Halaman

Saturday, 8 September 2012

Introspeksi Buat Diri


Bismillahirrahmanirrahim. Wahai Tuhanku lapangkanlah dadaku, permudahkanlah urusanku, leraikanlah ikatan pada lisanku, faqihkanlah kata-kataku. Ya Allah, ilhamkan aku petunjuk dan lindungilah aku daripada kejahatan nafsu.

Setiap insan mempunyai cerita hidup masing-masing. Ada yang hidupnya sentiasa dilimpahi kemewahan. Ada yang hidupnya asyik kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang. Ada juga yang pernah menempuh kedua-dua situasi tersebut. Apabila sampai kepada suatu masa, setiap insan pasti akan terlintas dalam kolam fikirannya, kenapa ini berlaku dan kenapa itu berlaku? Apa tujuannya aku hidup di atas muka bumi ini? Kenapa jalan hidup aku berbeza likunya berbanding mereka yang lain? Bermacam-macam lagi persoalan akan terbit di kotak fikiran insan dan salah satu jawapan daripada persoalan ini ialah semuanya kerana Allah hendak menguji kita.

“Dialah yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji di antara kamu semua siapakah yang lebih baik amalannya. Dialah yang Maha Kuat dan Maha Pengampun.” al-Mulk: 2.

Ramai orang sangka ujian Allah hanya apabila mereka ditimpa bala dan bencana tetapi hakikatnya nikmat dan kesenangan itu sendiri merupakan ujian daripada Allah. Hari ini, aku mula terfikir kenapa ada orang Allah bagi kelebihan yang banyak berbanding sebahagian yang lain sedangkan orang yang dapat kelebihan yang sedikit itu lebih rapat dan dekat dengan Allah. Ini semua sebenarnya berbalik kepada firman Allah,

“Adakah mereka yang membahagi-bahagikan rahmat Tuhan kamu? Kami yang telah membahagi-bahagikan antara mereka keperluan dalam kehidupan dunia. Dan kami tinggikan darjat sebahagian orang ke atas sebahagian yang lain supaya sebahagian mereka dapat memanfaatkan sebahagian mereka yang lain. Dan rahmat Tuhan kamu lebih baik daripada apa yang kamu kumpulkan.” al-Zukhruf: 32.

Nikmat Allah di dunia berbeza-beza Allah berikan kepada hamba-Nya tak lain dan tak bukan untuk menguji tahap keimanan dan ketakwaan hamba-Nya. Allah memandang insan bukan dari sudut kekayaan material, ketinggian intelektual, kepetahan berpidato dan bukan juga tingginya populariti, tetapi yang menjadi kayu ukur di sisi Allah ialah nilai takwa yang ada dalam dada insan. Apabila Saidina Ali yang begitu faqih dalam bidang keagamaan selepas Rasulullah mengatakan takwa ialah takut kepada Tuhan, beramal dengan al-Quran, redha dengan nikmat yang sedikit, dan bersedia untuk Hari Akhirat maka kita perlu koreksi sejauh mana ruh takwa itu sebati dalam jiwa kita. Apabila ruh takwa menyelubungi insan, pasti seseorang insan akan melihat perlumbaan dan persaingan di dunia ini hanyalah sementara.

Hidup punya tujuan. Manusia tak dicipta sia-sia.

Menyedari daripada hakikat kehidupan insan dunia ini, fikiranku telah membawaku mengimbau kembali zaman kecilku sehingga sekarang. Daripada kecil bagaimana aku yang teraba-raba bertatih mencari erti kehidupan mula belajar sedikit demi sedikit. Masa kecilku diisi dengan permainan yang merupakan fitrah bagi jiwa kanak-kanak. Alhamdulillah, aku dibentuk di dalam acuan agama sejak dari kecil oleh ibu bapaku apabila aku dilatih untuk melazimkan diri membaca kitab Fadhail ‘Amal dan muqaddam secara istiqamah. Ada insan tak dapat nikmat sebegini aku fikir. Kemudian, mulanya alam persekolahan dengan penuh kegembiraan di sekolah rendah tatkala pada ketika itu aku langsung tidak menyedari kehidupan ini ada penghujungnya dan pada ketika itu aku terus mengikut aturan sistem yang ditetapkan oleh Allah.

Namun begitu, aku tetap fokus dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Sentiasa bersaing untuk mendapat tempat terkehadapan di dalam kelas tanpa menyedari ilmu itu pada hakikatnya untuk mendapat redha Allah, bukannya cukup dengan berasa puas dan bangga dengan tempat pertama! Aku akui minatku cenderung kepada ilmu-ilmu agama. Pertandingan tilawah, khat, hafazan mula aku sertai satu demi satu. Kemudian, berganjak ke sekolah menengah aku tidak mampu membuat keputusan sama ada hendak menyambung ke sekolah tahfiz di Negeri Sembilan ataupun sekolah berasrama penuh. Pejam celik pejam celik, dapat tawaran sekolah berasrama penuh dahulu sebelum sempat memohon untuk ke pengajian tahfiz gara-gara kegagalanku untuk membuat keputusan. Ini semua aturan Allah.

Masuk SBPI Jempol, dunia seakan-akan kelihatan lebih besar daripada sebelumnya. Mula kutemui rakan-rakan yang hebat yang tak sama kehebatannya seperti di sekolah rendah. Persoalan mengenai kenapa kemampuan dan kelebihan seseorang itu berbeza-beza mulai muncul, namun aku gagal menemui jawapan konkrit mengenai persoalan tersebut. Tak tahu mana silapnya. Mungkin aku belum mendapat hidayah daripadaNya untuk menyelongkar hikmah di sebalik kejadian ini di dalam Al-Quran. Barangkali.  Lima tahun di sekolah menengah memang satu jangka masa yang lama. Keluarnya daripada sekolah itu aku gagal menjawab persoalan Allah mengenai dengan apakah yang telah aku habiskan masa sepanjang usiaku di sana. Jika mampu pun, mungkin jawapan yang aku berikan dan aku ceritakan terlampau singkat berbanding tempoh lima tahun yang aku hidup!

Bermula daripada saat itulah aku terfikir dan menyedari bahawa masa hidup di dunia ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya. Aku akui berlambak-lambak dosa dan maksiat telah aku lakukan sepanjang usiaku. Memang benar kata Nabi bahawa setiap manusia ada masa lemah dan masa kuat. Oleh sebab itulah istiqamah merupakan elemen penting dalam kehidupan di dunia. Allah sebut,

“Sesungguhnya orang yang berkata Tuhanku ialah Allah kemudian istiqomah, Allah akan menurunkan malaikat kepada mereka dan mengatakan jangan takut, jangan sedih dan memberikan berita gembira bahawa mereka dijanjikan syurga.” al-Fussilat: 30.

Istiqamah bukan satu benda mudah. Orang yang betul-betul hebat sahaja yang mampu untuk istiqamah. Nabi pernah menjawab soalan sahabat, amalan yang paling disukai Allah ialah apa yang kekal walaupun sedikit (ما دام وإن قل). Masa yang gagal untuk kita penuhi melaksanakan ketaatan, maka sebaliknya yang akan berlaku. Maka, setiap insan perlu mencari kekuatan rohani dan membentuknya dalam hati kerana berbekalkan kekuatan spirituallah yang akan membendung manusia daripada perkara kemaksiatan dan kemungkaran. Kita sewajarnya memulakan sesuatu dengan memikirkan perkara akhir dalam minda kita. Begin with the end in mind. Kita semua akan menemui ajal. Tiada penangguhan kematian seseorang hatta sesaat. Sama-samalah kita renungi pesanan Allah ini dan memahatnya teguh dalam fikiran kita,

“Allah bertanya berapa tahun kamu hidup di dunia? Mereka berkata kami hidup sehari atau beberapa hari sahaja, tanyalah orang yang mengira kami hidup berapa lama.” al-Mu'minun: 113-114.

Setiap daripada kita akan ditanya di akhirat kelak ke arah manakah kita telah pergunakan masa kita dan kita disuruh untuk menceritakan semula. Jangan sampai kita gagal untuk menceritakannya pada kemudian hari!

NAZ, 1240 am, 090912.
Comments
0 Comments

0 kritikan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...