Halaman

Tuesday 22 November 2011

Zakat-Hijrah 1433H



Zakat menyucikan harta. Penyucian harta yang dimaksudkan adalah penyucian harta yang mungkin kebanyakan manusia terlepas pandang. Misalnya, seseorang individu bekerja selama tujuh jam. Waktu kerjanya bermula jam tujuh pagi dan individu tersebut datang kerja pada jam lapan pagi mungkin kerana rumahnya jauh daripada tempat kerja dan lain-lain sebab. Satu jam kelewatannya itulah yang dimaksudkan untuk membersih dan menyucikan dengan wang zakat.

Asnaf zakat berhak diterima oleh lapan golongan berdasarkan firman Allah dalam surah al-Taubah ( 9:60). Fakir, orang miskin, a'milin, mualaf, hamba sahaya,orang yang berhutang, orang yang berjuang di jalan-Nya dan orang yang bermusafir. Gejala kemiskinan hakikatnya mampu dibasmi sekiranya pembahagian zakat dilaksanakan dengan betul dan penuh integriti. Allah telah pun menggariskan kebenarannya dalam al-Quran.

Sebagaimana kisah pada era Umar Abdul Aziz, simptom kemiskinan dapat dibasmi dengan sistem zakat. Hal ini wujud kerana beliau telah melantik beberapa orang 'exco' untuk terjun ke medan masyarakat dan mencari sehingga ke lubang cacing asnaf-asnaf tersebut. Jadi, jika virus kemiskinan masih wujud di sesebuah negara,maka konklusi mudahnya adalah yang tidak kena dengan sistem pengendalian zakat tersebut.

***

Empat hari lagi kita bakal melangkah ke tahun hijrah 1433. Selama 1433 tahun hijrah telah dilakukan oleh Rasulullah, sejauh mana pula penghayatan dan pengaplikasian masyarakat kini terhadap peristiwa hijrah tersebut?

Nabi berhijrah menghasilkan sebuah daulah Islamiah yang cukup megah di kota Madinah. Hal ini wujud lantaran besarnya hikmah dan perjuangan menuju kepada hijrah tersebut. Lihat sahaja pengorbanan yang dilakukan oleh  para sahabat sudah cukup membuatkan kita ternganga mendengarnya. Jika tidak kerana dominannya hijrah Nabi ini, Saidina Ali tidak akan sanggup menggadaikan nyawanya menggantikan tempat tidur baginda Rasulullah SAW.

Perancangan yang sistematik juga turut membuahkan kejayaan yang besar terhadap hijrah Nabi. Serangan empat penjuru ke kota Madinah dan selok-belok perjalanan yang ganjil jelas melakarkan betapa signifikannya pelan tindakan untuk melakukan hijrah. Malang sekali, masyarakat kini gagal untuk menghayati hikmah di sebalik peristiwa hijrah ini lantas azam yang dipasang hanya menjadi omongan kosong semata,khilafah islamiyah laksana zaman nabi dahulu jauh sekali untuk diteroka.



***

Mesej yang ingin disampaikan di sini, pertamanya mana-mana sistem yang dilaksanakan haruslah dilaksanakan dengan telus, tekun dan mengikut prosedurnya terutamanya sistem Allah. Ironinya, sistem tersebut akan dipandang hodoh dan menimbulkan fitnah sekiranya tidak mengikut lunas-lunas syara'.

Keduanya, hijrah bukanlah suatu benda yang boleh dibawa main. Azam yang dipasang setiap tahun perlu dilaksana sehabis baik dan bukan cakap kosong semata. Azam yang dipasang pada tahun seterusnya pula perlulah tidak meninggalkan azam yang lama. Jangan sampai kita lari dari konsep hijrah yang digariskan oleh sunnah, iaitu memerlukan entiti pengorbanan dan strategi yang mapan.

Dua persoalan yang ingin dibangkitkan di sini,

1) Mengapakah masih wujud rakyat yang miskin di negara kita pada era langit terbuka ini?
2) Sejauh manakah pentingnya konsep hijrah kepada masyarakat kini?
Comments
0 Comments

0 kritikan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...