Alhamdulillah.... rezeki berada di bumi barakah. Pada 23 April lalu, aku berkesempatan bertemu dengan qari Mekah. The first impression aku dengar tentang perkara tu, bagaikan tak percaya. Insan yang sering kudengar suaranya di corong-corong radio akan sempat kutemu. Apa-apa pun, Allah Maha Berkuasa. Allah Maha Penentu. Pelbagai gelagat siswa siswi DQ ketika itu. Nak digambarkan betapa semangatnya mereka untuk berjumpa dengan syeikh Arab itu, sampaikan mereka sanggup beratur dalam tempoh yang lama, berbaris di permaidani merah yang terhampar buat julung-julung kalinya di masjid DQ.
Sedikit humor yang mencuit hati kami semua pabila,sebaik sahaja rombongan Syeikh Rahman Sudais sampai pada jam 2.20 petang. Kami yang tidak sabar-sabar ingin menatap wajah syeikh itu pun beraturlah dengan penuh harapan. Tunggu punya tunggu, tiba-tiba kedengaran sedikit riuh tanda syeikh sudah pun mula melangkah masuk ke masjid DQ. Bebola mata kami ketika itu memanah tepat ke arah pintu masjid tengah. Sekonyong-konyong, muncul wajah seorang syeikh berpakaian serba serbi persis orang Arab.
Teka-teki mula bermain-main dalam kolam fikiran kami tika itu.
"Biar betul ini Syeikh Sudais? Apa fasal pelik semacam mukanya? Macam mana mukanya boleh jadi agak lonjong?"
Rupa-rupanya, itu bukanlah Syeikh Sudais yang kami sangkakan. Kami ketawa kecil di dalam hati kami. Dia hanya pengiring Syeikh Rahman Sudais sebenarnya. Sejurus tiba di dalam masjid, beliau terus mengimamkan Solat Zuhur. Usai solat, beliau memberi sedikit nasihat kepada kami. Fuh, agak berselirat juga neuron otak kami untuk memahami lughah Arabnya yang cukup tinggi. Mujur, kebanyakan butir kalamnya dipetik daripada ayat al-Quran. Talk itu lebih kurang setengah jam kalau tak silap.
Di bawah ini anatara 10 wasiat beliau kepada kami, khususnya hamalah al-Quran....
Antara amanat yang disampaikan dalam muhadharah tersebut ialah:
1) Beriman dengan al-Quran dan beramal dengan isi kandungannya.
2) Bersungguh-sungguh membaca al-Quran kerana amalan membaca al-Quran adalah diibaratkan suatu perniagaan yang tidak akan rugi seperti yang disebut di dalam al-Quran.
3) Kepentingan menghafaz al-Quran, dan setiap individu muslim itu perlu menghafaz al-Quran setakat mana yang mampu.
4) Merenungi dan mentadabbur isi kandungan al-Quran kerana ia adalah mu’jizat yang agung yang menjadi taklifan untuk dihayati oleh setiap insan.
5) Melaksanakan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian.
6) Hendaklah berakhlak dengan akhlak al-Quran sepertimana yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW.
7) Menjadikan al-Quran sebagai sumber perundangan dan sumber rujukan untuk penyelesaian sebarang masalah
8 ) Mengambil al-Quran sebagai penawar (shifa’), dan bukannya merujuk kepada tukang sihir yang membawa kepada khurafat.
9) Mengawasi dan mengambil berat pada bi’ah sekeliling jika tidak merealisasikan ajaran al-Quran.
10) Menjadikan Islam sebagai cara hidup (way of life) kerana Islam adalah agama yang sempurna merangkumi seluruh aspek termasuk ibadah, muamalah, syariat dan sebagainya.
Di samping itu, beliau turut menasihatkan kepada para ibu bapa agar mengambil berat tentang pendidikan anak-anak dan memastikan ia menepati manhaj al-Quran agar menjadi pentarbiyahan yang sempurna dan terbaik buat mereka. Beliau juga berpesan kepada semua agar menguasai Bahasa Arab sebaik mungkin bagi tujuan memahami al-Quran. Di akhir ucapan, beliau mendoakan agar Darul Quran khususnya menjadi sebuah pusat pengembangan ilmu al-Quran dan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai contoh kepada negara yang lain dalam memartabatkan al-Quran di persada dunia.
Tamat ceramah beliau, ada sedikit terjemahan dan beliau sempat membacakan dan melagukan beberapa potong ayat Al-Quran.Subhanallah!!! Lunak sungguh suara beliau.
Kemudian, saat beliau berangkat untuk menikmati juadah.Saat ini suasana di dalam masjid mula bingit kembali.Berpusu-pusu orang cuba merangkul tangan beliau termasuk aku sekali.Tidak tahan dengan suasana dan situasi yang menghimpit,lantas aku mencari solusi mudah.Bergegas aku berlari-lari anak ke anak tangga.Alhamdulillah.....tak ramai orang di situ.Akhirnya....
"Assalamualaikum....Barakallahu fikum..." kata Syeikh Rahman Sudais sambil mengukir senyuman dan menyambut huluran tanganku.
Di bawah ini pula, beberapa gambar yang sempat ku'shot' menggunakan telefon bimbitku.