Halaman

Tuesday, 22 March 2011

Debaran Membukit

                            Belum pernah lagi aku terfikir agenda itu akan dilakukan di DQ. Teka-teki yang sering bermain di kolam fikiranku selama ini sudah pun diselesaikan. Rupa-rupanya kehidupan sebagai seorang hafiz bukanlah seperti apa yang aku sangka selama ini. Semalam, aku bersama-sama usrahku baru sahaja habis menonton filem 3 Idiots. Berbekalkan komputer riba yang naqibku peroleh, kami menonton bersama-sama hingga jam 1.40 pagi. 'Nasi bujang' dan air oren mama cafe menjadi santapan kami pada malam itu. Modus operandi yang digunakan oleh watak utama filem yang berkisar kehidupan di kampus India tersebut masih segar dalam kotak fikiranku. Memang semalam, hampir semua usrah menjalankan projek masing-masing.

                        Hari ini juga aku mulakan dengan hari yang bahagia. Modal yang kuhantar kepada ustaz tasmikku tidak dipertikaikan walaupun jumlahnya sangat sedikit. Pada akhir kelas, ustaz mula bertanyakan kepada kami sehalaqah apakah kami akan keluar daripda DQ setelah menggenggam keputusan SPM. Kemudian, bermacam-macam lagi persoalan ditimbulkan oleh ustaz berusia 25 tahun itu. Semuanya tidak lain dan tidak bukan melainkan untuk merapatkan lagi ukhuwah antara kami sehalaqah. Hari ini juga buat pertama kalinya ustaz menamatkan kelas lebih awal.

                                Seperti biasa, usai kelas tasmik prebet-prebet di Kuala Kubu Bharu pasti akan mendapat banyak panggilan. Dalam perjalananku dan sahabat-sahabatku yang lain di dalam komuter, kesabaran kami diuji apabila komuter yang kami naiki rosak. Perjalanan kami terhenti selama satu jam di stesen Rasa yang sunyi. Hanya pelajar-pelajar DQ sahaja yang ada. Mulalah masing-masing mengisi masa mereka dengan aktiviti bermanfaat. Membaca buku, i‘adah dan macam-macam lagi. Memang sukar sekali aku melihat mereka berbual-bual kosong. Sahabat seusrahku dengan buku 'How to Win Friend and Influence People' di sisinya. Kata pelajar nombor dua KISAS itu, ramai pelajar sekarang hanya pandai akademik tetapi tidak bijak mencipta pengaruh dalam bersosial.

                           Setelah beberapa lama kami menunggu, komuter yang lain pun tiba dan perjalanan pun diteruskan. Esok, pasti merupakan hari yang mendebarkan bagi semua pelajar-pelajar yang baru sahaja mengambil peperiksaan besar tersebut. Kata guruku, tamat peperiksaan itu kami baru sahaja akan keluar dari jendela dunia. Katanya lagi, peperiksaan itu menentukan masa depan seseorang. Hmmm, biarlah. Apa-apa pun, saat-saat akhir yang masih tersisa ini perlu kupenuhi dengan seinfiniti doa dan tawakal kepada Yang Maha Menentukan. Istikharahku sama ada terus berjuang di bumi tarbiah atau meneroka alam luar yang penuh mencabar, pasti aku lakukan demi memperoleh hidayah hakiki yang terbaik buat diriku dari Ilahi.
Comments
0 Comments

0 kritikan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...