Halaman

Sunday, 23 June 2013

Mesir: Akademik, Budaya dan Kehidupan

Hari demi hari berlalu dan apabila difikirkan semula, hampir setahun saya sudah berada di bumi Anbiya’ ini. Kenapa ia dipanggil bumi anbiya’? Kerana di sini terdapatnya pelbagai maqam para sahabat dan ahli keluarga nabi. Jika di tempat saya sahaja (di Sayyeda Zainab), ada maqam cucu nabi, Zainab binti Ali. Tidak jauh dari sini pula ada maqam Imam Syafie, Ibn Athoillah As-Sakandari, Imam Hassan Al-Banna dan beberapa lagi maqam sultan-sultan di sini.

Pada pos kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman mengenai bagaimana kehidupan sebagai pelajar tahun satu Universiti Kaherah. Pada pendapat saya, masih lagi kurang perkongsian dan pendedahan sebegini untuk generasi yang akan datang di laman sesawang. Bagi saya ianya merupakan satu aspek yang signifikan kepada pelajar lepasan SPM di Malaysia dalam mengkaji, menganalisis dan membuat persediaan untuk memilih universiti. Mungkin ia juga boleh jadi bermanfaat kepada masyarakat umum.

Perlu diingatkan bahawa saya akan menulis secara jujur tanpa ada selindung berpaksikan pengalaman dan sedikit bahan bacaan saya serta beberapa perkongsian yang disampaikan oleh senior-senior di sini. Perkongsian saya juga lebih kepada sudut pandang pelajar perubatan dan mungkin sedikit selitan berkenaan pengajian agama.

AKADEMIK

Bercakap soal akademik yang merupakan ‘main business’ pelajar Malaysia ke sini, memang tidak dinafikan akan kehebatan dan populariti Universiti Al-Azhar di sini yang akhir-akhir ini turut menawarkan pengajian dalam bidang perubatan. Terdapat juga universiti-universiti lain di sini yang menawarkan pengajian ini seperti Universiti Kaherah, Ain Shams, Alexandria, Tanta, Mansoura dan Zagazig. Semua universiti ini menggunakan sistem yang hampir sama iaitu enam tahun setengah pengajian berbekalkan beberapa subjek wajib yang perlu diambil setiap tahun kecuali Universiti Alexandria dan Mansoura yang menggunakan sistem mengikut ‘cases study’.

Dari sudut geografinya, Universiti Al-Azhar, Kaherah dan Ain Shams terletak di ibu negara Mesir, Kaherah yang mana amat mudah bagi para pelajar perubatan untuk ber‘talaqqi’ dengan para masyaikh di masjid Al-Azhar. Uniknya masjid Al-Azhar ialah ia mengamalkan sistem talaqqi sejak 1000 tahun yang lalu[1] dan ia merupakan satu pendidikan percuma bagi masyarakat di sini tidak kira batasan umur. Begitu juga dengan Universiti Alexandria yang terletak di persisiran pantai Barat Mesir. Terdapat banyak majlis ilmu dan para ilmuan di sana berbanding universiti Tanta, Zagazig dan juga Mansoura. Tidak dinafikan ada majlis-majlis ilmu di sana, cuma agak susah dan kuantitinya tidaklah sebanyak di Alexandria dan ibu kota Kaherah.

Berkaitan pengajian perubatan di sini, saya tidak berhasrat untuk mengulas mengenai ranking universiti dan juga sistemnya kerana ia boleh dicari sendiri dan telah banyak tersedia di website yang lain. Secara jujurnya, walaupun Universiti Kaherah merupakan antara institusi terbaik di sini, namun ia lemah dari sudut kemudahan dan juga pengurusan sistem peperiksaan. Saya kira, pengurusan sistem peperiksaan di kebanyakan universiti tanah arab mengalami masalah yang sama kerana budaya dan tabiat masyarakat di sini yang tidak prihatin terhadap nilai masa.

suasana sebelum peperiksaan praktikal

Dari sudut kemudahan, melihat ‘renovation’ berlaku sepanjang tahun di universiti merupakan satu perkara yang biasa. Bunyi mesin gerudi, batu-bata jatuh dan para pekerja mengetuk bata merupakan rutin pekerja di sini. Sesetengah universiti seperti universiti Ain Shams tidak mengalami perkara yang sama.

BUDAYA DAN KEHIDUPAN

Kehidupan di sini agak berbeza berbanding di Malaysia. Dengan jarak rumah ke universiti yang memakan masa 20 minit ke setengah jam, bunyi hon-hon kenderaan dalam kesesakan lalu lintas ditambah pula dengan bau asap hitam kenderaan di sini serta sampah sarap di beberapa tempat, cukup melatih kesabaran para pelajar Malaysia.

Jika janji Melayu memakan masa lebih kurang setengah jam ke satu jam penangguhannya, janji Arab boleh mencecah berhari-hari malah berbulan-bulan bergantung kepada situasi. Jika berkenaan urusan visa, ia boleh sampai berhari-hari manakala untuk menunggu masuk ke pintu peperiksaan boleh ditunda selama beberapa jam. Lazimnya, peperiksaan bertulis di sini akan bermula sepuluh minit selepas masa asal yang ditetapkan manakala peperiksaan lisan dan praktikal akan bermula dua jam selepas masa asal yang dijanjikan.

Satu lagi perkara yang penting tetapi jarang dikongsikan di mana-mana website ialah di sini kurangnya perpustakaan, wacana-wacana ilmiah dan juga ceramah-ceramah umum selepas maghrib seperti di Malaysia. Pelajar di sini boleh pilih sama ada dua perkara, belajar ilmu agama secara mendalam terus (bertalaqqi) atau duduk di rumah membaca, melayan filem ataupun aktiviti sendiri yang lain. Dari sudut perkara inilah mahasiswa Mesir dibentuk sifatnya sama ada berubah ataupun diubah.

Penguasaan bahasa arab yang tinggi perlu ada bagi mereka yang belum pernah ke negara arab lebih-lebih lagi kepada yang ingin menggali dan mencedok ilmu-ilmu ulama’ di sini dan juga membaca kitab-kitab mereka yang amat murah kerana bahasa adalah kunci ilmu pengetahuan. Kesilapan kebanyakan pelajar lepasan SPM yang ke tanah arab (tidak kira yang mengambil bidang agama ataupun sains) ialah tidak meluaskan kosa kata bahasa arab mereka ketika senggang masa beberapa bulan sebelum ke luar negara. Sedangkan dengan menguasai 4000 ke 5000 perkataan Arab sahaja sudah mampu membuatkan individu itu faham akan kuliah-kuliah yang berbahasa arab dan membaca beberapa kitab yang ringan kerana bahasa ini, pertuturan dan penulisannya akan sentiasa berulang dan diguna pakai semula. Ini formula yang boleh diaplikasikan sebagai asas untuk menguasai bahasa sesebuah bangsa.

suasana ketika kelas talaqqi

Pada hemat saya, cukup sekadar di sini sahaja dahulu. Buatlah keputusan yang terbaik mengenai kos dan tempat yang bakal diambil kerana saya sudah jumpa ramai senior di sini yang asyik bertanyakan adakah saya menyesal datang ke sini dan sesetengah daripada mereka mempertikaikan dan menyatakan kerugian yang mereka alami.




[1] Kelas Syeikh Usamah Said Azhari mengenai manhaj Al-Azhar. Beliau merupakan graduan Al-Azhar dan sering memberikan ceramah di banyak tempat dan rancangan televisyen.

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...