Halaman

Sunday, 25 December 2011

Konsep dakwah islamiyah dalam realiti masa kini

Firman Allah dalam surah Al-Imran

[104]
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Petikan ini cukup memberikan makna yang ringkas dan padat tentang tuntutan dakwah kepada umat Islam.

APA ITU DAKWAH

Dakwah mempunyai berbagai-bagai tafsiran.

Antaranya,ia merupakan amar ma'ruf nahi mungkar.Ada yang mendefinisikan dakwah sebagai menyeru orang bukan Islam kepada Islam.Golongan ini menafsirkan mengajak umat Islam kepada Islam sendiri dan mencegah kemungkaran yang berlaku dalam umat Islam merupakan satu 'islah' yakni penambahbaikan terhadap Islam.

Bagi saya dakwah ialah satu usaha untuk menyebarluaskan Islam kepada umat Islam dan bukan Islam.Menyampaikan peringatan kepada Islam kerana manusia bersifat pelupa dan menyampaikan kefahaman Islam kepada bukan Islam.Kefahaman di sini merujuk kepada setakat mana kefahaman Islam yang kita ada.

DAKWAH KEPADA BUKAN ISLAM

Allah berfirman :

surah Al-Anbiya'
[107]
Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

surah Saba'
[28]
Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).

Maka,memang jelas Islam itu wajib disampaikan kepada semua.Islam memang untuk semua umat.Majoriti umat Islam sekarang, hanya menyampaikan mesej-mesej Islam kepada umat Islam sendiri tetapi berapa ramai yang berdakwah kepada bukan Islam?Impaknya, timbul salah faham dan salah konsep dalam kalangan bukan Islam terhadap Islam itu sendiri.

Banyak punca tercetusnya virus ini.Antaranya,

1-Media

Media terlampau banyak merangsang ketidakfahaman bukan Islam kepada Islam.Isu tauliah jelas memaparkan betapa tersekatnya hak bersuara dalam Islam.Polemik antara PAS dan UMNO jelas menunjukkan kepincangan dalam Islam yang melakar betapa Islam ini sukakan pergaduhan.Isu 11 September 2001 jelas mencerminkan Islam sebagai agama pengganas apabila heboh diuar-uarkan di dada-dada akhbar dan banyak lagi contoh-contoh yang lain.Cuba fikirkan.

2.Ketidakpedulisme

Sikap tidak ambil berat tentang dakwah terhadap bukan Islam menghangatkan lagi salah konsep dalam kalangan bukan Islam.Umat Islam begitu takut untuk berbual mengenai agama dengan sahabat bukan Islam mereka.Perkara ini bertambah parah apabila ia membawa kepada bom demografi yang cacat.Golongan ustaz dan agamawan tinggal di satu tempat yang mana komuniti di situ majoriti Islam manakala golongan bukan Islam menginap di satu tempat yang lain.Jika ada berlaku pertembungan antara dua golongan ini adalah pertembungan antara golongan sekular dan bukan Islam.Bagaimana mereka nak faham apa itu Islam?

3.Soft skill tercedera

Umat Islam gagal menyampaikan ajaran Islam kepada bukan Islam dengan cara yang betul.Mereka terus mengatakan semua benda yang berat-berat mengenai Islam kepada bukan Islam.Langsung tiada tadarruj dalam berdakwah.Sepatutnya kita perlu berdakwah kepada bukan Islam menurut tahap pemahaman mereka, bukan menurut pemahaman kita yang cukup jauh berbeza.Fahami agama mereka dulu dan barulah kita memahamkan mereka tentang agama kita.



ISLAH KEPADA MUSLIMIN

Dakwah atau lebih tepat, Islah kepada umat Islam merupakan satu perkara yang penting.Manusia sifatnya pelupa.Sekali terlupa, ditambah dengan pengaruh persekitaran dan nafsu yang bergelojak akibat dorongan syaitan, habis punah seseorang muslim tersebut.Media-media berlumba-lumba memaparkan kisah-kisah khurafat, cinta yang tersasar daripada ajaran Islam, dan pelbagai lagi ragam mereka yang telah berjaya mendoktrin masyarakat negara.

Maka, di sinilah wujud peranan dan tanggungjawab setiap muslim sama ada yang tinggi ilmunya ataupun tidak untuk saling mengingati antara satu sama lain.Nabi telah bersabda,

Perumpamaan seorang mukmin pada kasih sayang, rahmat, dan ikatan terhadap mukmin yang lain ibarat sebatang jasad.Jika sakit salah satu daripada anggota jasad tersebut, maka seluruh jasad akan turut berjaga malam dan demam bersama.

Walau bagaimanapun, kepentingan menuntut ilmu tidak dapat dinafikan.Wajib untuk setiap umat Islam untuk terus memperkembangkan dan memperdalamkan ilmu mereka dalam bidang agama.Berdosa jika mereka gagal berbuat demikian kerana ilmu agama itu fardhu ain manakala ilmu sains dan ilmu duniawi lain merupakan fardhu kifayah.

Kita tidak mahu menjadi orang yang jahil seperti golongan Nasrani.Golongan Nasrani pernah seorang sahabat, 'Adi bin Hatim bertanya kepada Nabi, siapakah golongan yang sesat.Maka Nabi menjawab golongan Nasrani.Kita juga tidak mahu menjadi seperti golongan Yahudi.Mereka ada ilmu tetapi mereka tidak mengamalkan ilmu yang mereka ada.Maka, golongan yang tidak mengamalkan ilmu ini dimurkai oleh Allah dan digelar 'Al-Maghdubi 'alaihim'.

Perkara ini dinyatakan di dalam surah yang setiap hari kita lafazkan ketika solat.Firman Allah,

Surah Al-Fatihah,
[7]
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Firman Allah dalam surah Al-Jumu'ah,
[5]
(Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telahpun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.

Menurut Imam Hassan Al-Basri, umat Islam juga termasuk dalam kategori bandingan yang Allah umpamakan dalam surah Al-Jumuah ini.Maka, marilah kita sama-sama menghindari daripada perkara yang menjauhkan kita daripada pengaplikasian dalam amalan-amalan dan kefahaman Islam dan dalam masa yang sama sentiasa menambahkan ilmu-ilmu Islam supaya kita sentiasa berada di jalaan yang diredhaiNya.

KONSEP DAKWAH KINI

Realiti masyarakat kini rata-ratanya jelas jahil terhadap agama sendiri.Ada yang fobia dengan hukum hakam Al-Quran sendiri kerana kurangnya ilmu dan kefahaman.Bukan Islam pula semakin menggelembung kekeliruan dan prasangka mereka terhadap agama sejahtera dan rahmat ini lantaran langsung tiada umat Islam yang turun menjelaskan kepada mereka.

Maka, dalam era langit terbuka ini, antara uslub terbaik menyebarkan kefahaman ini ialah menerusi teknologi.Teknologi mencakupi media arus perdana, telefon bimbit, internet, video, televisyen, akhbar dan banyak lagi.Penyampaian mesej-mesej berunsurkan islamik menerusi teknologi jelas mempengaruhi sebilangan besar 'world-view' masyarakat islam dan bukan Islam kini.

Video Oley! misalnya merupakan satu kejayaan dakwah yang cukup besar dalam menyebarkan kefahaman tentang hudud.Buktinya, ada yang insaf dan kembali bertaubat serta mula faham tentang hukum hakam Islam selepas menonton klip selama 11 minit itu.Satu perkara yang menarik, dalam masa 24 jam sahaja, klip tersbut berjaya mencatat lebih 15 ribu hit penonton!Ini merupakan satu tanda bahawa teknologi ialah wasilah dakwah yang cukup berkesan kepada mad'u.

KONKLUSI

Sebagai penutup artikel, berdakwahlah dalam setiap peluang dan ruang yang kita ada.Gunakan segala macam  nikmat dan kemudahan yang Allah kurniakan kepada kita untuk berdakwah.Sesungguhnya Islam ini tertegak dan terus subur kerana adanya usaha dakwah.Kita semua merupakan da'ie dan dai'e ialah penyambung mata-mata rantai perjuangan Rasulullah kerana baginda diutus sebagai petunjuk kepada sekalian alam.Maka, janganlah kita cemari usaha dan perjuangan dalam menyebarluaskan Islam ini dengan perkara-perkara yang tidak elok.


Comments
0 Comments

0 kritikan:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...