Halaman

Saturday, 6 October 2012

Mengenal Erti Syukur


Tiap-tiap orang ada landasan hidup masing-masing. Setiap jalan yang kita tempuhi di dunia ini semuanya berbeda. Ada orang sewaktu kecil hidup mewah, kemudian menjadi papa kedana. Ada juga yang masa mudanya tersohor namanya, kemudian tercalar gelarannya pada kemudian hari. Semuanya berbalik kepada rezeki masing-masing yang telah dibahagi-bahagikan oleh Allah.
Begitu juga dengan aku. Hari ini aku berada di bumi yang terkenal dengan timangan ardhul kinanah. Setelah seminggu berada di bumi Mesir ini bermacam-macam ragam dan hikmah yang aku belajar.

Sabar dan syukur.

Itu benda yang paling berharga sekali yang aku dapat.

Tatkala kita rakyat Malaysia sedang bersenang-lenang menyantap hidangan mewah, aku melihat anak-anak makcik di sini berebut-rebut meneguk sebotol air paip di tepi jalan. Sedang kita rakyat Malaysia merungut-rungut bilik kuliah tak selesa dan tak cukup kerusi, pelajar-pelajar medik di Universiti Kaherah berdiri di luar pintu auditorium sambil mendengar kuliah anatomi. Ada benarnya kita perlu melihat orang yang di bawah dalam keadaan kita sibuk mengejar dunia dan belajar dari orang yang atas dalam memburu akhirat.

Hari ini, alhamdulillah aku belum lagi diuji Sang Pencipta sehingga sebegitu rupa. Apabila kita berpisah dan berjauhan dengan keluarga ataupun insan yang banyak berjasa kepada kita, barulah kita sedar dan tahu untuk menghargai pengorbanan mereka walaupun sebelum ini buta dalam melihat jasa mereka. Cubalah sedaya upaya untuk menghargai nikmat di depan mata kerana ramai orang hanya mula menghargainya setelah nikmat itu lenyap dari kaca mata mereka.

Mengembara memang memberi banyak ibrah bagi yang betul-betul mengejarnya. Baru sahaja seminggu bermacam-macam perkongsian dan teladan yang aku perolehi. Di sini, aku telah berjumpa dengan pelbagai jenis orang. Apabila terserempak dengan sekumpulan kanak-kanak, mereka pasti akan memegang tangan kita dan mula berinteraksi dan bergurau senda. Kanak-kanak di sini memang peramah. Sama dengan orang dewasanya.

Apabila kita salah dalam melafazkan kata, mereka akan membetulkannya tanpa mentertawakan langsung. Mereka amat gembira dan berlapang dada apabila terjumpa dengan orang Malaysia.

Malizi?

Malizi au Indonesi?

Itulah kalimah yang mereka akan tanya apabila terserempak dengan orang Malaysia yang lalu di kedai mereka.

*************************************

Hari ini, aku baru sahaja berpindah ke rumah sewa baru yang memakan masa 20 ke 30 minit jalan kaki untuk ke universiti berbanding rumah sahabatku yang kutumpang selama seminggu yang hanya perlu gerak ke kuliah lima minit sebelum mula. Mungkin aku perlu belajar untuk bersusah payah dalam menuntut ilmu supaya aku lebih menghargai ilmu tersebut.

Bagiku, tiada gunanya jika kita menyerbu ke beribu-ribu majlis ilmu tetapi praktikalnya selepas itu amatlah sedikit. Sangat rugi. Penghayatan dan pengamalan ilmu yang sedikit kemudian istiqomah untuk menambahnya jauh lebih baik daripada itu. Biarlah ilmu itu sedikit, tetapi kita betul-betul menghayati ibrah susah payahnya untuk mendapatkan ilmu itu.

Ada seorang sahabat kata,

“Alhamdulillah, bersyukur aku dapat sambung belajar kat Mesir. Boleh join kelas-kelas talaqqi kitab. Kalau kat kampus lama dulu tu, macam-macam maksiat diorang buat. Zina tu benda biasa. Takkan aku nak tegakkan sorang-sorang?”

Terpukul tangkai hatiku dengan kalam tersebut lantaran jarangnya aku berasa cukup dengan segala macam nikmat yang ada. Benar kata hukama’, bergaul dengan golongan solih mampu memelihara iman di dada.

0722am,
21 September 2012,
Cairo, Egypt.

Comments
0 Comments

0 kritikan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...