Halaman

Friday, 25 November 2016

Satu Malam di Bilik Pembedahan

Malam itu malam yang dingin. Bayu lembut sekitar hospital Kasr Al-Ainy menyelinap masuk ke rongga-rongga sweater. Kulit pipi dan tapak tangan bagaikan disentuh lembut bayu malam. Adakalanya kesejukan itu menusuk sehingga ke tulang sum-sum.

Pelan asal kami bertiga yang hendak melihat apa-apa operasi pembedahan bagi bahagian penyakit Kanak-kanak (paediatric) terpaksa ditunda dek kerana ketiadaan operasi pembedahan di Hospital Yaban pada jam tujuh malam itu.

Kami pun terus dengan perancangan kedua iaitu pergi ke Hospital Universiti untuk melihat operasi pembedahan di Unit Perbidanan dan Sakit Puan (obstetric & gynaecology). Lazimnya, ada sahaja operasi pembedahan di bahagian kecemasan bagi mana-mana unit. 24 jam operasi.

Sampai sahaja di blok bangunan Perbidanan dan Sakit Puan, kami pun memperkenalkan diri dan bertanya bagaimana untuk melihat pembedahan dan di mana lokasi bilik pembedahan tersebut.

Pakcik itu bertanya kembali,

"Kamu bertiga nak tengok proses bersalin biasa (normal delivery) ke proses bersalin secara pembedahan (caesarean section)?"

"Caesarean section!" pantas sahaja kami menjawab.



Operasi pembedahan pun bermula.

Pada mulanya, doktor memberikan suntikan bius di bahagian belakang badan (spinal anesthesia) ibu tersebut. Ia biasanya disuntik antara bahagian tulang belakang antara L2 & L3 atau L3 & L4 atau L4 & L5.

Setelah ibu tersebut berasa kebas pada kedua-dua kaki, doktor pun memulakan pembedahan. 

Iodine disapukan pada bahagian bawah perut pesakit. Kain putih diletakkan di sekitar kawasan yang akan dibedah dan doktor pakar tersebut mula memotong lapisan kulit, lemak dan otot pesakit tersebut.

"Lailaha illa Allah..Muhammadan Rasulullah..." kedengaran laungan suara ibu tersebut menahan sakit diiringi rintihan menanggung keperitan.

Seorang doktor yang lain pula cuba untuk menenangkan pesakit tersebut.

Setelah rahimnya dikeluarkan, akhirnya bayi tersebut berjaya disambut dalam keadaan baik. Kepala bayi berada di bawah dan bayi itu terus menangis sebaik sahaja dia disambut.

Kami pun mengikut pakar pediatrik yang membawa bayi tersebut ke bilik kecil bersebelahan bilik pembedahan tersebut dan melihat bagaimana bayi itu diuruskan untuk proses seterusnya.

Biasanya bayi tersebut akan diletakkan di bawah pemanas (preheated radiant warmer), dikeringkan dan saluran makan dan pernafasannya diperiksa supaya ianya normal dan baik-baik sahaja.

Sesetengah penyakit yang wujud usai sahaja disambut seperti duodenal atresia atau imperforate hymen memerlukan rawatan dan pembedahan segera kerana ia memberikan kesan kepada pernafasan dan tumbesaran bayi tersebut.

Suntikan vitamin K pun diberikan oleh doktor tersebut pada bahagian atas, luar punggung bayi tersebut untuk mengelakkan pendarahan daripada mudah berlaku.

"Uek....uek...uek..." bayi itu pun menangis.

Badannya yang putih melepak sebaik sahaja keluar daripada rahim ibunya mula menjadi kemerah-merahan petanda darahnya lancar mengalir ke seluruh pembuluh darah.

Kebetulan pula, kami baru sahaja belajar mengenai refleks otot yang perlu dilakukan bagi bayi yang baru lahir. Maka, kami meminta doktor tersebut menunjukkan beberapa refleks otot pada bayi tersebut untuk menguji sama ada ototnya normal atau tidak.

Antaranya adalah dengan meletakkan jari kelengking (setelah memakai sterile glove) ke dalam mulut bayi tersebut (suckling reflex), mengangkat kepala dan badan bayi tersebut lantas melepaskan kepalanya sedikit (Moro's reflex) dan meletakkan jari kita ke telapak tangan bayi tersebut (Grasp reflex).

Dalam masa yang sama, doktor yang membedah perut ibu tadi pun melakukan jahitan semula untuk pesakit tersebut. Jahitan dilakukan berlapis-lapis dan memakan masa beberapa minit.

Usai sahaja melihat dua pembedahan, kami pun bergegas pulang untuk persediaan kuliah pada keesokan harinya.



Malam itu ada dua perkara yang terlintas dalam benak fikiranku.

Pertama, betapa besarnya pengorbanan seorang ibu. Ya, kita mungkin boleh menuturkan kesukaran yang ibu kita hadapi ketika melahirkan kita. Tetapi sekadar melafazkannya di bibir acapkali membuatkan kita terlupa, terkasar bahasa dan mengguris hati ibu bapa kita tanpa disedari.

Dan melihatnya di depan mata kali ini membuatkanku terpana akan keperitan yang dihadapi. Belum lagi masuk pengorbanan ketika mengendongkan kita ke hulu ke hilir selama sembilan bulan dan membersarkan kita sehingga sekarang.

Kedua, peluang yang ada untuk belajar dan melihat operasi pembedahan di hospital universiti yang ternyata lengkap kemudahannya, banyak kesnya dan doktor-doktor yang peramah orangnya ini mungkin merupakan permata berharga bagi pelajar perubatan di Kasr Al-Ainy.

Bayangkan, berapa ramai pesakit daripada ceruk negeri lain sehinggakan ada yang memakan masa 5-6 jam sanggup datang ke Hospital Kasr Al-Ainy semata-mata untuk mendapatkan rawatan dek kerana perkhidmatan dan kemudahan perubatan yang terhad di tempat mereka.

Kita yang sihat dan tinggal sejengkal daripada hospital ini pula yang bermalas-malasan untuk mengambil manfaat daripadanya.


*Gambar adalah gambar hiasan.
Comments
0 Comments

0 kritikan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...