalam Misquoting Muhammad, Wael Hallaq, George Makdisi dll. pun turut melakukan perkara yang sama.
Kira akan dapat sentuhan secara terus daripada pengarang asal. Mesej pula tidak lari jauh seperti radio rosak. Tidak perlu bergantung terjemahan daripada sumber kedua dan ketiga. Kalau seperti buku Seni Berfikir Yang Hilang itu, saya boleh anggap tidak kisah pun tidak membacanya kerana saya sudah menekuni Thaqāfah al-Dāi‘yah sendiri beberapa tahun lepas. Cuma mungkin sentuhan konteks dan aplikasinya sedikit berbezalah di Malaysia.
2. Bahasa Arab lebih enak, mencapah dan mendalam jika kita benar-benar kuasai berbanding bahasa-bahasa lain. Setiap istilah dalam bahasa Arab sangat luas kosa kata, semantik dan ontologinya. Berkait pula antara satu sama lain. Oleh sebab itu, bahasa Arab merupakan antara bahasa paling sukar. Cuma dalam ranjau kesusahan itulah banyak terselit pohon-pohon kemanisan.
Sehingga ke hari ini, kosa kata bahasa Inggeris tidak boleh menandingi 9-10 jilid kitab Lisān al-‘Arab oleh Ibn Manzur walaupun kitab Lisān al-‘Arab itu dikarang berpuluh dan mungkin beratus-ratus tahun sebelum kamus bahasa Inggeris itu sendiri. 
Membaca Ihyā’ ‘Ulūm al-Dīnal-Munqiz min al-Dhalāl (Penyelamat dari Kesesatan) dan Bidāyah al-Hidāyah oleh al-Ghazali dalam bahasa Arab berbeza daripada versi terjemahan walaupun ada beberapa terjemahan yang bagus. Tambahan pula, karya-karya terjemahan sangatlah terhad. Banyak kitab-kitab Arab (mungkin hampir 80-90%) tidak diterjemahkan lagi dan kalau diterjemahkan pun contohnya, terjemahan tersebut tidak akan mencapai 100% seperti makna yang dikehendaki oleh penulis asal. Muqaddimah Ibn Khaldun terjemahan Franz Rosenthal itupun sebenarnya ada beberapa bahagian (mungkin banyak juga) seperti perbahasan tentang puisi-syair dihapuskan berbanding teks asal.
3. Khazanah keilmuan dalam dunia Arab lagi kaya berbanding tamadun lain terutamanya ilmu-ilmu agama. Ilmu sains sosial mungkin agak kurang sedikit belakangan ini tetapi rujukan dalam bidang itu pasti tidak akan kontang juga jika dipunggah. Untuk genre falsafah dan pemikiran, boleh baca tulisan Taha ‘Abd Rahman, Muhammad ‘Imarah dan Syeikh Muhammad al-Ghazali. Untuk genre agama, boleh baca semua buku al-Ghazali, Ibn Taimiyyah, al-Nawawi, Mustafa Mahmud dll. Bagi genre biografi lagilah banyak kerana jika dalam bidang hadis misalnya, setiap tokoh terkemuka itu baik Syeikh Nuruddin ‘Itr, Syeikh Muhammad ‘Awwamah mahupun Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah pasti akan mempunyai buku biografi berkaitan dengannya. Termasuk jugalah dalam disiplin-disiplin lain.

4. Sudah tentulah untuk mendalami ilmu agama dengan jalan yang paling dekat, dalam dan tepat kerana pada setiap hari kita akan solat, membaca al-Quran, berdoa dan berzikir. Masyarakat Arab Mesir pernah beberapa kali juga melahirkan rasa hairan kepada saya tentang mengapa ramai pelajar Malaysia tidak mengetahui bahasa Arab? Adakah rakyat Malaysia membaca al-Quran tetapi tidak memahami apa yang mereka baca? Saya bersangka baik dengan menjawab, mereka membaca terjemahannya sekali!

Syeikh Hamza Yusuf, Dr. Umar Faruq, Prof. Jonathan Brown, Syeikh Abdal-Hakim Murad dll. memeluk Islam dan menjadi ilmuwan Islam yang hebat di Eropah-Barat kerana mereka menguasai kunci agama Islam itu sendiri – bahasa Arab. Oleh sebab itu, mereka mampu mengajar, mengkaji dan menubuhkan institusi pendidikan di Barat sana setelah mereka menyelongkar khazanah keilmuan Islam yang melimpah ruah ini.

Bacalah Hamka, Za‘ba, Chomsky dan tokoh-tokoh hebat di dunia, mereka semua cuba dan pernah berhasrat untuk mendalami bahasa Arab. Jadi, tuntutan untuk mendalami bahasa Arab ini bukan tuntutan kuliah di universiti dan survival di tanah Arab semata-mata. Ia lebih bersifat jangka masa panjang dan manfaat tidak terkira.

Syeikh Abdal-Hakim Murad sewaktu mengembara ke Mesir
Syeikh Hamza Yusuf ketika mendalami Islam dengan kitab penuh di belakang.




2 comments:

  1. Penulisan yang baik, benar, bahasa arab antara bahasa yang perlu untuk dipelajari. Bab buku rujukan itu benar, dulu sewaktu belajar rasa nak menangis bila nak cari bahan rujukan. Menyesal tak belajar dan dan faham bahasa arab betul betul. Jazakallahu khairan jaza' untuk perkongsian. Tetiba rasa perlu belajar arab semula.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih . Motivation yg sangat baik.Sy jahil dan selalu bersedih bila org fasih bertutur bahasa arab . Doakan sy diberi kefahaman ilmu bahasa arab . Suatu hari nanti.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...