Halaman

Thursday, 24 March 2011

Mutiara Hikmah

KEJAYAAN DIUKIR

Hari ini sudah pasti ada wajah-wajah yang aku kenal akan terpampang di dada-dada akhbar. Ya, tepat
sekali. Ahmad Ibrahim, seorang pelajar 'fast track' DQ telah pun menguntumkan senyuman di muka hadapan Utusan Malaysia hari ini. Dia memang pelajar yang tabah. Dia memang pelajar hebat. Ingatanku masih segar lagi sewaktu aku bermain catur dengannya sewaktu kami baru sahaja berkenalan di DQ. Aku tewas ketika itu. Anak yatim piatu itu memang  tabah. Aku kagum dengan kebolehan dan kesungguhannya. Seorang lagi rafikku yang luar biasa  juga turut menunjukkan slip keputusan 11A+nya di dalam akhbar Sinar Harian edisi Selangor. Aiman Md. Uslim namanya. Aku tidak pernah menyangka aku dapat berjumpa dengan orang-orang hebat sebegini.

ALLAH BERI KEPUTUSAN TERBAIK UNTUK SEMUA

Dalam aku melihat kejayaan sahabat-sahabatku, baru aku sedar ada juga rakan-rakanku yang bersedih dengan keputusan mereka. Kata mereka, keputusannya teruk. Tidak mencapai target. Ada juga yang hampir berputus asa. Sebenarnya, bagiku setiap slip keputusan yang kita terima itu merupakan yang terbaik untuk kita. Allah memang dah tetapkan keputusan itu dan ini untuk kita. Sudah pasti ada hikmah di sebalik keputusan itu yang Allah sengaja kaburkan dengan hijab untuk menguji manusia itu sendiri. Tak semestinya pelajar yang dapat 11A+ dalam SPM kali ini akan berjaya pada masa hadapan kelak. Tak semestinya juga pelajar yang dapat keputusan yang teruk akan gagal dalam kehidupannya. Semuanya itu tidak lain dan tidak bukan melainkan Allah hendak menguji hamba-Nya sama ada bersyukur ataupun tidak. Redha ataupun tidak dengan ketentuan-Nya. Apa-apa pun kehidupan perlu diteruskan. Perjuangan baru sahaja bermula. Tersungkur sekali tak semestinya gagal selama-lamanya.

DILEMA DQ

Sekarang, keputusan sudah pun keluar. Aku cuma perlu membuat keputusan sahaja sama ada untuk meneruskan pembelajaranku sama ada di DQ ataupun di luar negara. Sebenarnya, jauh di lubuk hatiku, aku sangat-sangat tidak mahu meninggalkan bumi barakah itu. Aku sangat sayangkan DQ. Sangat rindu biah di DQ. Sangat dahagakan tarbiah seperti di DQ. Sangat suka ukhuwah di DQ. Sangat memerlukan kenalan-kenalan hebat di DQ. Tetapi pada masa yang sama, hasrat yang telah kuperam sekian lama sejak kecil-kecil dahulu, ingin juga aku tunaikan. Aku nak oversea! Pengalaman belajar di negeri orang pasti merupakan suatu yang berharga buat diriku. Hmm... mungkin ada hikmah di sebalik pilihanku nanti. Tak semestinya belajar di luar negara itu bagus. Kadang-kadang, dalam sesetengah perkara dan mungkin dalam banyak perkara, dalam negara lagi bagus. Apa-apa pun, aku amat berharap aku dapat menikmati kedua-dua pilihan yang sepatutnya hanya satu sahaja yang aku patut pilih.



Ya Allah ilhamkanlah aku untuk membuat keputusan yang terbaik
Belum mengisi apa-apa borang tawaran
Kenangku dalam doamu sahabat
Kejayaanku di dunia sebagai persiapan akhirat kelak
Comments
0 Comments

0 kritikan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...