Halaman

Tuesday, 11 June 2013

Generasi Mahasiswa Perubatan Yang Diharapkan

Pelajar perubatan itu adalah pelajar yang yakin bahawa dia telah dipilih oleh Allah untuk berada dalam bidang itu. Dia yakin bahawa Allah telah memilihnya untuk menyumbang kepada agama, untuk berdakwah kepada para pesakit dan untuk berkhidmat kepada masyarakat dalam lapangan itu walaupun banyak cabaran dan rintangan yang perlu dihadapinya.

Dia juga sedar bahawa setiap kesusahan dan ujian yang menimpanya mungkin merupakan satu pemberian Allah sepertimana yang disebut oleh Dr Jasser Audah[1].

Penuntut bidang medik juga sedar bahawa tujuan hidupnya adalah tidak lain dan tidak bukan, sama seperti insan yang lain yakni beribadah kepadaNya dalam segala gerak-geri. Dia sedar bahawa setiap kejayaan yang ditempanya dan setiap ilmu baru yang diperolehinya akan sampai kepada penghujungnya jua yang mana akhir akal seseorang akan berfikir bahawa mereka akan menemui ajal.

Dia sentiasa memegang teguh kalam Imam Ghazali[2] dan tidak berasa ‘ujub dengan ilmu perubatan yang dia miliki. Dia tidak mudah untuk berputus asa apabila berasa susah menghafal istilah-istilah medik yang banyak dan sistem peperiksaan yang ketat serta tidak berasa lemah apabila mendapat pointer yang sederhana kerana dia sedar bahawa peperiksaan sekadar ‘booster’ untuk dia belajar dan mengkaji dengan lebih mendalam.

Begitu juga dengan bidang agama. Dia juga tidak berasa takut (inferiority complex) dengan penuntut-penuntut ‘dirosah’ dan untuk belajar agama malahan dia berasa dia lebih perlukan perkara itu kerana dia tiada subjek khusus untuk memnuntut bidang itu. Dia juga belajar daripada setiap perkara baru yang dia ketahui dan berpegang teguh dengan ilmu agama yang dia ada kerana dia sedar bahawa dia akan mendidik satu institusi keluarga yang faham akan Islam.

Jadi, dia tidak akan mudah mensia-siakan masanya dengan perkara-perkara ‘lagho’ dan melayan filem secara berlebih-lebihan lantaran sedar akan peranannya mencetak manusia (human value) yang sangat bernilai seperti yang ditekankan oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil[3]. Dia akan memprioritikan masanya dengan perkara yang betul seperti membaca pelbagai genre buku yang di luar bidangnya, sentiasa bergaul dengan pelbagai masyarakat, mendengar kuliah-kuliah agama dan menjadikan ulama’ sebagai pedomannya kerana dia sedar dia merupakan aset ummah pada masa hadapan.[4]

Kemudian, mahasiswa perubatan juga sedar akan pentingnya pada hari ini untuk mengasah minda dan pemikiran mereka kerana mereka sedar bahawa dunia hari ini terdedah kepada pelbagai ideologi dan ilmu-ilmu baru. Dia akan mengasah mindanya untuk berfikiran kritikal dan kritis, tidak menilai isu dengan hitam putih, adil dalam membuat penilaian dan matang dalam melontarkan pendapat.

Dia tidak akan berfikiran jumud dan mengatakan bahawa dia harus fokus dan cemerlang dalam bidangnya sahaja, malah sentiasa berusaha untuk tuntas dalam bidang-bidang lain.

Inilah generasi mahasiswa perubatan yang diharapkan.

salah seorang doktor yang dikagumi oleh mahasiswa Mesir

                                  





[1] lihat majalah Al-Azhar edisi Sya’ban 1434H. Dr memetik hikam Ibn Athoillah, boleh jadi pemberian itu satu penghalang dan boleh jadi penghalang itu satu pemberian.
[2] Insan yang paling bijak adalah yang mengingati mati
[3] dengar rakaman ceramah beliau di Youtube berkenaan (Physical, Intelligent, Emotional and Spiritual) PIES development.
[4] Dr Raghib Sirjani dalam Risalah kepada pemuda ummah.
Comments
0 Comments

0 kritikan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...