Masa demi
masa berlalu. Masyarakat dunia beralih daripada sebuah tamadun ke tamadun yang
lain. Sesebuah tamadun itu akan maju apabila tamadun itu berpegang kuat pada
agama mereka di samping umatnya sentiasa berusaha untuk menggerakkan pemikiran
dan intelektualiti mereka serta tidak leka dibuai arus kenikmatan. Lihat sahaja
bagaimana tamadun Islam di Sepanyol yang mampu bertahan lebih daripada 700
ratus tahun dan bagaimana tamadun Turki Uthmaniyyah ditawan oleh jentera Hulagu
Khan.
Akhlak dan
nilai murni merupakan salah satu tonggak masyarakat bertamadun. Rasulullah
sendiri diutuskan untuk menyempurnakan akhlak umat manusia sehinggakan
akhlaknya diumpamakan seperti al-Quran. Masyarakat yang baik merupakan
masyarakat yang hebat dari sudut budaya dan tingkah laku mereka. Jika kita
lihat sendiri, bagaimana negara Jepun dilihat sebagai negara yang gah pada mata
dunia. Tidak lain dan tidak bukan, kerana mereka mempamerkan dengan cemerlang
nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka seharian. Cukup sahaja dengan kalam
popular Syeikh Muhammad Abduh, apabila saya berkelana di Mesir saya lihat
Muslim tanpa Islam dan apabila saya berkelana di Perancis saya lihat Islam
tanpa Muslim.
Begitu juga
dengan Malaysia. Sesetengah masyarakat di negara yang kurang maju memandang
Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat. Pengalaman saya sendiri semasa
belajar di Mesir membuktikan bahawa Malaysia tidaklah seteruk seperti yang
disangka-sangka oleh sesetengah pihak. Masyarakat Mesir begitu kagum dengan
nilai murni dan perangai pelajar-pelajar Malaysia di sana. Ada juga dalam
kalangan mereka yang berpendidikan sedar akan kemajuan pembangunan di Malaysia
sehinggakan begitu beriya-iya untuk melawat negara ini.
Pada hemat
saya, pengamalan nilai murni ini begitu signifikan sekali terutamanya bagi
penuntut-penuntut yang sedang menyambung pelajaran di luar negara. Hal ini
kerana, mereka ibarat ‘role model’ ataupun duta Malaysia di negara orang.
Masyarakat di negara orang akan sentiasa melihat dan menilai tingkah laku
pelajar asing di negara mereka. Hasil daripada pengamalan nilai murni ketika
berada di luar negara secara tidak langsung boleh meningkatkan ekonomi negara
apabila sektor pelancongan mula mendapat tempat pada hati pelancong.
Jika
diteliti semula, perkara ini juga mampu menggalakkan masyarakat luar negara
untuk mengkaji dengan lebih mendalam mengenai peradaban dan sistem pendidikan
yang digunakan oleh negara Malaysia. Mereka pasti akan tertanya-tanya bagaimana
masyarakat negara tersebut mampu mempamerkan akhlak dan nilai murni yang hebat
tidak seperti negara mereka. Justeru, kita dapat lihat saban hari semakin ramai
pelancong asing datang untuk menuntut di universiti-universiti tempatan.
Saya bawakan
dua contoh nilai murni yang saya kira berbeza antara dua negara Islam ini. Di
Malaysia, masyarakatnya lebih sopan dan beradab dalam bersosial sesama
masyarakat berbanding masyarakat Mesir. Masyarakat Mesir lebih mudah panas
baran hatta dalam perkara-perkara yang kecil seperti kesesakan trafik di jalan
raya. Antara perkara yang menggelikan hati saya ialah acap kali saya lihat,
mereka sanggup keluar dari kenderaan mereka untuk bertengkar apabila kenderaan
mereka bertembung pada lorong kecil jalan.
Selain itu,
masyarakat Malaysia dilihat sebagai masyarakat yang tinggi nilai budi bahasa.
Masyarakat Mesir sering kali memuji pelajar Malaysia di negara mereka dengan
ucapan ‘ahsan nas’ kerana mereka melihat dari sudut budi bahasa pelajar-pelajar
di sana. Ini sama sekali tidak boleh membuatkan kita berasa selesa dengan
situasi sekarang kerana bukan semua masyarakat Malaysia yang tinggi budi bahasa
mereka. Kita dapat lihat sendiri di laman sosial bagaimana masih banyak lagi
masyarakat kita yang mengeluarkan kata-kata kesat ketika berkomunikasi.
Jika kita
soroti sejarah Kesultanan Melayu Melaka,
kita dapat lihat bagaimana masyarakat Melayu pada zaman dahulu kala
menggunakan pantun, syair dan sajak dalam menyampaikan mesej dan mendidik
masyarakat. Apa yang paling saya kagumi adalah bagaimana masyarakat pada ketika
itu menegur pemerintah menggunakan bahasa kiasan yang dilihat lembut dan mudah
diterima oleh pemerintah. Lihat sahaja pada karya sasterawan negara kita Usman
Awang yang begitu berani dan kritis menyampaikan idea dan nasihat beliau. Namun,
nilai murni ini kian terhakis dek kerana ledakan teknologi dan kemajuan
sehinggakan kebanyakan anggota masyarakat berlumba-lumba mengejar kemajuan
teknologi sehingga mengabaikan pembangunan sahsiah dan rohani itu sendiri.
Dr. Siddiq
Fadzil pernah menegur perkara ini dalam himpunan makalahnya yang berjudul Islam
dan Melayu. Beliau juga menggagaskan supaya budaya ilmu yang sebenar dipupuk
oleh masyarakat Melayu. Apa yang beliau maksudkan ialah budaya ilmu itu bukan
pada terdirinya banyak universiti dan institusi pendidikan tetapi apabila
masyarakat di sesuatu tempat itu minat untuk belajar, membaca, berwacana dan
berfikir. Oleh itu, kita wajar memuji usaha Islamisasi ilmu oleh Prof. Naquib al-Attas dan Dr. Sidek Baba menyedari akan pentingnya pendidikan sebagai tunjang
pembentukan moral bangsa Malaysia.
Seterusnya,
kita beralih pula pada pandang sisi dari dalam negara sendiri. Antara keunikan
negara Malaysia adalah masyarakatnya terdiri daripada berbilang-bilang kaum,
agama dan bangsa. Pelancong asing yang datang melihat gelagat dan tingkah laku
rakyat Malaysia sendiri boleh menilai bagaimana budaya masyarakat di sini. Perkara
ini dilihat jelas sekali terutamanya pada sambutan hari-hari kebesaran di
Malaysia seperti Hari Kemerdekaan, Maulid al-Rasul, Hari Raya Aidilfitri dan
sebagainya.
Walau
bagaimanapun, beberapa nilai murni harus diteliti semula dari semua lapisan
masyarakat. Hal ini kerana, nilai ini semakin hari semakin terhakis ditelan
arus kemodenan. Sebagai contoh, amalan ziarah-menziarahi dan bertegur sapa dilihat
semakin kurang dipraktikkan oleh kebanyakan masayrakat masa kini. Masyarakat hari
ini lebih gemar untuk bersosial secara maya di skrin komputer dan telefon
bimbit, menghabiskan banyak masa di depan kaca televisyen dan kurang keluar
bersosial sesama masyarakat terutamanya pada musim perayaan. Rasulullah sendiri
menekankan prinsip ziarah-menziarahi ini dalam mengeratkan silaturahim apabila
baginda berpesan ‘ziarahlah, nescaya bertambah kasih sayang’.
Sebagai
konklusi, kita semua perlu sedar akan signifikan nilai murni sebagai lambang
keperibadian bangsa Malaysia. Apabila masyarakat dididik dan berjaya
mengamalkan nilai murni ini, maka biah yang baik akan terbentuk. Biah solehah
sangat penting sebagai satu wadah untuk mentarbiah masyarakat di samping sikap
ahli masyarakat dan sistem pendidikan yang berkualiti. Peranan menyuburkan dan
memelihara nilai murni dalam masyarakat ini perlu diambil oleh pemuda-pemuda
pada masa kini. Pemuda hari ini perlu menggerakkan akal dan pemikiran mereka
seiring dengan tindakan supaya Malaysia mampu melahirkan lebih ramai pemimpin
yang berfikiran jauh, matang, terbuka dan kreatif pada masa hadapan.
Pelajarilah
daripada peribadi mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang mampu
menggabungkan kedua-dua unsur ini apabila beliau mampu berfikir secara global
seperti Dasar Pandang Ke Timur beliau dan hasrat beliau yang begitu tinggi
supaya masyarakat Malaysia keluar daripada zon selesa untuk bergerak lebih maju
berbanding negara-negara terkemuka di dunia. Tidak salah untuk berjiwa besar,
asalkan ia seiring dengan praktikaliti, berpandukan kepada paksi Ilahi dan
akhirnya ia dikembalikan kepada semula kepada masyarakat untuk berbakti dan sebagai
usaha memberi.
DRNAZ, Acacia Park,
11.10 AM, 040913.