Halaman

Sunday, 30 June 2013

Aku dan Pembacaan

Aku dan pembacaan – mengenal diri, merakam kisah lama.

Saya mula minat membaca sejak dari bangku sekolah rendah. Mungkin pada waktu itu saya rasa ada banyak waktu kosong saya, saya bersendirian. Bermula dari darjah satu hingga darjah lima, boleh dikatakan saya kurang membaca pada waktu selepas sesi persekolahan melainkan membaca buku-buku yang ditetapkan untuk peperiksaan pada ketika itu. Minat saya pada ketika itu cenderung kepada kesenian seperti melukis dan mewarna. Sikap saya yang sukakan persaingan pada ketika itu membuatkan saya banyak menghabiskan masa saya dengan menyertai pertandingan mewarna sama ada di majalah ataupun di kawasan setempat.

Saya masih ingat lagi pada darjah dua, Ustazah Suriati yang mengajar Pendidikan Islam juga yang telah menyemai minat saya dalam menulis khat membuatkan saya terkejut di dalam kelas. Beliau mengatakan bahawa karya saya tersiar dalam majalah Asuh pada waktu itu. Bermula pada waktu itu, kebanyakan masa terluang, saya gunakan untuk aktiviti tersebut dan pada waktu itu bahan bacaan yang saya baca adalah majalah-majalah Islam seperti Asuh, Kuntum dan Dewan Pelajar. Pernah sekali saya menyelongkar rak-rak buku ibu bapa saya dan mendapati banyak buku-buku yang sangat berat dan agak janggal pada pandangan mata saya seperti reader’s digest, mastika dan majalah-majalah Islami terdahulu.

Suatu hari, pada cuti akhir tahun apabila kami sekeluarga tidak keluar melancong, saya cuba mencapai terjemahan tafsir Ibn Kathir yang kelihatan berhabuk di atas rak buku. Saya membacanya sedikit demi sedikit tetapi masuk sahaja sesi persekolahan seterusnya, saya berhenti membacanya. Sehinggalah menginjak ke darjah enam, saya mula menyelongkar almari-almari di kampung. Namun, tidak banyak penemuan yang memuaskan hati saya. Pada waktu itu, ada juga saya mencuba baca akhbar utusan melayu yang sering dibeli oleh arwah datuk saya, dan lazimnya saya akan terus menyelak ke ruangan komik dan kadangkala terhadap masalah sosial yang berlaku.

Antara kenangan menarik yang saya masih ingat ialah ibu saya suka membawa saya dan adik beradik ke perpustakaan pada cuti persekolahan yang panjang dan sering menggalakkan kami untuk meminjam buku daripada librari itu sehinggakan terdapat beberapa buku yang sehingga kini sudah bersawang di rumah lama kami kerana tidak dipulangkan! Hati saya sangat tertarik pada ketika itu terhadap librari, buku dan majalah sehinggakan pada waktu itu saya merasakan bahawa pergi membeli belah itu merupakan satu aktiviti yang kosong dan tidak bermakna sekiranya tidak singgah sebentar ke kedai buku.

Apabila melangkah masuk ke alam sekolah menengah, minat membaca dan berkarya saya masih diteruskan. Pada saat itu, saya jumpa beberapa sahabat saya yang ulat buku dan dahsyat tahap pembacaannya. Dengan adanya banyak buku di librari memudahkan saya untuk meminjam buku-buku. Antara buku yang masih saya ingat sehingga sekarang ialah buku Kombat 1515 karangan Faisal Tehrani. Dengan jalan cerita perang dunia dan lenggok bahasanya yang menarik, membuatkan ingatan saya segar sehingga kini. Masa terus berlalu dan saya agak kurang membaca buku-buku tambahan pada waktu persekolahan ketika itu kerana saya tidak sedar akan kepentingannya. Saya membaca pada waktu itu hanya kerana saya suka membaca. Titik.

Sebaik sahaja keluar daripada alam kepompong sekolah menuju alam mahasiswa di Kuala Kubu Bharu, saya mula tertanya-tanya mengapa sesetengah daripada senior-senior di situ begitu serius sekali menelaah timbunan buku. Kesuburan budaya diskusi dan membaca pada waktu itu turut menghanyutkan aku untuk turut sama menyertainya. Buku-buku al-Attas, Riduan Mohd Nor, Said Hawwa, Mustafa Masyhur dan bermacam-macam lagi buku-buku terutamaya buku haraki menjadi tema pada waktu itu.

antara buku yang ditelaah oleh beberapa sahabat di Kuala Kubu Bharu
Kini, setelah hampir genap setahun saya berada di bumi orang menambahkan lagi tanda tanya dalam kolam fikiranku, apa tujuan konkrit aku membaca. Sehingga kini, saya membaca kerana terinspirasi apabila melihat banyak sumber rujukan yang diambil daripada buku-buku berat hasil perkongsian penulisan daripada seorang sahabat yang sedang mengaji ekonomi dan sosiologi di Manchester. Saya terfikir, dengan usianya yang tua setahun daripada saya, bagaimana  dia boleh mengkhatamkan buku-buku berat lagi kritikal sedangkan masa manusia itu dibahagikan semuanya sama.


Dan apabila saya bertemu dengan  beberapa senior di sini yang minatnya juga ke arah pembacaan bahan-bahan berat, kritikal dan akademik sebegini, menambahkan minatku lagi terhadapnya. Lompong masa yang banyak di sini terutamanya pada musim peperiksaan membuatkan aku terfikir bahawa mungkin ini jalan yang bakal aku terokai sepanjang enam tahun lagi untuk membentuk identiti diriku yang tersendiri. Sehingga kini, tujuanku untuk membaca tidak lebih daripada salah satu wasilah untuk mendidik masyarakat. Sedikit demi sedikit aku harus akui dan praktis bahawa hidup ini akan jadi lebih bermakna dengan berbakti dan sememangnya itulah tugasku selepas enam tahun setengah berhempas pulas untuk memahami dan menghafal timbunan kitab-kitab medik apabila sampai di tanah air nanti.
Comments
0 Comments

0 kritikan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...