Halaman

Wednesday, 23 November 2011

Fiqh al-Awlawiyyat: Kualiti vs Kuantiti (Siri 1)



KEUTAMAAN KUALITI KE ATAS KUANTITI

1- Antara keutamaan gerak kerja menurut perspektif syariah ialah mendahulukan kualiti daripada kuantiti. Lipatan sirah nabi sendiri menumpukan kemantapan iman, kesabaran dan kecekalan berbanding bilangan tentera yang ramai. Kisah tentera Talut mengalahkan Jalut, perang Badar dan penaklukan daerah Mesir oleh Amr ibn Alash pada zaman Umar al-Khattab. Ironinya, pada perang Hunain, gerabak Islam nyaris-nyaris tertunduk tewas lantaran yakinnya dengan bilangan tentera yang ramai.

2- Kualiti yang dipentingkan oleh Islam juga terlakar melalui kisah Abdullah bin Mas'ud yang ditertawakan kerana betisnya yang kecil sewaktu memanjat pokok untuk satu keperluan. Apa yang hendak dipamerkan di sini, kesihatan dan kekuatan jasad yang dimiliki bercampur baur dengan sikap angkuh dan bongkak kurang diutamakan daripada tubuh badan yang tidak sasa tetapi mempunyai kemurniaan hati.

3- Hatta dalam amalan pun mementingkan karakteristik ikhlas dan benar. Ikhlas sahaja tidak memadai untuk diterima Allah dan begitulah sebaliknya.Ikhlas adalah mengharap penuh akan keredhaan-Nya manakala benar pula ialah amalan tersebut diimplimentasikan mengikut lunas-lunas Sunnah Baginda. Sehinggakan dalam memilih syurga pun Nabi menyarankan untuk memilih syurga yang paling maksimum kualitinya yakni syurga Firdaus.

4- Para sahabat era nubuwwah dan tabi'in seterusnya turut mencerminkan signifikannya kualiti berbanding kuantiti. Nabi sendiri berjaya membina mahkota ketamadunan Islam dan memakmurkannya dalam jangka masa 23 tahun. Saidina Abu Bakar berjaya membasmi gejala Riddah selama dua tahun setengah, Saidina Umar membuahkan sistem syura, sistem pentadbiran Islam dan kebebasan rakyat mengkritik kuasawan. Semuanya dalam tempoh 10 tahun. Saidina Umar ibn Abd Aziz menerajui kepimpinan Islam selama 30 bulan, Imam al-Syafi‘i dan Imam al-Nawawi hidup 45 tahun, Imam al-Ghazali hidup 55 tahun. Namun,sumbangan mereka tidak ternilai hingga ke hari ini.

ILMU ATAS AMAL

Ilmu adalah pemimpin dan amal adalah pengikut. Ilmu mesti berdiri di hadapan amal dan dialah yang menjadi petunjuk dan pembimbing segala amal. Wahyu pertama sendiri menyeru kepada tuntutan ilmu kemudian barulah wahyu kedua menyusul dengan manifestasi amal. Sebab itu, jumhur ulama memulakan tinta mereka dengan ilmu kemudian barulah amal kerana ilmu dan kefahamanlah yang membezakan antara hak dan batil, sunnah dan bidaah, sah dan batal,halal dan haram serta yang mulia dan yang hina.

ILMU PRASYARAT SEMUA QIYADI DAN MUFTI

Ilmu menjadi bekalan utama individu untuk menerajui kepimpinan dalam skop kehakiman, politik, ketenteraan dan mufti.Nabi Yusuf menawarkan permohonan memegang pos gabenor Mesir adalah kerana sifat amanah dan kemahiran serta pengalaman yang dimiliki. Anak perempuan Nabi Syuaib pun menyarankan ayahnya supaya melantik Nabi Musa menjadi pekerja akan kerana cirinya yang kuat dan dipercayai.

Dalam lapangan melontarkan fatwa pula mestilah orang yang pakar dalam setiap selok belok hukum dan syariah Islam dan juga komited dengan ubudiyah kepadaNya. Ironiya, fitnah bakal berleluasa dan sesiapa sahaja bebas memberikan fatwa dan pendapat tentang agama walaupun baru mengenal ilmu tersebut dalam jangka masa yang sangat pendek umpamanya hal-hal agama ini ibarat padang rumput yang sesiapa sahaja boleh masuk dan memijak rumput tersebut. Saidina Ali amat gemar akan individu yang apabila ditanya akan perkara yang tidak diketahuinya individu itu mengatakan "Allahu a'lam".

SIGNIFIKANNYA ILMU BAGI DA'I DAN MURABBI

Seseorang pendakwah dan pendidik harus terlebih dahulu menjadi seorang yang rabbani yakni orang yang:
-mengerti
-berilmu
-beramal
-dan mengajarkannya kepada orang lain. (al-Imran: 79)

Abdullah Ibn Abbas berpendapat rabbani bermaksud ulama’ yang bijak dan berhikmah. Pendapat lain mendefinisikan tadarruj dalam pengajaran iaitu orang yang sentiasa mengajar ilmu-ilmu yang kecil sebelum ilmu-ilmu yang besar. Imam ibn Hajar al-Athqalani menyebut, kita diperintahkan menjinakkan hati muallaf dengan mendedahkan kemudahan dalam usaha menyemai baja mawaddah dan mahabbah mereka terhadap Islam.

Rujukan:
1- Prof. Dr Yusuf al-Qaradawi, Fiqh al-Awlawiyyat, Thinker's Library, Petaling Jaya Selangor, 2009.
2- all-Quran

***

Satu persoalan yang ingin dilontarkan, sejauh manakah masyarakat Islam pada hari ini memahami dan menghayati keutamaan melakukan sesuatu perkara dari segi kualiti dan kuantiti?
Comments
0 Comments

0 kritikan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...