Halaman

Saturday 12 March 2011

Membelai Sakinah

Jam pada telefon bimbit berjenama Sony Ericsson menunjukkan angka enam. Aku bangun daripada anyaman mimpiku lalu terus merungkai tali-tali syaitan satu persatu. Setelah ketiga-tiga ikatan maut itu kuleraikan, kitab yang mengandungi nur kucapai. Alangkah indahnya hidup ini pabila iris mataku melihat dan membaca kalimah-kalimah agung yang tertera dalam kitab itu sebelum aku melihat dunia ini. Memang membaca al-Quran selepas mendirikan solat Subuh merupakan suatu rutin yang mampu membawa kejayaan yang besar kepada pembacanya. Lantaran itu, tips yang mengandungi seribu satu hikmah itu sentiasa kujadikan amalan dalam kehidupan seharian. Kejayaanku dalam membariskan kitab tahririku senantiasa menjadi kepuasan bagiku. Minatku dalam memahat kalimah suci itu di dalam kitabku bagaikan telah berosmosis ke tunjang akhir kalbuku.



                  Hari ini, aku akan menjejakkan kakiku semula ke Darul Quran. Majlis gilang-gemilang yang kuhadiri semalam telah mengundang persoalan dalam kolam fikiranku. Setahu aku, upacara menepung tawar yang sudah pun menjadi adat orang Melayu ini tiada pada zaman Rasulullah dahulu. Laman sesawang berkaitan upacara ini terus kuterjah bagi mencari satu jawapan. Ya, memang ia satu bidaah dan akan menjadi satu syirik sekiranya ia mampu menolak bala dan menawarkan manfaat.



                 Lambakan berita yang terpampang di kaca-kaca televisyen sepanjang minggu ini sering bermain-main di kotak fikiranku. Tsunami di Jepun, BN menang dalam pilihan raya kecil, Muammar Gaddafi berkeras dengan pendiriannya dan macam-macam lagi. Masalah sosial usah dibicara. Dunia kian bergolak. Dalam keadaan tidak sedar, manusia alpa akan petanda-petanda yang telah ditunjukkan oleh Allah. Dunia hampir tiba ke penghujung usianya. Teringat aku akan dialog antara sahabat dan nabi yang mana pada ketika itu Rasulullah mengatakan bahawa umat akhir zaman adalah umat yang paling beruntung apabila ditanya oleh para sahabat. Aku berfikir alangkah ruginya jika kata-kata nabi itu tidak digunakan oleh umat kini ke arah kebaikan.

               Tarikh pengisytiharan keputusan SPM kini tidak lagi menjadi satu tarikh yang menggusarkan hatiku. Biarlah ia berlaku pada bila-bila masa. Tarikh 23 Mac 2011 ini mungkin menjadi tarikh keramatku di dunia tetapi bukan tarikh keramatku untuk akhirat. Kalbuku baru sahaja terpukul dengan satu lagi misi baru. Misi menegakkan kembali Islam. Ciri Inqilabiyah Islam yang kupelajari dalam usrah harus dimanifestasikan. Suka untuk aku ungkapkan kembali hadis Rasulullah yang menyebut Islam itu datang asing dan berakhir asing juga. Pertarungan dengan masa sejurus sahaja aku tiba di pusat pembelajaranku kini sentiasa menjadi debaran buatku.
Comments
0 Comments

0 kritikan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...