Halaman

Sunday, 2 September 2012

Mengangkat Filem-Filem Bermaruah Melalui Sistem Pendidikan

Tapak kepada setiap insan adalah pendidikan. Melalui pendidikanlah manusia dibentuk akidahnya, diasah pemikirannya dan dipupuk akhlak dan etika individu. Bertambahnya ilmu seseorang bukanlah faktor menyebabkan individu itu sombong ataupun sanggup menyembah ilmu tersebut tetapi ilmu yang bertambah sepatutnya meningkatkan lagi ketaatan seseorang hamba kepada-Nya. Inilah hakikat ilmu yang mana kita membaca dengan nama Tuhan yang menciptakan kita (al-Alaq : 1). Apabila kita sedar akan hakikat ini barulah kita akan kembali semula kepada Rabb al-Jalil setelah mengisi ilmu di dada kerana kesemua ilmu di dunia ini adalah kepunyaan-Nya. Kita sekadar meminjam daripada-Nya.

Masyarakat pada hari ini realitinya berada dalam keadaan nazak. Apabila budaya ilmu kian dipinggirkan dan budaya hiburan mendapat tempat di hati masyarakat, maka kita tak dapat menyangkal bahawa sejarah berkemungkinan untuk berulang kembali. Dinasti Abbasiyyah (749M-1258M) yang subur dengan budaya ilmu dan penterjemahan, 500 tahun selepas itu runtuh akibat rakyat dan masyarakat yang suka berhibur pada waktu itu sehinggakan digambarkan oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam kuliahnya bertajuk Kejatuhan Uthmaniah bahawa masyarakat pada waktu itu sehingga menundakan solat Aidilfitri pada waktu Maghrib! Ini tidak mustahil berlaku sebagaimana kita dapat lihat sendiri video tarian kuda artis Korea, Psy yakni Gangnam Style 'view' nya sudah mencecah lebih 85 juta!

Seharusnya kita teliti semula sistem pendidikan kita. Sediakan ruang dan masa untuk ahli-ahli akademik, ahli falsafah, para ulama’ dan cendekiawan untuk duduk semeja membincangkan mengenai hakikat sebenar dan maqosid sistem pendidikan dari sudut spiritualnya dan sejauh manakah penerapan nilai-nilai rohani dalam sistem pendidikan. Ini dijelaskan lagi oleh Prof. Tariq Ramadan dalam The Quest For Meaning, bahawa produk-produk pendidikan sekarang hanyalah standardized individuals and citizens who adapt to society but who have not been taught to reform and transform anything. Tak ramai graduan yang mampu membawa tajdid dalam sistem kehidupan dan mengangkat nilai-nilai keagamaan dalam masyarakat pada hari ini. Beliau mengkritik lagi dengan menyatakan, there is nothing trivial about this change of emphasis: 'success' stories are publicized, but the nature and the substance of the 'success' are rarely questioned.

Pemilihan prioriti (fiqh al-awlawiyyat) yang betul dan sesuai megikut konteks masyarakat yakni perlu diperhalusi dengan baik oleh pihak berwajib. Dengan masyarakat yang terlalu dahagakan hiburan pada hari ini, penerapan kepada pendidikan seni visual semata-mata tidak wajar dilakukan. Penuntut-penuntut di universiti dalam fakulti kesenian perlu didedahkan dengan kesenian Islam dalam muzik, pentas perfileman, pengiklanan dan segala macam skop hiburan yang terlampau luas dalam konteks dekad ini yang mana hiburan mendapat tempat di hati masyarakat. Pergaulan menurut perspektif Islam perlu diketengahkan dan didedahkan kepada artis-artis dan penyanyi tanah air kerana isu kebejatan sosial semakin tenat. Kita perlu belajar dari perfileman Iran yang mengangkat nilai-nilai kemanusiaan dan ketuhanan seperti The Kingdom of Solomon yang tidak menggunakan CGI tetapi kaya dengan mesej dan A Separation yang berjaya memenangi Anugerah Oscar.

Antara filem Hollywood yang berjaya menyampaikan kefahaman Islam.

Negara perlu melahirkan intelektual-intelektual dan cendekiawan dengan lebih ramai. Kita tidak mahu filem-filem 'sampah' dan picisan Malaysia seperti filem cinta monyet yang hanya mendidik masyarakat supaya melanggar batas-batas syariat, filem tahyul dan khurafat yang hanya merosakkan aqidah masyarakat dan filem tidak bermoral lain yang nak menyampaikan mesej ma'ruf tetapi lebih banyak menunjukkan anasir-anasir mungkar. Negara perlu melahirkan penggiat seni dan filem yang bukan sahaja mahir dalam bidang itu sahaja, tetapi cekap juga dalam lapangan syair, antropologi, pemikiran, penulisan dan dialog Islam-Kristian seperti sarjana Islam di US iaitu Akbar S Ahmed. Usaha yang dilakukan oleh TV Al-Hijrah merupakan satu anjakan paradigma bernafas Islam yang sangat cemerlang dan perlu disokong oleh semua pihak, bukannya kebaikan ini dihalang. Kita amat kesal dengan kerugian dan masalah yang dihadapi stesen televisyen ini apabila pendapatan melalui pengiklanan hanya sekitar 2 juta kerana syarikat-syarikat gergasi enggan mengiklankannya di situ kerana takut dilabel 'islamik' berbanding kosnya setahun yang menelan 60 juta!

Kita menyokong kepada apa yang kita sepakat dan kita menentang apa yang kita tidak sepakat berdasarkan syariat. Sewajarnya kita meneliti semula sistem pendidikan kita. We must look what are the content of education, how the content is made and delivered, also why the content is delivered. Semua perkara memerlukan ilmu. Nak dunia mesti ada ilmu. Akhirat pun begitu. Muhammad Salam H. Marzuqi menyebut dalam bukunya hasanul mafaid min khiaril mawa'id dengan memetik kalam Imam Khalil bin Ahmad,

الرجال اربعة

رجل يدري و يدري انه يدري فدلك العالم فاتبعوه
رجل يدري ولا يدري انه يدري فدلك النائم فايقضوه

رجل لا يدري و يدري انه لا يدري فدلك مسترشد فعلموه
ورجل لا يدري و يدري انه لا يدري فدلك الجاهل فارفضوه
"Manusia ada empat jenis. Pertama, insan yang tahu bahawa dia tahu, maka itulah orang yang 'alim, maka ikutlah. Kedua, insan yang tahu bahawa dia tak tahu, maka itulah orang yang tidak sedar, maka sedarkanlah dia. Ketiga, insan yang tak tahu bahawa dia tahu, maka itulah orang yang mencari petunjuk, maka ajarkanlah dia. Dan keempat, insan yang tak tahu bahawa dia tak tahu, maka itulah orang yang jahil, maka tinggalkanlah dia."

Dengan kata mudah, untuk mengangkat tamadun sesuatu bangsa kita memerlukan ilmu. Seni perfileman misalnya memerlukan ilmu supaya pemikiran dan nilai-nilai kemanusiaan dapat diangkat. Wacana-wacana kritis perlu digiatkan sejak dari sekolah menengah lagi. Kita memerlukan graduan universiti yang mempunyai idea tanpa mempedulikan bidang yang diambil hatta dalam bidang bahasa sekalipun dan idea ini perlu berlandas teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Sewajarnya mahasiswa bidang seni mentadabbur satu ayat dalam Al-Quran setiap hari dan Sohih Bukhari dan Muslim menjadi satu silibus yang wajib dikhatamkan oleh setiap pelajar sejak dari sekolah menengah lagi supaya tasawwur Islam akan jelas pada kaca mata setiap generasi muda yang bakal mencorakkan masa depan dunia kelak. Apa mampu tercapainya realiti 'baldatun toyyibatun wa robbun ghofur' dengan sikap masyarakat hari ini yang malas mengkaji dan membaca?
Comments
0 Comments

0 kritikan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...