Dadaku kian berkocak. Jiwaku bergelombang. Satu demi satu nama yang terpapar pada papan putih itu kutatap. Puas aku mencari di mana calon SBPIJ yang berjaya merealisasikan target semua A tambah mereka. Namun tiada. Anak mataku tiba-tiba terpanah suatu nama. Nuruddin Azri bin Zulkafali@Zulkifli. Namaku. 9A+ 2A. Alhamdulillah. Aku langsung tidak menyangka aku dapat keputusan sebaik itu.Walaupun aku tidak berjaya mencapai targetku tetapi tidak mengapa. Mungkin itu yang terbaik untukku. Allah telah menetapkan aku untuk mendapat keputusan sebegitu. Teka teki mula terapung-terapung dalam kolam fikiranku. Apakah dua subjek yang gagal untuk aku realisasikan targetnya.Aku mula menduga subjek tersebut. Mungkin subjek kritikalku. Bahasa Inggeris dan Biologi. Dugaan itu aku simpan buat seketika demi mendengar sedikit taklimat daripada guru. Aku berasa sungguh bangga saat nama sekolahku diisytiharkan sebagai tempat kedua di Negeri Sembilan.Gred Purata Kesuluruhan yang dicipta oleh 'batch' tahun lepas berjaya kami pertahankan.
Aku terus meneliti keputusan
Sijil Peperiksaan Malaysia itu.35 pelajar mendapat semua A. Ramai juga rakan-rakanku yang tidakku sangka memperoleh natijah itu berjaya mendapat semua A. Kemudian, apabila aku mengambil slip keputusanku daripada guru kelasku, Pn. Rosmah bt. Md. Daron barulah persoalan berjaya dirungkai. Aku terkejut apabila mendapati subjek kimia aku mendapat A senyap sahaja. Cikgu menghadiahkan aku ucapan tahniah. Senyuman demi senyuman kuukir. Belum pernah lagi aku merasai nikmat kegembiraan sebegini rupa. Ya Allah, terima kasih atas segala kurniaan-Mu kepadaku. Seterusnya satu demi satu cikgu di sekolah itu aku serbu. Sekalung ucapan terima kasih kuhadiahkan pula buat mereka atas selautan ilmu yang telah dicurahkan oleh mereka. Sempat juga aku bergambar bersama-sama guruku. Terima kasih cikgu! Jika tidak kerana penat lelahmu mengajarku sudah tentu aku tidak mampu mencapai tahap ini.
Aku melihat ramai sahabat-sahabatku mula mempamerkan personaliti baru mereka. Ramai yang berambut panjang hingga menutup dahi. Mungkin mereka suka atau bangga dengan imej baharu mereka. Banyak perubahan telah berlaku pada rakan-rakanku juga sekolahku itu. Mantan ketua umum sekolah itu juga turut berasa pelik apabila aku memakai seluar slack. Mungkin mereka belum faham lagi atau tidak pernah bergema di gegendang telinga mereka rangkai kata 'Hasanah al-Abrar Sayyiah al-Muqarrabin'. Sedih aku mengenangkan mereka.
Kini, aku telahpun tamat satu ujian di dunia fana ini. Segala persoalan telah pun terjawab. Tiada lagi penantian terhadap keputusan itu. Adik-adikku yang masih berada di sekolah itu sempat juga kutemu. Sempat juga kukirimkan sedikit pesanan dan nasihat buat mereka. Rinduku kepada junior-juniorku kian terubat. Aku diundang ke Majlis Anugerah Cemerlang (MAC) pada tanggal 6 April 2011 nanti. Ya Allah berikanlah aku hidayah-Mu supaya aku dapat membuat keputusan yang terbaik dalam hidupku sebagai bekalan menuju hari akhirat kelak.