Halaman

Sunday, 7 February 2021

Dunia Pasca-COVID



Jika suatu masa dahulu, sanak-saudara boleh berkumpul di halaman permai penjuru kampung, berbasa-basi, bermain bunga api, kini suasana itu seakan sukar untuk muncul kembali.

Jika saat dahulu, pengulit buku ralit menyelongkar khazanah-khazanah nadir di lambakan pesta-pesta buku, masyarakat awam pula turut menjengah acara tahunan julung kali itu, tetapi kini acara meriah itu seakan-akan samar tenggelam di sebalik kabus.

Jika dahulu kamu boleh bertepuk tampar, bergurau senda, bersuka ria, memangku hiba sesama taulan, tetapi kini, tiada lagi dakapan mesra, sentuhan ceria dan sokongan setia. Semuanya terhad belaka. 

Asing.

Seantero dunia seakan diuji dengan satu cubaan aneh oleh Tuhan. Tiada lagi kesesakan para mutawif di sekeliling Ka’bah. Nihil pula kucupan Hajarah al-Aswad oleh sang pendosa. Aktiviti harian sangat perlahan bergerak. Manusia bergerak melakukan rutin dalam jarak sedepa.

Aku percaya, dunia dahulu pernah ditimpa malapetaka lebih dahsyat daripada ini. Adegan Perang Dunia Pertama dan Kedua, pengeboman nuklear di Nagasaki dan Hiroshima, penularan wabak taun dan sebagainya, merupakan rakaman sejarah yang tidak mungkin luput di dalam relung minda.

Manusia tersepit. Kajian demi kajian dan eksperimen demi eksperimen terus ligat berputar - mencari penemuan yang bakal mengukir lensa sejarah baharu atau mungkin manusia perlu terus hidup dengan dunia pasca pandemik ini dengan suatu cara yang berlainan daripada kelaziman.

Impak global yang sering berkocak dalam kolam pemikiranku sudah tentu melingkupi pelbagai segmen kehidupan.

Dari aspek pendidikan, tiada lagi sentuhan ta‘dib oleh mahaguru kepada anak didiknya. Anak didik kelak sukar untuk mengenal dan beramal dengan adab yang sebenar. Mereka tidak mampu melihat bagaimana para ilmuwan bertaammul dengan guru-gurunya. Mereka tidak hadir secara langsung melihat setiap gerak-geri dan tindak-tanduk sang guru saat menyarungkan celana dari belah kanan, mencicip cawanan kopi dengan tiga helaan nafas, berkongsi minyak ‘attar kepada taulan sebelum melakukan apa-apa ibadah, berdiri saat melihat sang guru tiba menyampaikan pengajian, menumpukan perhatian sewaktu pengajian persis saat anak panah hendak lepas dari busurnya, mempelajari kaedah melakukan ta’liq terhadap butir-butir mutiara dari sang guru, meneladani sendiri ibadah-ibadah tambahan yang dilakukan sang guru baik sebelum dan selepas pengajian bermula, mencontohi himmah dan ke-tawaduk-an guru untuk setia dan meramaikan guru serta keluasan dan kedalaman ufuk kajian-pembacaan mereka. 

Dari sudut ekonomi, pergerakannya mula terbantut. Rakyat marhaen yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang semakin sukar mencari rezeki seperti biasa. Pelitup muka dikitar dan dipakai berkali-kali demi mematuhi ‘SOP’. Masyarakat lapisan sederhana yang memerlukan interaksi langsung ketika bekerja, mula tersekat punca rezekinya. Masyarakat di negara dunia ketiga pula terpaksa meneruskan mata pencarian mereka menjual tisu, biskut dan pena di tepi tangga metro dengan himpitan penduduk di dalamnya.

Dari sudut keagamaan, aktiviti-aktiviti berjemaah yang mengutuhkan tali keimanan dan menautkan bingkai-bingkai persaudaraan mula terhakis. Tiada sudah kerancakan kuliah-kuliah agama dan daurah-daurah bersama ilmuwan agung dunia bergema menghidupkan tradisi keilmuan agama. Tiada sudah aktiviti makan bersama menggunakan talam, halaqah-halaqah bersanad melakukan tahsin al-Quran serta kursus-kursus yang memantapkan kefahaman fardhu ain dan fardhu kifayah seseorang muslim.

Dari sudut sosial, semuanya sudah beralih ke lembah yang lebih berbahaya - lembah maya. Tiada sudah aktiviti gotong-royong perdana, tiada sudah ‘reunion’ rakan sekolah, tiada sudah sayembara fizikal mewarna, tiada sudah riadah menyihatkan jasad, tiada sudah basa-basi yang lama antara taulan, tiada sudah kunjung-mengunjung tanpa asbab konkrit di sana.

Dari aspek kebudayaan, masyarakat kelak akan canggung dengan budaya bersalam-salaman, budaya berkias dengan bidalan yang pelbagai, canggung mendengar istilah “sudah gaharu cendana pula”, “paku dulang paku serpih”, “menanam tebu di tepi bibir”, “makan cili terasa pedas”, “cubit paha kiri, paha kana terasa” dan “siakap senohong, gelama ikan duri”. 

Dari aspek politik, kepimpinan seseorang individu itu semakin sukar dilentur dari rebungnya. Seseorang individu pula akan diuji dengan bagaimana dia hendak mentadbir dirinya dahulu (sewaktu bersendirian) sebelum mentadbir dunia.

Dari aspek kesihatan, para barisan hadapan perlu berkorban lebih masa menggantikan rakan-rakan sekerja yang dikuarantin, berkucur keringat berjam-berjam saat menyarungkan sut ‘PPE’ untuk mengambil sejarah pesakit, melakukan pemeriksaan fizikal, memasang ‘branula’ susah, mengambil darah, melakukan bantuan pernafasan dan menyorong katil pesakit kemalangan ke bangunan ‘imaging’. Masyarakat yang dijangkiti penyakit ini pula, akan tertusuk jiwanya saat mengetahui keluarganya juga turut berpotensi tinggi untuk dijangkiti juga – dan lebih membimbangkan, raut wajah warga emas yang sudah sedia mempunyai penyakit berbahaya lain baik diabetis, darah tinggi dan sakit jantung.




Dunia pasca-COVID bakal menyaksikan satu nuansa baharu pada masyarakat dunia akan datang selain merupakan manifestasi ujian Tuhan terhadap para makhluk kerdil ciptaan-Nya akan bagaimana makhluk lemah ini berinteraksi dengan mehnah aneh, ruwet lagi mencabar ini.
Comments
0 Comments

0 kritikan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...