Halaman

Showing posts with label agama. Show all posts
Showing posts with label agama. Show all posts

Saturday, 3 December 2011

Catatan Dokumentasi Diskusi Tarbiah




CATATAN DOKUMENTARI DISKUSI

Tarikh        : 17/11/2011
Hari            : Khamis
Tempat       : Dewan Baru, Darul Quran
Masa          : 9.35 – 11.20 malam
Tajuk          : Mafatih Mahabbah. Relevan atau tidak?
Anjuran      : Biro Tarbiah dan Kerohanian IQRaC
Penyertaan : Pelajar IQRaC dan Diploma

ELEMEN PERBAHASAN 1: KONSEP TARBIYAH

Usul 1
-tarbiah ialah satu penjagaan, pengasuhan dan pendidikan.
-Imam al-Baydhawi dalam al-Anwar al-Tanzil mendefinisikan tarbiah sebagai menyampaikan sesuatu kepada kesempurnaan secara beransur-ansur.
-Al-Asfahani mentakrifkan juga menjadikan ansur-ansur kepada kesempurnaan.
-proses sistematik syumul untuk menghasilkan mukmin yang mempunyai lima ciri:
          -mukmin
          -muslim
          -mujahid
          -mutanawwi’in (pelbagai)
          -muttaqin

Usul 2
-tarbiah merangkumi pelbagai aspek, langsung dan tidak langsung dan terkandung hikmah.

Sesi perbahasan:
1       -tarbiah untuk jadi hamba dan khalifah.
          -elemen penekanan ialah akidah (surah Ibrahim)
          -cara berhikmah mengikut alur muwasafat tarbiah.
          -sasaran tarbiah ialah akal dan rohani
2-      -persoalan adakah berkesan penekanan tarbiyah dalam SYABAB kerana impaknya ada yang lari program seterusnya.
3-      -persoalan dijawab oleh salah seorang peserta SYABAB:
          -pendekatan SYABAB kurang syadid.
          -sesetengah peserta memberontak.
-mengutarakan tarbiah hanya berkesan pada sesetengah yang faham dan mungkin yang tidak faham boleh guna cara lain yang tidak syadid.

4.      -ada pendapat mengatakan mafatih mahabbah untuk semester FIZIQ bahawa kefahaman merupakan elemen penting terhadap konsep tarbiyah itu sendiri.
5.      -pendapat lain mengutarakan bahawa tarbiyyah dengan maksud lain adalah memaksa.
          -bersetuju dengan pendekatan syadid.
          -tarbiyyah bergantung kepada hati, bukan kepada program semata-mata.
          -konsep tarbiyyah yang tidak diterangkan di hujung mafatih mahabbah,lambat penerangan mengenai konsep tersebut iaitu menerangkan konsep tersebut hanya pada waktu program seterusnya yakni The Faith merupakan satu masalah.

ELEMEN PERBAHASAN 2:
KONSEP TARBIYAH DALAM MAFATIH MAHABBAH

Usul 1
       -konsep tarbiyah dalam mafatih mahabbah mengajar supaya menyerap tekanan dan dalam masa yang sama membina jati diri individu.
-Sultan Al-Fateh juga dididik secara syadid sewaktu kecil.
-mengusulkan bahawa pendekatan syadid mafatih mahabbah relevan.

Sesi perbahasan :
1.      -mafatih mahabbah merupakan ‘first picture’ apa yang bakal dilalui di DQ.
          -melatih benda yang susah menjadi sesuatu yang biasa.
          -tarbiyyah merupakan sesuatu yang berterusan dan tidak semua tarbiyyah berbentuk syadid.
2.      -menekankan mujahadah lin nafsi dalam tarbiyah.
          -Nabi tidak pernah menyuruh orang kafir memeluk Islam.Contohnya Nabi hanya menyuruh Bilal bin Rabah mengucap kalimah toyyibah.
3.      -berpandangan kesan syadid pada semester IRSYAD ialah pelajarnya menjadi kritis berfikir.
          -meyokong pendekatan syadid dan menimbulkan persoalan jika pendekatan syadid pun gagal untuk menjaga DQ apatah lagi pendekatan yang tidak syadid.

ELEMEN PERBAHASAN 3 :
PEMBAWAKAN TARBIAH RETORIK ATAU BERMANHAJ?

Usul 1
-Mengutarakan bahawa tarbiyah bermanhaj.
-Nabi pernah mengatakan dalam hadisnya, “Tuhan telah mentarbiyahku”
-Mengambil contoh kanak-kanak berumur 10 tahun perlu dirotan sekiranya tidak solat.
-Juga mengambil iktibar sirah yang mana Saidina Ali pada tujuh tahun pertama dididik dengan kasih saying,kemudiannya secara tegas.

Sesi perbahasan :
1.      -merujuk makna tarbiah dalam Al-Quran.Surah Al-Isra’ ayat 24 dan surah As-Syuara’ ayat 18.
-Syed Naquib al-Attas menggunakan istilah ‘ta’dib’ yang  merangkumi semua maksud pendidikan.
-mengatakan bahawa mafatih mahabbah hanya menekankan surface  pada aspek haraki.
-mafatih mahabbah tidak perincikan perkara yang asas dalam haraki iaitu fardhu muslim tetapi sebaliknya menekankan daulah.Ini merupakan satu masalah kerana tidak menekankan perkara asas dahulu.
-sokong syadid dalam menta’dib.
-mencadangkan supaya perincikan surface haraki tersebut.
2.      -menentang pendekatan syadid bagi yang tidak faham erti tarbiyah.
-kerana impak daripada ketidak fahaman itu pelajar memberontak.
-mengatakan bahawa pendekatan syadid dan mensyadidkan orang lain itu penting.
3.      -mengatakan kebanyakan ahli DQ berfikiran negative.
          -menyarankan supaya bersikap optimis terhadap program.
4.      -mengatakan para sahabat dahulu memahami kalimah toyyibah sedalam-dalamnya.
-menyarankan supaya sedar akan matlamat khusus iaitu melahirkan muslim bertaqwa dan memperjuangkan apa yang difahami.
-dan juga matlamat khusus iaitu menjadi hamba dan khalifah.
-menambah supaya menekankan pemahaman tauhid dan mengikut manhaj nubuwwah.

RESOLUSI

-tarbiyyah adalah apa yang kita belajar untuk mengenal erti hidup.
-tarbiyyah berlaku di mana-mana menurut Said Badiuzzaman An-Nusi.
-tarbiyyahlah yang membezakan manusia dan haiwan.
-pelaksanaan tarbiyyah perlu mengikut tahap.
-mesti ada follow-up.
-Imam Hassan Al-Banna kata jangan bergerak berdasarkan semangat,tetapi bergeraklah berdasarkan kefahaman.
-mengatakan bukan semua lulusan phD memahami erti sebenar perjuangan.Terdapat hadis yang mana barang siapa yang Allah menghendaki seseorang itu untuk faham,maka individu tersebut akan peroleh kefahaman itu.
-menyeru supaya bantu-membantu dalam perkara kebaikan dan ketakwaan.

Saturday, 26 November 2011

1433H



Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang.

Pada malam ini seluruh umat islam di setiap belahan dunia bakal menyambut tahun baru hijrah 1433.Sekarang semua hangat memperkatakan mengenai hijrah tidak kira di mana-mana sama ada di skrin facebook,corong-corong radio,kaca televisyen,di mimbar-mimbar khutbah dan dada-dada akhbar.Jelas kelihatan roh untuk berhijrah dalam kalangan umat Islam.

Tetapi persoalan yang ingin ditimbulkan di sini ialah sejauh manakah roh-roh Islam ini menghayati konsep hijrah yang dilakukan oleh para nabi suatu ketika dahulu?Dan seistiqomah manakah muslimin di seluruh dunia terutamanya di Malaysia untuk menghayati dan mengekalkan roh penghayatan Islam itu sendiri?

Nabi berhijrah bukan atas alasan untuk bersahaja.Ironinya nabi berhijrah ke Madinah atas perintah agung daripada Allah yang jelas ingin memaparkan bagaimana sunnah nabi dalam berhijrah tersebut dicontohi dan diteladani umat Islam generasi seterusnya.

Konsep pengorbanan yang ditonjolkan dalam peristiwa hijrah sudah cukup untuk melakarkan bahawa dalam sesebuah perjuangan itu sangat memerlukan perngorbanan tidak kira dari segi harta,pangkat mahupun nyawa.

Umat Islam pada hari ini juga harus sedar hijrah ini merupakan pemangkin semangat untuk individu terus melonjak maju di bawah lembayung kata muslim.Oleh itu,kualiti sebagai umat Islam harus dipertingkatkan yang mana bukan hanya dengan memasang azam retorik,bercakap berdegar-degar tetapi habuk pun tiada.Sebaliknya,buktikan kata-kata tersebut dengan amalan.

Pada skop yang lebih besar,pihak kerajaan juga perlu melakukan transformasi jenteranya terhadap Islam.Segala pandangan sinis terhadap hukum dan syariat Islam perlu dijernihkan semula dan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah itu haruslah tidak dikhianati.

Akhir kalam,jika ada titik-titik noda hitam pada tahun 1432 yang lalu,padamkannya dan tutup kitab tersebut dan gantikannya dengan kitab yang baharu.Bukan mudah Nabi mengusung dan menjulang Islam di Madinah sehingga Islam masih mekar hingga ke hari ini setelah 1433 daulah Madinah didirikan walaupun ia tidak semekar khilafah Islamiyah pada era nabi dahulu.

Ayuh sama-sama kita melakukan anjakan paradigma terhadap Islam dalam diri kita dan sekeliling kita!

Hijrah hati,
Hijrah peribadi,
Hijrah abadi...

Salam maal hijrah 1433H.

*************************************************

Bersempena maal hijrah yang bakal menjelang tiba,penulis telah melakar satu revolusi baru terhadap blog ini.Wallpaper baru sebagai pengganti kulit blog ini.

Maksud tersirat di sebalik gambar tersebut adalah apabila kita menegakkan dan membudayakan Islam dalam diri kita,maka akan terpancarlah nur Islam itu di sekeliling kita yang mana nur itu adalah dakwah kita sama ada dengan kata-kata mahupun perbuatan.

Laman kritikan dan perkongsian link juga dibuka kepada pelawat yang cintakan perkongsian ilmu.

Mungkin sedikit.Tetapi sedikit itulah yang bertindak sebagai pemangkin untuk transformasi yang lebih besar.

[Ar Ra'du : 11]
Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya. 

Patrikan ayat agung ini di dalam hati,pahatkan dalam memori.Moga kita sama-sama beroleh manfaat dan redha Ilahi.

Friday, 25 November 2011

Fiqh al-Awlawiyyat: Faham, Amalan, Perintah, Larangan (siri 2)




FAHAM ATAS HAFALAN

Sesungguhnya golongan yang paling tinggi darjatnya di sisi Allah dan rasul ialah orang yang memiliki ilmu dan kefahaman agama laksana tanah subur yang mampu menyerap air hujan dan menumbuhkan rerumput. Kemudian, mereka yang memperoleh ilmu agama dan mengajarkannya kepada orang lain bak tanah keras yang mampu menampung air yang banyak untuk diminum oleh manusia. Seterusnya, orang yang tidak mengambil peduli risalah kenabian dan tidak beroleh hidayah Allah umpama tanah tandus yang tidak mampu menyimpan air dan gagal menumbuhkan tanaman. Hal ini persis dengan keutamaan kefahaman yang dititik beratkan pada tiga generasi pertama Islam dan ironinya kini huffaz lebih diutamakan dan diagung-agungkan berbanding cendekiawan dan fuqaha' dalam bidang usuluddin, fiqh, akidah dan hadis.

Begitu juga peri pentingnya memahami maqasid berbanding zawahir. Antara tugasan muslimin di muka bumi ini adalah memahami dan menyelami intipati syariah Islam, menghubung kaitkan antara satu sama lain dan tidak berpegang teguh dan mengetahui makna ayat dan ajaran pada permukaannya sahaja. Ijtihad pula prioritinya lebih tinggi berbanding taklid kerana ilmu yang hakiki menurut ulama salaf ialah ilmu yang berdiri sendiri dan merdeka daripada pendapat orang lain. Sikap jumd dan statik adalah tercela dan dicemuh kerana kita perlu memberi pertimbangan terhadap perkembangan dan perubahan semasa. Imam al-Syafi‘i sendiri mempunyai qaul qadim dan qaul jadidnya.

PRIORITI DALAM FATWA DAN DAKWAH

Rasulullah mendahulukan keringanan dan kemudahan ke atas sikap memberatkan dan menyusahkan. Syariah menitahkan bersegera berbuka, melewatkan sahur, kisah Nabi mengutus Abu Musa al-Asy‘ari dan Muaz bin Jabal ke Yaman dengan pesanan, beri kemudahan jangan menyusahkan, beri khabar gembira jangan menjauhkan mereka dari Islam, kisah Muaz bin Jabal yang ditegur Nabi kerana membaca surah terlalu panjang ketika solat, kebenaran untuk memakan makanan haram ketika darurat dan memakai sutera ketika sakit.

Konsep tadarruj dan graduality juga turut diutamakan dalam mengembang biakkan masyarakat Islam. Tiga peringkat pengharaman arak dan kisah khalifah Umar Abdul Aziz dengan anaknya yang tidak menghapuskan kezaliman di tengah-tengah masyarakat serta-merta demi mengelakkan fitnah besar terhadap agama cukup membuktikan dominannya tadarruj. Tambahan, modus operandi untuk menentukan prioriti sesuatu hukum perlulah berdasarkan konsep al-Quran sendiri. Aspek yang banyak ditekankan seperti solat, zikrullah, tawakkal, takut akan azab, bersyukur, berakhlak terpuji, pupuk silaturahim dan berbakti kepada orang tua perlu diberi lebih prioritinya berbanding unsur yang kurang diberi penekanan seperti isra' Nabi, maulid rasul dan kelahiran Nabi Isa.

KEUTAMAAN LAPANGAN AMAL

Amalan yang menabur manfaat kepada orang ramai adalah lebih utama menurut lunas Islam. Orang yang berjihad tidak sama dengan orang yang menunaikan haji yang memberi faedah hanya senya untuk diri sendiri sahaja. Surah al-Taubah 19-20.

Ilmu dipentingkan daripada ibadah. Pemimpin Islam yang adil lebih jauh berganda-ganda diutamakan berbanding seorang ‘abid yang beribadah bertahun-tahun lamanya kerana boleh jadi satu hari yang digunakan oleh seseorang kuasawan digunakan untuk menggubal undang-undang yang mampu mencetuskan kesedaran dan keinsafan jutaan rakyat berbanding ahli ibadah yang hanya mampu memberi keinsafan kepada diri sahaja.

Amalan yang lebih lama manfaatnya pula lebih diaulakan berbanding amalan yang faedahnya sekejap bak kata pepatah Cina, jangan bagi orang miskin ikan, tapi bagi jala supaya dia dapat makan ikan lagi banyak.

Insan yang mengamalkan ajaran Islam yang hakiki dan kamil pada zaman fitnah adalah diutamakan kerana mereka ibarat menggenggam bara api di tangan yang mampu bertahan walau menerima seribu satu tekanan dari luar. Nabi juga berpesan,"ibadah di dalam masa berkembangnya fitnah bagaikan hijrah kepadaku”.

Amalan hati diutamakan daripada amalan anggota. Sesungguhnya cinta dan benci seseorang kerana Allah merupakan tanda kesempurnaan imannya yang timbul daripada lubuk hati yang paling dalam. Memendekkan jubah di atas buku lali ketika solat sepatutnya kurang diberi penekanan berbanding memelihara silaturahim dan menjalankan amanah.

Pertanian diutamakan ketika krisis makanan di berlaku sesebuah daulah. Perindustrian dipentingkan tika pertanian cukup tetapi memerlukan barangan harian lain atau dari luar.Manakala perniagaan diutamakan sewaktu keperluan harian dan makanan cukup tetapi pasaran dikuasai peniaga rakus dan zalim.

Ibadah yang paling utama ada empat pendapat.

1- Ibadah yang berat dilakukan dan dirasakan di hati.
2- Ibadah yang zuhud.
       - Orang awam - zuhud merupakan matlamat.
       - Bijak pandai – zuhud perantara untuk menggapai cinta dan redha Allah.
- Ulama’ – apabila datang perintah dan larangan Allah mereka akan patuh walaupun ia memisahkan persatuan mereka dengan Allah.
- Melampau – tak ikut sunnah.sentiasa bersatu hati dengan Allah walau perintah dan larangan Allah turun.
3- Ibadah yang banyak memberi manfaat kepada orang lain.
4- Buat amal baik untuk redha-Nya setiap masa dan mengikut situasi.Waktu jihad utamakan jihad,waktu tetamu datang utamakn melayan tetamu dan waktu saudara sakit utamakan amalan yang paling sesuai waktu tersebut.

PRIORITI DALAM PERINTAHNYA

-utamakan wajib daripada sunnah.Jangan sampai tahajjud membuatkan individu longlai dan menurunkan mutu kerja.
-Imam Raghib Al-Asfahani :

-setiap sunnah ibadah tetapi bukan setiap ibadah sunnah.
-ibadah sunnah tidak akan diterima tika ibadah fardhu diabaikan.
-siapa sibuk dengan fardhu hingga abai sunnah maka ia dimaafkan.
-siapa sibuk dengan sunnah hingga abai fardhu ia terpedaya dengan hawa nafsu.
-Allah mengisyaratkan adil (buat fardhu) sebelum ihsan (buat sunnah). AnNahl,90.

-fardhu kifayah boleh jadi fardu ain kepada individu jika hanya dia seorang sahaja yang pakar dalam bidang tersebut dalam sesebuah qariah.
-hutang manusia perlu dibayar (hak manusia) sebelum menunaikan haji (hak Allah)
-jamaah perlu diutamakan daripada individu (nabi suruh sahabat yang solat sorang mengulang semula solatnya, surah fatihah ayat 5-6, sambutan syawal, puasa,wukuf dan solat hari raya).

PRIORITI DALAM LARANGANNYA

Kufur mengikut tahap dari paling tinggi :

-kufur juhud (tak mengaku Allah,malaikat etc.)
-kufur syirik (akui tuhan tetapi tak sembah tuhan,sembah benda lain;matahari)
-kufur ahli kitab (akui sebahagian danmenyeleweng;trinity)
-kufur orang murtad yakni kufur yang paling jahat (khianat dan tidak wala’ kepada Islam dengan memeluk agama lain)
-kufur munafikyakni kufur paling berbahaya (zahir islam,batin benci islam)

Beza

1-kufur
-besar;komunis,atheis dan kufur dengan risalah nabi.
-kecil;tinggal solat sebab malas(khilaf.ada pendapat kata maksiat.kufur jika masih tak nak solat walau telah disuruh di mahkamah)

2-syirik
-besar;sekutukan Allah dengan makhluk lain.
-kecil;riya’ yakni cari pujian selain Allah.

3-nifak
-besar;dalam urusan akidah dan keimanan dengan sembunyikan kufur dalam hati, Islam ditonjolkan di luar.
-kecil;dalam amal dan tingkah laku seperti ada ciri munafik tetapi akidah mereka benar.

4-maksiat
-dosa besar;dapat laknat dan hudud di dunia seperti tinggal solat,zina,minum arak.
-dosa kecil;dapat dihapuskan dengan solat fardhu,jumaat,puasa ramadhan,tarawih.
*maksiat dek kerana sombong dengan hokum Allah (ambil riba) lebih berat dosanya dari maksiat dek kerana lemahnya iman (zina).
*sikap memandang remeh kepada dosa kecil boleh membuatkan dosa kecil itu menjadi dosa besar.imam ghazali dalam kitab at-taubah,ihya’ ulumuddin.
*dosa besar jika dibuat kemudian timbul rasa takut,sesal,malu,taubat boleh dikelompokkan kepada dosa kecil manakala maksiat kecil jika buat terangan,x rasa malu,x takut dan x menyesal dikategorikan dosa besar.imam ibn qayyim.

MAKSIAT HATI: kedekut, nafsu.bangga.

-ikut nafsu boleh menjadikan insan gagal membezakan hak dan batil walau dia pernah mengenalinya suatu ketika dulu.
-tiga golongan bakal dihumbankan ke neraka sebab riya’ kata nabi.
          -syahid di medan perang
          -alim yang ajar ilmu kepada orang lain.
          -penderma yang suka bersedekah.
Yang mana ketiga-tiga ini mengharapkan pujian manusia.
-bidaah perbuatan yang lebih digemari iblis berbanding maksiat kerana ia bercanggah agama dan orang tersebut tak ada kesedaran untuk bertaubat meninggalkannya.
-syubhah adalah perkara yang tak banyak diketahui orang ramai dari segi halal dan haramnya.solusinya Tanya ulama muktabar dan jangan memberat-beratkannya seperti disarankan nabi dalam kisah daging yang tidak diketahui sama ada disembelih dengan nama allah atau tidak dan nabi memperkenan jemputan yahudi.
-makruh ada dua:
1- tanzihiyyat - dekat kepada halal seperti hembus nafas ketika minum dan solat sunnah ketika makanan telah dihidangkan.
2- tahrimi - hampir haram.

Wednesday, 23 November 2011

Fiqh al-Awlawiyyat: Kualiti vs Kuantiti (Siri 1)



KEUTAMAAN KUALITI KE ATAS KUANTITI

1- Antara keutamaan gerak kerja menurut perspektif syariah ialah mendahulukan kualiti daripada kuantiti. Lipatan sirah nabi sendiri menumpukan kemantapan iman, kesabaran dan kecekalan berbanding bilangan tentera yang ramai. Kisah tentera Talut mengalahkan Jalut, perang Badar dan penaklukan daerah Mesir oleh Amr ibn Alash pada zaman Umar al-Khattab. Ironinya, pada perang Hunain, gerabak Islam nyaris-nyaris tertunduk tewas lantaran yakinnya dengan bilangan tentera yang ramai.

2- Kualiti yang dipentingkan oleh Islam juga terlakar melalui kisah Abdullah bin Mas'ud yang ditertawakan kerana betisnya yang kecil sewaktu memanjat pokok untuk satu keperluan. Apa yang hendak dipamerkan di sini, kesihatan dan kekuatan jasad yang dimiliki bercampur baur dengan sikap angkuh dan bongkak kurang diutamakan daripada tubuh badan yang tidak sasa tetapi mempunyai kemurniaan hati.

3- Hatta dalam amalan pun mementingkan karakteristik ikhlas dan benar. Ikhlas sahaja tidak memadai untuk diterima Allah dan begitulah sebaliknya.Ikhlas adalah mengharap penuh akan keredhaan-Nya manakala benar pula ialah amalan tersebut diimplimentasikan mengikut lunas-lunas Sunnah Baginda. Sehinggakan dalam memilih syurga pun Nabi menyarankan untuk memilih syurga yang paling maksimum kualitinya yakni syurga Firdaus.

4- Para sahabat era nubuwwah dan tabi'in seterusnya turut mencerminkan signifikannya kualiti berbanding kuantiti. Nabi sendiri berjaya membina mahkota ketamadunan Islam dan memakmurkannya dalam jangka masa 23 tahun. Saidina Abu Bakar berjaya membasmi gejala Riddah selama dua tahun setengah, Saidina Umar membuahkan sistem syura, sistem pentadbiran Islam dan kebebasan rakyat mengkritik kuasawan. Semuanya dalam tempoh 10 tahun. Saidina Umar ibn Abd Aziz menerajui kepimpinan Islam selama 30 bulan, Imam al-Syafi‘i dan Imam al-Nawawi hidup 45 tahun, Imam al-Ghazali hidup 55 tahun. Namun,sumbangan mereka tidak ternilai hingga ke hari ini.

ILMU ATAS AMAL

Ilmu adalah pemimpin dan amal adalah pengikut. Ilmu mesti berdiri di hadapan amal dan dialah yang menjadi petunjuk dan pembimbing segala amal. Wahyu pertama sendiri menyeru kepada tuntutan ilmu kemudian barulah wahyu kedua menyusul dengan manifestasi amal. Sebab itu, jumhur ulama memulakan tinta mereka dengan ilmu kemudian barulah amal kerana ilmu dan kefahamanlah yang membezakan antara hak dan batil, sunnah dan bidaah, sah dan batal,halal dan haram serta yang mulia dan yang hina.

ILMU PRASYARAT SEMUA QIYADI DAN MUFTI

Ilmu menjadi bekalan utama individu untuk menerajui kepimpinan dalam skop kehakiman, politik, ketenteraan dan mufti.Nabi Yusuf menawarkan permohonan memegang pos gabenor Mesir adalah kerana sifat amanah dan kemahiran serta pengalaman yang dimiliki. Anak perempuan Nabi Syuaib pun menyarankan ayahnya supaya melantik Nabi Musa menjadi pekerja akan kerana cirinya yang kuat dan dipercayai.

Dalam lapangan melontarkan fatwa pula mestilah orang yang pakar dalam setiap selok belok hukum dan syariah Islam dan juga komited dengan ubudiyah kepadaNya. Ironiya, fitnah bakal berleluasa dan sesiapa sahaja bebas memberikan fatwa dan pendapat tentang agama walaupun baru mengenal ilmu tersebut dalam jangka masa yang sangat pendek umpamanya hal-hal agama ini ibarat padang rumput yang sesiapa sahaja boleh masuk dan memijak rumput tersebut. Saidina Ali amat gemar akan individu yang apabila ditanya akan perkara yang tidak diketahuinya individu itu mengatakan "Allahu a'lam".

SIGNIFIKANNYA ILMU BAGI DA'I DAN MURABBI

Seseorang pendakwah dan pendidik harus terlebih dahulu menjadi seorang yang rabbani yakni orang yang:
-mengerti
-berilmu
-beramal
-dan mengajarkannya kepada orang lain. (al-Imran: 79)

Abdullah Ibn Abbas berpendapat rabbani bermaksud ulama’ yang bijak dan berhikmah. Pendapat lain mendefinisikan tadarruj dalam pengajaran iaitu orang yang sentiasa mengajar ilmu-ilmu yang kecil sebelum ilmu-ilmu yang besar. Imam ibn Hajar al-Athqalani menyebut, kita diperintahkan menjinakkan hati muallaf dengan mendedahkan kemudahan dalam usaha menyemai baja mawaddah dan mahabbah mereka terhadap Islam.

Rujukan:
1- Prof. Dr Yusuf al-Qaradawi, Fiqh al-Awlawiyyat, Thinker's Library, Petaling Jaya Selangor, 2009.
2- all-Quran

***

Satu persoalan yang ingin dilontarkan, sejauh manakah masyarakat Islam pada hari ini memahami dan menghayati keutamaan melakukan sesuatu perkara dari segi kualiti dan kuantiti?

Pemuda Islam yang Dijanjikan


Sesungguhnya umat Islam ini memiliki roh. Roh itu adalah Islam. Islamlah yang menghidupkan umat ini daripada kematian, menyatukannya daripada perpecahan, memecahkan belenggu kejahilan dan menjadikannya umat yang terbaik dalam kalangan seluruh umat manusia.

Islam pasti akan menakluk takhta kemenangan. Setiap kemenangan sudah tentu mempunyai syarat-syarat dan kriteria yang melayakkannya merangkul piala kemengan.

Antara syarat-syarat kemenangan:

1- Meyakini bahawa kemenangan itu datangnya daripada Allah (3:160, 8:9-11, 2:249, 9:40).
2- Membantu agama Allah (47:7, 22:41, 30:47, 37:173).
3- Menjadi mukmin yang sebenar-benar mukmin (8:12, 62-63)(33:6, 9)(9:26).

Generasi kemenangan yang dijanjikan Allah adalah generasi yang memahami Islam dengan pemahaman yang sohih dan sempurna. Tidak dicemari oleh klorin-klorin kejumudan,taqlid dan taksub melampau terhadap mazhab.Mereka juga memiliki ciri-ciri 'pengganti yang adil' (khalifah) yang akan memikul warisan kenabian bukan seperti seekor keldai yang memikul kitab-kitab besar sedang ia sendiri tidak tahu apa yang dipikulnya (62:5).

Mereka juga mengambil dunia sebagai 'jalan' dan bukan sebagai 'matlamat'.Sesungguhnya himmah (prioriti) mereka adalah akhirat dan tujuan mereka adalah mardhatiLlah. Kalbu-kalbu mereka bersinar dengan cahaya tauhid. Mereka tidak mencari Tuhan selain Allah, tidak menjadikan selain Allah sebagai rujukan hukum dan tidak mengambil selain Allah sebagai pemerintah.

Generasi yang dijanjikan ini juga enggan tunduk kepada Barat dan Timur.Cahaya mereka adalah diambil daripada pohon yang penuh barakah (24:35). Mereka tidak bekerja demi kepentingan mana-mana individu, kasta, parti ataupun sistem. Gerak kerja mereka adalah untuk Islam.Demi Islam. Mereka datang daripada umat Islam dan untuk umat Islam. Mereka tidak bermegah melainkan dengan dengan iman.Mereka tidak juga berbangga melainkan dengan Islam.

-Agama mereka terlalu agung buat mereka sehinggakan dunia menjadi remeh dalam mengharungi jalan agama.
-Aqidah mereka terlampau mahal harganya bagi mereka,lantas menjadi murahlah jiwa dan harta benda mereka.
-Sesiapa yang mengetahui nilai barang yang dicari,nescaya menjadi remehlah segala benda yang dikorbankannya.
-Allah Taala membeli daripada mereka dan mereka pun menjualnya. Apabila sempurna pemindahan milik antara mereka dan Tuhan mereka,tidaklah mereka menyesal dan ingin membatalkan jual beli itu.
-Mereka berkorban untuk-Nya padahal semuanya adalah milik-Nya.
-Allah Taala membeli harta mereka sedangkan Dialah yang memberikan rezeki.
-Allah juga membeli daripada mereka nyawa, yang Dia sendiri ciptakannya (9:111).


Mereka juga ialah generasi yang kuat dan mulia. Mereka membezakan perkara usul dan furu‘. Mereka di dalm usul bak besi yang keras manakala dalam perkara furu‘ ibarat sutera yang lembut. Mereka turut membezakan antara martabat sesuatu amalan dan hukumnya.Setiap amalan ada martabatnya. Setiap martabat ada hukumnya. Maka, fardhu berlaina dengan sunat, haram berbeza dengan makruh, dosa besar tak sama dengan dosa kecil,perkara yang disepakati lain dengan perkara yang khilaf, perkara yang tsabit dengan dalil qat‘i berbeza dengan perkara yang tsabit dengan dalil zhanni. Pendirian mereka bukanlah berlagak alim dan tidak pula mendakwa alim. Mereka merujuk kepada ahli dan pakarnya (35:14) (25,59) (16:43) (21:7).

Terakhirnya, mereka adalah golongan yang acap kali bertaubat kepada Allah.Menjaga diri daripada melakukan maksiat lebih diutamakan oleh mereka berbanding menjaga diri daripada musuh-musuh Allah dan musuh-musuh mereka. Mereka lebih khuatir berlakunya maksiat di dalam hati berbanding maksiat anggota tubuh badan.

Dan mereka inilah generasi yang ditunggu-tunggu. Inilah generasi yang 'disimpan' oleh Allah untuk membawa roh Abu Bakar al-Siddiq menentang golongan murtad (5:54). Generasi inilah generasi kemenagan dan dalam generasi inilah akan tertegaknya panji Allah di muka bumi seterusnya megahlah agama al-Khaliq di dunia makhluk ini.

Pada hari ini seruan ini ditujukan kepada seluruh anak-anak muda muslim agar mereka melepasi peringkat virus al-wahn dan lemah laksana buih-buih di lautan. Seterusnya menyertai gerombolan generasi rabbani yang ditunggu-tunggu.

Rujukan:
1- Yusuf Al-Qaradawi, Pemuda Islam yang Dijanjikan, Jundi Resources, Batu Caves Selangor, 2011.
2- al-Quran

P/S: Satu persoalan yang ingin dicetuskan di sini,
-Adakah benar umat Islam kini sudah jauh daripada ajaran Islam dan sejauh manakah komplikasinya kepada Islam itu sendiri?


Tuesday, 22 November 2011

Zakat-Hijrah 1433H



Zakat menyucikan harta. Penyucian harta yang dimaksudkan adalah penyucian harta yang mungkin kebanyakan manusia terlepas pandang. Misalnya, seseorang individu bekerja selama tujuh jam. Waktu kerjanya bermula jam tujuh pagi dan individu tersebut datang kerja pada jam lapan pagi mungkin kerana rumahnya jauh daripada tempat kerja dan lain-lain sebab. Satu jam kelewatannya itulah yang dimaksudkan untuk membersih dan menyucikan dengan wang zakat.

Asnaf zakat berhak diterima oleh lapan golongan berdasarkan firman Allah dalam surah al-Taubah ( 9:60). Fakir, orang miskin, a'milin, mualaf, hamba sahaya,orang yang berhutang, orang yang berjuang di jalan-Nya dan orang yang bermusafir. Gejala kemiskinan hakikatnya mampu dibasmi sekiranya pembahagian zakat dilaksanakan dengan betul dan penuh integriti. Allah telah pun menggariskan kebenarannya dalam al-Quran.

Sebagaimana kisah pada era Umar Abdul Aziz, simptom kemiskinan dapat dibasmi dengan sistem zakat. Hal ini wujud kerana beliau telah melantik beberapa orang 'exco' untuk terjun ke medan masyarakat dan mencari sehingga ke lubang cacing asnaf-asnaf tersebut. Jadi, jika virus kemiskinan masih wujud di sesebuah negara,maka konklusi mudahnya adalah yang tidak kena dengan sistem pengendalian zakat tersebut.

***

Empat hari lagi kita bakal melangkah ke tahun hijrah 1433. Selama 1433 tahun hijrah telah dilakukan oleh Rasulullah, sejauh mana pula penghayatan dan pengaplikasian masyarakat kini terhadap peristiwa hijrah tersebut?

Nabi berhijrah menghasilkan sebuah daulah Islamiah yang cukup megah di kota Madinah. Hal ini wujud lantaran besarnya hikmah dan perjuangan menuju kepada hijrah tersebut. Lihat sahaja pengorbanan yang dilakukan oleh  para sahabat sudah cukup membuatkan kita ternganga mendengarnya. Jika tidak kerana dominannya hijrah Nabi ini, Saidina Ali tidak akan sanggup menggadaikan nyawanya menggantikan tempat tidur baginda Rasulullah SAW.

Perancangan yang sistematik juga turut membuahkan kejayaan yang besar terhadap hijrah Nabi. Serangan empat penjuru ke kota Madinah dan selok-belok perjalanan yang ganjil jelas melakarkan betapa signifikannya pelan tindakan untuk melakukan hijrah. Malang sekali, masyarakat kini gagal untuk menghayati hikmah di sebalik peristiwa hijrah ini lantas azam yang dipasang hanya menjadi omongan kosong semata,khilafah islamiyah laksana zaman nabi dahulu jauh sekali untuk diteroka.



***

Mesej yang ingin disampaikan di sini, pertamanya mana-mana sistem yang dilaksanakan haruslah dilaksanakan dengan telus, tekun dan mengikut prosedurnya terutamanya sistem Allah. Ironinya, sistem tersebut akan dipandang hodoh dan menimbulkan fitnah sekiranya tidak mengikut lunas-lunas syara'.

Keduanya, hijrah bukanlah suatu benda yang boleh dibawa main. Azam yang dipasang setiap tahun perlu dilaksana sehabis baik dan bukan cakap kosong semata. Azam yang dipasang pada tahun seterusnya pula perlulah tidak meninggalkan azam yang lama. Jangan sampai kita lari dari konsep hijrah yang digariskan oleh sunnah, iaitu memerlukan entiti pengorbanan dan strategi yang mapan.

Dua persoalan yang ingin dibangkitkan di sini,

1) Mengapakah masih wujud rakyat yang miskin di negara kita pada era langit terbuka ini?
2) Sejauh manakah pentingnya konsep hijrah kepada masyarakat kini?

Saturday, 15 October 2011

Kesedaran Menggelupur, Perubahan Ditelusur



In the name of Allah.

Untuk pos kali ini, minat saya lebih cenderung untuk mempotretkannya dalam lahjah bahasa Melayu dalam usaha saya ke arah membina kematangan dan perkembangan dalam penulisan. Dalam masa yang sama, penguasaan terhadap bahasa Inggeris harus diperkasakan juga lantaran variasi mad'u yang pelbagai ragam dan bangsa memerlukan da‘i yang fasih bertutur atau menulis dalam bahasa Inggeris supaya dapat menambat hati mereka ke dalam taman pautan Islam.

SYUMULNYA ISLAM

Allah telah pun mencanangkan titah perintahnya di dalam surah al-Baqarah ayat ke 28 supaya umat Islam masuk ke dalam agama secara keseluruhan (kaffah).Tampaknya di sini jelas Islam bersifat syumuliah yakni merangkumi semua ruang lingkup dalam aspek-aspek kehidupan baik dari perspektif POLITIK, sosial,ekonomi,agama,medan dakwah,arena tarbiyyah,madrasah perkaderan dan berbagai-bagai lagi faktor-faktor kehidupan.Jadinya,bila wujudnya dalil yang sohih lagi sorih di dalam al-Quran, jelas sekali tiada seorang pun daripada kalangan umat Islam berupaya untuk menepis dan mengetepikan suruhan Pencipta.

Realiti kini yang saya ingin tekankan ialah,ramai masyarakat berasa takut untuk menceburi bidang politik dan memperjuangkan Islam melaluinya(saya tidak nafikan saya juga pernah tenggelam dalam lopak kegerunan tersebut). Afdhal al-jihad kalimah al-haqq ‘inda sultan al-ja’ir. Hadis Nabi perkukuh titah Allah agar jadilah kamu suatu 'ummat' yang menyeru kepada kebaikan dan cegah perkara-perkara mungkar. Tiga tahap pembasmian kemungkaran yakni kuasa, lidah dan hati harus ditelusuri semula. Waqi' kini,tampak sekali gagal mewujudkan negara Islam yang betul-betul daulah Islamiah. Jika diteladani maratib al-amal canangan Imam Hassan al-Banna sebetul-betulnya yakni mengikut satu-satu peringkat baru berpindah ke tahap seterusnya, tampak sekali penstrukturan daulah Islamiah akan memakan satu tempoh masa yang cukup panjang dihimpit pula dengan sekatan-sekatan dari pelbagai penjuru daripada pihak pemerintah.

Tak salah untuk kita memanipulasi formula marotibul amal tersebut dengan mengimplimentasi dari peringkat yang atas dan dalam masa yang sama kita menstrukturkan jundi-jundi dari bawah. Al-nas ‘ala din mulkihim. Lihat sahaja bagaimana Islamnya sultan-sultan terdahulu mengislamkan rakyat jelata secara keseluruhannya. The same thing goes to us, apabila kuasa pemerintahan dan autoriti memimpin dapat dirangkul nescaya perjalanan menegakkan dan membudayakan negara yang menaplikasikan hukum-hukum Allah akan menjadi lebih mudah dan efektif. Tak perlu kita membuang masa, lebih-lebih lagi PRU yang ke-13 pun semakin berada di ambang revolusinya yang nescaya mampu memecah tradisi.

REALITI RAKYAT MALAYSIA

Sekarang, kita dapat lihat daripada kaca mata kita sendiri betapa jahilnya masyarakat Malaysia tentang ilmu-ilmu dan kefahaman Islam. Isu hudud misalnya, sehingga ada pihak yang berani mempersendakan hukum yang digariskan oleh Allah ini seperti penyiaraan kartun yang menghina dan menolak hukum hudud. Apa dah jadi dengan rakyat Malaysia yang sudah merdeka lebih 54 tahun tetapi masih belum memahami konsep-konsep asas Islam? Di mana peranan pihak kerajaan dalam usaha memahamkan masyarakat Islam dan bukan Islam tentang hukum Allah ini? Bila ada pihak yang nak laksanakan hudud,mulalah kata tak sesuai atas alasan masyarakat tak faham apa itu hudud. Paling menyedihkan Perdana Menteri sendiri mengutarakan bahawa tidak perlunya hukum Allah ini lantaran alasan hodohnya undang-undang ciptaan manusia yang sedia ada sudah memadai untuk memelihara kemaslahatan maqasid syariah.

Kebobrokan sistem pendidikan yang kurang dan langsung tidak memberikan penekanan dalam aspek agama jelas menjadi punca ramai remaja kian memandang agama sebagai satu entiti yang tidak signifikan. Aliran sekular yang diselinap dan dibajai subur dalam sanubari pelajar menjadikan pelajar seorang yang jumud dan seterusnya menggalakkan lagi kemaksiatan sosial untuk berleluasa. Soal penghayatan agama jauh sekali terperosok entah ke mana.

Masyarakat kini semakin jauh dengan Islam. Budaya Islam semakin kendur dan mengecut dalm kehidupan seorang muslim sendiri. Lihat sahaja babak-babak murahan di televisyen yang langsung tidak bermodal dan bertunjangkan agama menjadi tempat mereka meluahkan pemahaman mereka tentang Islam. Filem-filem Melayu langsung tidak berunsur Islami malah cenderung ke arah budaya-budaya Barat yang bertuhankan taghut! Cuba tengok sendiri realiti filem dan rancangan yang Orang Melayu mampu nukilkan. Kisah cinta yang jauh tersimpang daripada sunnah, filem-filem seram yang menggugah iman kanak-kanak khususnya untuk takutkan hantu dan bukannya takutkan tuhan,serta rancangan-rancangan hiburan yang langsung tidak mengikut lunas-lunas dan keterbatasan yang ditetapkan syara'.

BERUBAH UNTUK MENGUBAH

Jadi, pointnya di sini, bermula daripada detik ini setiap daripada kita yang telah pun sedar dengan hakikat biah yang wujud di Malaysia ini harus bersedia untuk berubah dan dalam masa yang sama mengubah orang lain. Medan dakwah bukan sahaja menyajikan dakwah secara jama‘i dan ijtima'i semata-mata, tetapi gelanggang dakwah turut menyediakan platform dakwah fardiah yang mamapu diaplikasikan apabila kita berada dalam situasi individu dan tidak terdapat sebarang jemaah atau persatuan pun di kawasan yang kita diami.

So, mulalah dari sekarang!

Wallahu a'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...