Halaman

Wednesday, 29 August 2012

Tunduk Pada Sistem Atau Proaktif?

Melawat kembali ke sekolah mengingatkan daku kembali akan rakaman hidupku pada usia menginjak ke alam remaja. Kini, aku akui manusia dibentuk dengan sisa-sisa masa yang telah dihabiskan sepanjang usianya. Semakin banyak masa diperuntukkan untuk melakukan sesuatu perkara itu, maka beberapa tahun yang akan datang insan tersebut akan menjadi cenderung kepada benda itu. Jika kita habiskan masa muda kita dengan belajar ilmu agama kita akan faqih dan terkedepan dalam perkara itu dua atau tiga tahun yang akan datang dan sebaliknya jika kita peruntukkan banyak masa untuk melepak dan membuang masa kita akan jadi manusia yang tiada 'value' pada masa hadapan.

Lima tahun merupakan satu masa yang cukup lama untuk membentuk seseorang. Cukuplah dengan banyaknya masa yang aku gunakan untuk mendalami ilmu sains dan tunduk dengan orientasi peperiksaan (exam-oriented) sehinggakan terlepas beberapa lagi perkara yang penting yang sepatutnya remaja-remaja timba ketika di alam persekolahan untuk menjadi manusia hebat. Apabila aku membaca buku Lembaran Hidup Ulama' karangan Muhammad Abdullah Surodi cukup membuatkan aku terfikir bagaimana cendekiawan pada zaman dahulu mampu menjadi seorang yang luar biasa sehingga dinukilkan bahawa Imam al-Bukhari telah pun menghafal beribu-ribu hadis ketika usianya 10 tahun.

Sistem pendidikan sekarang sebenarnya sudah cukup baik dengan penekanan dan kemasukan ilmu-ilmu sains dan teknologi tetapi kita memerlukan tajdid dalam pendidikan kini kerana dalam kita mengejar kemajuan era langit terbuka, pendidikan spiritiual juga perlu ditekankan dalam usaha membentuk 'human value' bak kata Profesor Sidek Baba. Sekolah-sekolah kerajaan sepatutnya tidak mengabaikan penghayatan pelajar dalam agama sepertimana yang dilakukan oleh sekolah-sekolah swasta yang berada di bawah NGO seperti sekolah Hira', sekolah al-Amin dan juga sekolah al-Islah. Kita akui betapa komplikasi daripada kurangnya penekanan ini melahirkan ramai graduan sekolah kerajaan tandus akhlaknya.

Pelajar-pelajar pada peringkat menengah sepatutnya memanfaatkan masa lima tahun mereka pada landasan yang betul hatta berada di bawah sistem yang batil. George Santayana pernah berkata, the children educated only at school is uneducated children. Remaja perlu proaktif. Cuba sedaya upaya menghayati kesemua isi kandungan al-Quran dan menelaah kitab-kitab hadis dalam mengintegrasikan ilmu agama ini dengan ilmu sains yang diperoleh di dalam kelas. Diskusi seawal peringkat menengah hakikatnya sudah boleh dijalankan mungkin dalam bentuk santai tetapi ilmiah kerana di sinilah ilmu akan bercambah dan dapat bertukar-tukar ilmu yang dibaca. Pelajar dah boleh memulakan untuk 'create' idea dan mencetuskan pendapat dalam membina kematangan akal. Budaya ilmu perlu dihidupkan yang pada masa yang sama 'softskill' pelajar perlu dibentuk sedikit demi sedikit.

Bengkel SPM di Balai al-Falak al-Khawarizmi, Melaka.

Kesemua ini perlu bermula seawal usia ini kerana gagalnya untuk remaja memanfaatkan masa dengan perkara-perkara berfaedah hanya menjerumuskan mereka kepada masalah sosial seperti yang berlaku sekarang. Tepat sekali kata-kata Imam al-Syafi‘i, jika insan tidak menggunakan masanya ke arah perkara bermanfaat maka mereka akan terjebak kepada maksiat. Pelajar perlu bijak mengurus masa. Masa untuk berhibur dengan mendengar mp3, bermain gitar dan bersembang kosong perlu diminimakan mengikut prioriti kerana ianya sekadar kehendak. Masa mudalah sebenarnya masa paling berharga untuk membentuk insan kerana semakin bertambah umur insan, semakin mudah insan terpalit dengan kotoran-kotoran kemungkaran sepertimana Nabi bersabda dalam hadis al-Bukhari,
كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه
"setiap anak dilahirkan atas fitrah, maka ibu bapalah yang akan menjadikannya sama ada Yahudi, Nasrani ataupun Majusi."

Sewajarnya kita meneliti semula sistem yang kita ikuti kerana kita dibentuk oleh sistem dan dengan sikap proaktiflah kita boleh membentuk diri kita lain sedikit daripada produk sistem tersebut. Diamonds are produced through a very high pressure. Kesemuanya bergantung kepada kita sama ada hendak mengubah diri sendiri ataupun hanya menunggu persekitaran yang berubah. Merdeka bermaksud kita mampu berdiri atas diri sendiri (independent), bukannya bergantung kepada orang lain (dependent).
Comments
0 Comments

0 kritikan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...