Halaman

Showing posts with label matlamat hidup. Show all posts
Showing posts with label matlamat hidup. Show all posts

Saturday, 5 November 2011

Aidiladha: Soal Pengorbanan (Puisi)



Dalam laungan takbir bergema
segenap pelosok alam buana terpana
keizzahan Islam mula mencorak suasana
pengorbanan Nabi Ibrahim menjadi indikator utama.

Hidup yang fana tak akan mampu lari dari pengorbanan
bukanlah perjuangan tanpa hadirnya entiti pengorbanan
makin besar tadhiyah, makin bertenagalah etimologi perjuangan
tak akan tertegak Islam jika masyarakat fobia dengan pengorbanan.

Para anbiya’ dahulukala jelas sekali berlumuran dengan lumpur tadhiyah
nyawa sanggup digadaikan dalam memanifestikan kesucian akidah
tawaran kekayaan, wanita, pangkat yang menggiurkan tidak menjadi masalah
kesemuanya ditolak ketepi lantaran jelasnya matlamat mempertahankan akidah.

Umat Islam kini lebih memilih frasa tolol bernama materialistik
virus al-wahn, hubb al-dunya, hubb al-ri’asah makin hari makin mekar berputik
jauhnya hayat daripada pengimplimentasian sunnah punca parahnya bertambah drastik
malah, yang menjadi idaman hati adalah anasir Barat dan ghazwah al-fikr.

Tak mustahil untuk menyalin kulit yang jijik kepada yang lebih kudus dan mulus
semuanya bermula daripada kehendak dan hati yang tulus
Allah semestinya dijadikan matlamat dalam setiap gerak-geri yang telus
bukankah Allah tak akan mengubah nasib sehingga kita sendiri berusaha ke arah transformasi yang kudus?

P/S: Salam Aidiladha khas buat pembaca sekalian. Jadikan pengorbanan sebagai satu daripada gaya hidup kita dalam menempah syurga Firdausi yang tak terhitung nilai harganya.

al-misbahu fi zujajah
6.48 am
10 Zulhijjah 1432H
Acacia Park

Friday, 4 November 2011

Tarbiah Menjana Takwa


Allah berfirman, berilah tazkirah sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang mukmin.

Mungkin agak terburu-buru rasanya kita asyik memperihalkan mengenai karya-karya pemikiran jika nak dibanding suaikan dengan usia yang hanya sekadar mata kail panjang sejengkal sahaja. Bukan tak boleh untuk terbang tinggi, tapi jangan terlampau tinggi. Takut-takut melayang, hanyut dibawa ribut kecelaruan yang berpanjangan.

Meleret panjang.

TARBIAH UNTUK KANAK-KANAK

Dunia marcapada mempamerkan suatu gelombang kebangkitan dan revolusi pemikiran yang dipengaruhi oleh lambakan teknologi sofistikated lagi canggih. Jadi, tidak hairanlah untuk kita katakan semaian benih-benih rohani semakin sukar diaplikasikan lebih-lebih lagi jika teknologi yang ada itu disalahguna dan bukan di bawah pengawalan. Jika dulu,anak-anak kecil hanya bermain 'lego' dan barang mainan tradisional sahaja, tetapi kini rata-rata kanak-kanak hatta yang berumur tujuh tahun pun sudah menghadap komputer dan bermain aplikasi dalam laman sosial tergempar abad ini, facebook.

Jadi, di mana tarbiah untuk diterapkan kepada kanak-kanak jika ibu bapa pun asyik sibuk dengan urusan keduniaan dan arus materialistik kian menodai iman masyarakat kini. Memang tidak dinafikan terdapat sebilangan 'ailah yang mampu memimpin gerabak baitu muslim menuju ke gerbang firdausi tetapi realiti kini jelas menunjukkan kurangnya tarbiah atau mungkin tiadanya pemahaman mengenai tarbiah dalam kalangan ibu bapa menyebabkan anak-anak jauh tersesat dan mula menggadaikan nilai-nilai fitrah insani.

TARBIAH ERA SAHABAT

Para sahabat zaman Rasulullah dahulu mantap tarbiahnya. Suruh infak, semua harta mereka mampu beri. Suruh turun ke medan perang mereka turun.Tak cukup makan pun mereka mampu bertahan untuk meneruskan perjalanan hidup. Majlis ilmu berbondong-bondong sahabat ikut serta. Ketagih mengejar rakaat pertama bersama imam, ganjaran unta hari Jumaat dan pelbagai lagi aneka kejituan mereka dalam akidah.

Hal ini adalah kerana mereka benar-benar memahami erti tarbiyyah yang diteladani dan diajari oleh Nabi. Apabila nabi menyampaikan sahaja kalimah tayyibah kepada para sahabat, dengan pantasnya kalimah itu tersebar ke merata-rata tempat di jazirah Arab tersebut.

BANGKIT PEMUDA ISLAM

Jika hendak dibandingkan dengan mujtama' kita hari ini, sangat jauh sekali dengan manhaj dan garis panduan yang dipamerkan oleh Nabi. Alangkah sedihnya nabi apabila melihat umat Islam sekarang yang kian jauh dan semakin menjauh daripada Islam. Mudah sahaja buih-buih keimanan di muara pantai pecah dihempas ombak kesesatan bertunjangkan budaya-budaya kebaratan.

Islam bangkit di sebuah padang pasir yang tandus. Kontang daripada oasis. Sunyi daripada penduduk. Sebagaimana ganjilnya Islam itu datang, begitu juga ganjilnya Islam akan pergi. Takkan Islam kan pergi dan berakhir dengan lemahnya pemuda-pemuda islam sendiri untuk menegakkan Islam? Ditegakkan oleh mat-mat penagih dadah yang berpeleseran di lorong-lorong jalan, rockers yang dibuai dalam ayunan hedonisme, penyanyi-penyanyi yang melalak tak tentu arah dan mat-mat rempit yang langsung tak mengenal erti matlamat hidup.

Di mana letaknya Allah sebagai matlamat kita? Apakah benar setiap tingkah laku kita hatta kerlipan mata kita, kita ingat bahawa kita SEDANG disaksikan oleh Yang Maha Kuasa dan apakah betul setiap abdomen luaran dan dalaman kita termasuk hati kita bermatlamatkan redha-Nya? Di mana pula Rasul yang berperanan sebagai qudwah kita? Apakah kita masih mengamalkan kesemua sunnah-sunnah Nabi yang pastinya menuju kejayaan? Di mana perlembagaan Allah yang mengatur hukum-hukum hidup kita diletakkan? Adakah kita amalkan kesemua prinsip dan ramuan yang diadun dalam al-Quran?

Soal jihad pula bagaimana? Apakah jihad itu menjadi jalan kita dalam menempuh perjuangan di dunia fatamorgana berlapiskan seribu satu tipu daya ini? Apakah kesemua jihad dalam Islam telah kita implimentasikan? Terakhir sekali, apakah benar syahid menjadi cita-cita kita dan jika benarlah kita mahunkannya sejauh manakah wadah dan keringat yang telah kita kucurkan ke arah kesemua matlamat tersebut?

MUHASABAHLAH SEPANJANG MASA

Cuba kita renungkan sejenak. Sedarlah yang kita semakin jauh daripada Islam. Bagaimana sinar Islam akan berputik kembali jika kita sendiri pun tidak mengendahkan Islam malah hanya mengambil jalan singkat lagi mudah dengan berpeluk tubuh daripada untuk memahami Islam dan memperjuangkannya dalam kehidupan kita.

Kita jangan buta dengan sogokan material, tawaran pangkat, publisiti gelaran dan virus riya' dan ujub. Syaitan memang diciptakan untuk mengajak umat sejak nabi adam lagi kepada KEKUFURAN dan KEKEJIAN. Jangan sampai apabila kita sudah tersesat jauh dan tidak menjumpai pangkal jalan baru kita nak terngadah, mengeluh, menyesal tak sudah-sudah.

Katakanlah, kenikmatan dunia hanya sedikit dan negeri akhirat ini adalah jauh lebih baik untuk orang-orang yang bertakwa. Berdoalah selalu supaya Allah meletakkan dunia di telapak tangan kita dan memasakkan akhirat seteguhnya di hati kita jika benar kita yakin dan beriman bahawa wujudnya syurga dan neraka sebagai almizan kita kelak.

Lafazkanlah lagi sesungguhnya solatku, ibadahku, HIDUPku dan MATIku adalah untuk Rabb al-‘Alamin.

*Sekadar peringatan untuk semua dan yang menarikan jari ke papan kekunci yang lagi dekat peringatannya itu dibuat untuk dirinya.

Saturday, 15 October 2011

Selutan Dakwah Mencipta Revolusi



Aneka bucu dan liku jalan telah Allah rentangkan di hadapan sosok mata kita,
Ada yang dihampar dek permaidani dunia merah berseri,
Namun, selekoh tajam dakwah menghidangkan resepi onak berduri besi,
Kerana itulah denai sirat yang diharungi oleh anbiya' dengan jerih payah sekali.

Syeikh, jika mudahlah toriqud dakwah,jika kau ma'ruflah akan destinasinya,
Nescaya melimpah ruah insan melaluinya hatta yang berhati keji dan basi,
Namun, hakikat yang perlu dikunyah ialah jalan ini de facto komplikated sekali,
Seterusnya dijanjikan lagi dengan 'syuqqah' yang benar-benar menggugah hadaf asal insani.

Akui sajalah kita ni hanya penghubung mata rantai-rantai emas perjuangan,
Rasul 'alami pun bergelut selama 23 tahun dalam selut lumpur dakwah demi menjulang gerabak khilafah,
Defisiensi masa, taklifat qiyadi, cemuh maki dan 'iqab draconi,
Itulah sebenarnya kilauan mutiara dan ranuman buahan dalam mendinamikkan roh ke arah syurgawi abadi.

Ingat, kota sofistikated Rom bukan dibina dalam dakapan masa sehari,
Gelanggang Qanstantiniyyah sehingga 12 kali frekuensinya gagal ditembusi kubu kebalnya,
Madinah Jerusalem pula memerlukan 1001 munazzamah stategi yang mapan untuk dibebaskan kembali,
Persis juga dalam konstruksi khilafah,bukan dengan hanya melopong menopang dagu dan berwenang hati sahaja.

Jadi, apa tunggu lagi wahai mujahid pencinta syahid sekalian,
Oraklah langkah gagah berani, semarakkan infiniti semboyan iman dalam atma hati,
Tegakkan daulah dalam diri dan biarkan ia mekar berbunga di seluruh belahan taman dunia,
Dengan sinar harapan,kalian dipayungi mardhatilLah Ilahi seterusnya melorong ke Jannatu Firdausi.

al-misbahu fi zujajah
18 Zulqaedah 1432H
Acacia Park

Sunday, 28 August 2011

Kerugian Terbesar (Puisi)



Detik ini,
Lautan masyarakat berlumba-lumba menggapai duniawi yang menjerut,
Kekayaan dikaut, pangkat dilaung dan disebut-sebut,
Soal agama kian berubah menjadi entiti yang semakin reput,
Falsafah hidup mereka hanya dunia tempat berpaut.

Saat ini,
Lambakan umat Islam tidak faham terminologi Islam yang hakiki,
Maruah digadai, akhlak menjadi aspek untuk dihamun maki,
Aurat kian dipamerkan persis tidak wujud istilah mati,
Apakah hanya sedangkal ini tarbiah Islam yang difahami?

Waktu ini,
Masyarakat berasa jelik untuk menghayati Islam itu bagaimana,
Mereka dibutakan dengan kesenangan yang hanya fatamorgana,
Doktor, jurutera, arkitek, saintis menjadi cita-cita utama,
Perihal Islam habis tenggelam entah ke mana.

Masa ini,
Jutaan masyarakat masih rabun dengan matlamat hidup mereka,
Ada yang tersimpang jauh menuju ke jurang neraka,
Walhal, semuanya berbalik kepada tujuan penciptaan manusia,
Menjadi hamba dan khalifah sebenar sepanjang masa.

Duhai umat Islam,
Jangan jadi lemah dan rapuh laksana buih di lautan sana,
Umat Islam harus kuat untuk berjuang menegakkan Islam yang tertinggi di seantero dunia,
Jernihkan hadaf hidup di ladang cucuk tanam dunia,
Moga kelak kita kan mengecapi nikmat seinfiniti syurga.

al-misbahu fi zujajah
 28 Ramadhan 1432H

Friday, 27 May 2011

Apa Ertinya Saya Menganut Islam?

Hidup adalah satu pengorbanan. Satu tadhiyah.

Pelbagai perkara kita gadaikan untuk mendapatkan apa yang kita hasratkan. Namun,tak semua insan tahu dan faham apakah perkara yang mereka gadaikan itu baik ataupun sebaliknya. Manusia diciptakan di dunia atas dua maqasid. Allah berfirman,

Dan tidaklah aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaku
( Az-Zariyat : 56 )









Dan ketikah tuhan kamu berkata kepada Malaikat,sesungguhnya aku menjadikan di muka bumi ini khalifah


Hamba. Khalifah. Berapa ramai dalam kalangan umat Islam kini yang sedar akan hakikat penciptaan mereka? Berapa ramai pula yang berpeleseran di jalan raya pada tengah malam tanpa arah tuju yang betul? Lihat sahajalah umat Islam kini yang kian hanyut dek arus hedonisme, materialisme, kapitalisme dan pelbagai lagi ideologi-ideologi yang lain. Sedangkan Islam itu sendiri bercirikan rabbaniyyah. Segala perkara yang dilakukan di atas muka bumi adalah dalam kerangka mendapatkan keredhaan-Nya berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya. Itulah yang membezakan perkara yang kita lakukan sama ada ia akan menjadi ibadat ataupun adat semata-mata.

               Menganut agama Islam bukanlah sekadar pada nama dan gelaran Islam itu sahaja. Kita tak mahukan Islam baka. Tetapi kita mahukan Islam yang mana kita tahu asbab kita menganutnya dan seterusnya kita sanggup memperjuangkannya. Bukan sekadar apabila kita dah tahu Islam tersebut, kemudian kita dah laksana kelima-lima rukun Islam, ia sudah memadai. Perbetulkan balik fikrah kita tentang Islam. Islam bukan sekadar pada ibadah semata-mata. Islam itu syumul. Semua aspek hidup dilengkapi. Tiada yang kurang pada Islam. Fitrah manusia inginkan kebaikan dan manusia sendiri telah pun berjanji sebelum ditiupkan roh ke dunia untuk beriman kepada Allah.

               Jadi, ayuh sahabat-sahabat sekalian. Mari kita kaji semula segala asbab kita memeluk agama Islam. Adakah kita hanya mengikut apa agama yang diwariskan oleh ibu bapa yang mengandungkan kita. Fikirkan kembali. Mulakan mengkaji dan teruskan sehingga kita mendapat satu konklusi hakiki. Jika benar kita tahu asbab kita memeluk Islam, sejauh manakah pula sumbangan kita kepada Islam?Sejauh manakah pula tahap cakna kita terhadap biah sekeliling kita yang kian diracuni virus-virus bahaya daripada Sang Syaitan yang sedang melonjak kegembiraan dalam menyambut kedatangan rakannya, Sang Dajjal.

              Musuh-musuh Islam sudah lama mengintai-intai Islam sejak dari zaman dahulukala lagi. Aneka rancangan rapi diteliti dalam usaha menghancurkan Islam. Hatta keruntuhan khilafah Islamiyah sendiri disebabkan perancangan teliti golongan ini selama bertahun-tahun. Kini, semakin banyak lagi dakyah dan doktrin digunakan untuk menjatuhkan Islam itu sendiri. Jelas, kelalaian umat Islam itu sendiri memberi peluang keemasan kepada musuh-musuh Islam untuk menghancurkan Islam. Lihat sahaja media massa era kini yang sarat dengan propaganda yang ingin menjauhkan umat Islam dari agama Islam itu sendiri.     http://forum.cili.ws/showthread.php?tid=340




Benarlah kata Allah,

 وَلَن تَرْضَى عَنكَ الْيَهُودُ وَلاَ النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللّهِ مِن وَلِيٍّ وَلاَ نَصِيرٍ

(al-Baqarah:120)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...