Halaman

Wednesday, 23 November 2011

Pemuda Islam yang Dijanjikan


Sesungguhnya umat Islam ini memiliki roh. Roh itu adalah Islam. Islamlah yang menghidupkan umat ini daripada kematian, menyatukannya daripada perpecahan, memecahkan belenggu kejahilan dan menjadikannya umat yang terbaik dalam kalangan seluruh umat manusia.

Islam pasti akan menakluk takhta kemenangan. Setiap kemenangan sudah tentu mempunyai syarat-syarat dan kriteria yang melayakkannya merangkul piala kemengan.

Antara syarat-syarat kemenangan:

1- Meyakini bahawa kemenangan itu datangnya daripada Allah (3:160, 8:9-11, 2:249, 9:40).
2- Membantu agama Allah (47:7, 22:41, 30:47, 37:173).
3- Menjadi mukmin yang sebenar-benar mukmin (8:12, 62-63)(33:6, 9)(9:26).

Generasi kemenangan yang dijanjikan Allah adalah generasi yang memahami Islam dengan pemahaman yang sohih dan sempurna. Tidak dicemari oleh klorin-klorin kejumudan,taqlid dan taksub melampau terhadap mazhab.Mereka juga memiliki ciri-ciri 'pengganti yang adil' (khalifah) yang akan memikul warisan kenabian bukan seperti seekor keldai yang memikul kitab-kitab besar sedang ia sendiri tidak tahu apa yang dipikulnya (62:5).

Mereka juga mengambil dunia sebagai 'jalan' dan bukan sebagai 'matlamat'.Sesungguhnya himmah (prioriti) mereka adalah akhirat dan tujuan mereka adalah mardhatiLlah. Kalbu-kalbu mereka bersinar dengan cahaya tauhid. Mereka tidak mencari Tuhan selain Allah, tidak menjadikan selain Allah sebagai rujukan hukum dan tidak mengambil selain Allah sebagai pemerintah.

Generasi yang dijanjikan ini juga enggan tunduk kepada Barat dan Timur.Cahaya mereka adalah diambil daripada pohon yang penuh barakah (24:35). Mereka tidak bekerja demi kepentingan mana-mana individu, kasta, parti ataupun sistem. Gerak kerja mereka adalah untuk Islam.Demi Islam. Mereka datang daripada umat Islam dan untuk umat Islam. Mereka tidak bermegah melainkan dengan dengan iman.Mereka tidak juga berbangga melainkan dengan Islam.

-Agama mereka terlalu agung buat mereka sehinggakan dunia menjadi remeh dalam mengharungi jalan agama.
-Aqidah mereka terlampau mahal harganya bagi mereka,lantas menjadi murahlah jiwa dan harta benda mereka.
-Sesiapa yang mengetahui nilai barang yang dicari,nescaya menjadi remehlah segala benda yang dikorbankannya.
-Allah Taala membeli daripada mereka dan mereka pun menjualnya. Apabila sempurna pemindahan milik antara mereka dan Tuhan mereka,tidaklah mereka menyesal dan ingin membatalkan jual beli itu.
-Mereka berkorban untuk-Nya padahal semuanya adalah milik-Nya.
-Allah Taala membeli harta mereka sedangkan Dialah yang memberikan rezeki.
-Allah juga membeli daripada mereka nyawa, yang Dia sendiri ciptakannya (9:111).


Mereka juga ialah generasi yang kuat dan mulia. Mereka membezakan perkara usul dan furu‘. Mereka di dalm usul bak besi yang keras manakala dalam perkara furu‘ ibarat sutera yang lembut. Mereka turut membezakan antara martabat sesuatu amalan dan hukumnya.Setiap amalan ada martabatnya. Setiap martabat ada hukumnya. Maka, fardhu berlaina dengan sunat, haram berbeza dengan makruh, dosa besar tak sama dengan dosa kecil,perkara yang disepakati lain dengan perkara yang khilaf, perkara yang tsabit dengan dalil qat‘i berbeza dengan perkara yang tsabit dengan dalil zhanni. Pendirian mereka bukanlah berlagak alim dan tidak pula mendakwa alim. Mereka merujuk kepada ahli dan pakarnya (35:14) (25,59) (16:43) (21:7).

Terakhirnya, mereka adalah golongan yang acap kali bertaubat kepada Allah.Menjaga diri daripada melakukan maksiat lebih diutamakan oleh mereka berbanding menjaga diri daripada musuh-musuh Allah dan musuh-musuh mereka. Mereka lebih khuatir berlakunya maksiat di dalam hati berbanding maksiat anggota tubuh badan.

Dan mereka inilah generasi yang ditunggu-tunggu. Inilah generasi yang 'disimpan' oleh Allah untuk membawa roh Abu Bakar al-Siddiq menentang golongan murtad (5:54). Generasi inilah generasi kemenagan dan dalam generasi inilah akan tertegaknya panji Allah di muka bumi seterusnya megahlah agama al-Khaliq di dunia makhluk ini.

Pada hari ini seruan ini ditujukan kepada seluruh anak-anak muda muslim agar mereka melepasi peringkat virus al-wahn dan lemah laksana buih-buih di lautan. Seterusnya menyertai gerombolan generasi rabbani yang ditunggu-tunggu.

Rujukan:
1- Yusuf Al-Qaradawi, Pemuda Islam yang Dijanjikan, Jundi Resources, Batu Caves Selangor, 2011.
2- al-Quran

P/S: Satu persoalan yang ingin dicetuskan di sini,
-Adakah benar umat Islam kini sudah jauh daripada ajaran Islam dan sejauh manakah komplikasinya kepada Islam itu sendiri?


Comments
0 Comments

0 kritikan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...